29 Jun 2019

MEMUPUK PERPADUAN SOSIAL MELALUI ANIMASI UPIN & IPIN



MEMUPUK PERPADUAN SOSIAL MELALUI ANIMASI UPIN & IPIN












ISI KANDUNGAN

1.0       PENGENALAN                                                                                           3

2.0       ANIMASI UPIN DAN IPIN                                                                         4

3.0       USAHA KE ARAH PEMBENTUKAN KESEPADUAN SOSIAL         7

4.0       WATAK-WATAK DALAM ANIMASI ”UPIN DAN IPIN”                  9

5.0       FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KERUNTUHAN
PERPADUAN                                                                                               16

6.0       KESIMPULAN                                                                                            19
           
            APENDIKS                                                                                                   20
1.0       PENGENALAN
Filem animasi atau kartun merupakan salah satu media yang popular masa kini. Animasi berkembang pesat melalui televisyen dan filem di mana kebanyakan penayangan mengambil tempoh masa yang agak lama jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Mohd Amir dan Md Sidin (2011) menambah bahawa animasi telah berkembang daripada sebuah imej bergerak kepada teknologi ‘cel animation’ (kaedah tradisional lukisan tangan) kepada penggunaan animasi 3D secara keseluruhan. Secara asasnya, kandungan animasi yang disiarkan di television dan filem mempunyai tema dan stail tersendiri yang bermula dari cerita fantasi mahupun cerita rakyat. Namun begitu, jalan cerita dan kandungan animasi boleh berubah mengikut cerita-cerita semasa atau yang mana paling tepat dapat menepati citarasa penonton.

Kemunculan dua kanak-kanak lelaki dengan gelagat tersendiri, Upin dan Ipin, di TV9 pada tahun 2007, bukan sahaja menjadi fenomena malah menyuntik "nafas baru" kepada industri animasi negara.

Ketika itu, sama ada di kedai kopi, pusat membeli-belah atau di mana sahaja lokasinya, karakter dua kanak-kanak lelaki itu menjadi antara perbualan hangat diperkatakan.

Minat? Bukan sekadar merangkumi anak-anak kecil malah si dewasa turut serta. Akan bagaimanapun, ini tidak bererti menerbitkan sentimen "diskriminasi" kepada siri animasi televisyen atau filem cereka animasi sebelum ini.

Karya seperti Usop Sontorian, Anak-anak Sidek pernah membibitkan kehangatan luar biasa kepada industri animasi negara. Cuma, ia agak sepi seketika dan kemunculan Upin dan Ipin mula membuka mata akan potensi kreativiti animasi tempatan.

Animasi telah menjadi sebahagian kehidupan penting dalam setiap individu mahupun masyarakat. Ia merupakan medium hiburan paling hampir dengan penonton khasnya kanak-kanak. Malah tidak hairan jika stesen televisyen Malaysia berusaha menyiarkan pelbagai program animasi yang menarik terutama yang membawa mesej positif.
2.0       ANIMASI UPIN DAN IPIN


”Upin & Ipin” ialah tajuk bagi sebuah siri animasi tayangan singkat yang dihasilkan oleh syarikat animasi Les' Copaque di Malaysia, dan juga nama bagi dua watak utama siri ini. Upin & Ipin merupakan keluaran sampingan bagi filem Geng: Pengembaraan Bermula yang juga menampilkan watak utama siri animasi tersebut.

Mula-mulanya, ”Upin & Ipin” disiarkan sempena bulan Ramadan pada tahun 2007 di TV9 (Malaysia), dengan tujuan mendidik anak-anak agar menghayati erti bulan mulia, kini menjangkaui lima musim dan tidak terhad pada televisyen, bahkan juga dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet. ”Upin & Ipin” juga berjaya dipasarkan di luar negara, khususnya negara jiran Indonesia.

Program ini diterbitkan oleh Syarikat Les Copaque Sdn. Bhd. hasil kerja berpasukan yang terdiri daripada Tan Shiek Wei, Usamah Zaid, Shafiq, Tan Ying Sowk, Mohd Faiz dan Fuad Md. Din. Muzik yang melatari “Upin dan Ipin” pula digubah oleh Yuri Wong dari The Factory Muzic Studio. Bentuk ikatan sosial yang saling berkait antara satu sama lain dapat ditunjukkan dalam program kartun ini. Hal ini kerana dalam program ini, ia telah mengabungkan pelbagai etnik dalam hasil kerjanya.

Atas kejayaan menambat hati penonton serantau, Upin & Ipin disenaraikan dalam Malaysian Book of Records sebagai "Animasi Paling Berjaya" pada tahun 2011.


Peranan ”Upin dan Ipin” dalam memupuk kesepaduan masyarakat di Malaysia.
Animasi yang disukai ramai ini bukan sahaja menarik minat golongan kanak-kanak, malahan golongan dewasa juga tidak ketinggalan untuk mengenali dengan lebih dekat tentang animasi yang berjaya ini. Dan disebabkan oleh itu ”Upin dan Ipin” secara tidak langsung berperanan menjadi satu medium untuk menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Ini boleh dilihat dari penerimaan animasi ini kepada penonton yang berbilang kaum di Malaysia. Antara lain mengapa animasi ini berperanan menyatupadukan masyarakat di Malaysia juga boleh dikenalpasti dari:

a)      Watak-watak yang berbilang kaum.
Watak utama ialah Upin dan Ipin. Dalam program kartun ini, Upin dan Ipin mempunyai kawan-kawan yang daripada pelbagai kaum. Mereka setiasa bermain bersama-sama sambil hormat menghormati nilai dan budaya sesama mereka seperti mengetahui tradisional kaum-kaum. Kanak-kanak yang menonton kartun ini juga akan mengikutkan gaya watak Upin dan Ipin berkawan dengan kaum lain. Bukan sahaja kanak-kanak akan menonton animasi ini, ibubapa atau ahli keluarga juga akan bersama anaknya menonton animasi ini. Oleh itu, mereka akan serapkan nilai murni kesepaduan daripada animasi ini kerana animasi ini telah menunjukkan konsep 1 Malaysia dan sentiasa berkawan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

b)     Penggunaan Bahasa Melayu.
Selain itu, watak-watak dalam animasi ini mengunakan Bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan untuk komunikasi. Ini dapat mendidik kanak-kanak berkomunikasi dengan menggunakan bahasa kebangsaan dari kecil seperti melentuh buluh biarlah dari rebungnya, supaya mereka berkoumikasi  dapat lebih senang memahami antara satu sama lain walaupun tidak sama kaum.

c)      Ajaran menghormati orang yang lebih tua.
Apa yang menariknya walaupun animasi ini berkisar tentang kehidupan kanak-kanak yang aktif dan nakal namun sempat juga diselitkan dengan ajaran-ajaran positif yang mengajar penonton cilik menghormati orang yang lebih dewasa. Ini dapat dilihat dengan wujudnya watak Kak Ros, Opah, Tok Dalang dan Cikgu Jasmin. Dalam animasi ini watak-watak yang lebih dewasa sentiasa dihormati.

d)     Episod perayaan berbilang kaum.
Setiap kali ada perayaan utama di Malaysia, siri animasi ”Upin dan Ipin” ini tidak pernah ketinggalan untuk mewujudkan senario perayaan tersebut dalam siri mereka. Perayaan-perayaan utama yang pernah digambarkan dalam siri animasi ”Upin dan Ipin” termasuklah perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan juga Krismas. Malahan ada juga episod ”Upin dan Ipin” yang menyiarkan siri khas mengenai perayaan sambutan kemerdekaan Malaysia. Dalam setiap siri atau episod perayaan ini, animasi ini sentiasa menunjukkan teladan yang baik dan juga secara tidak langsung mengajar penonton-penonton menghormati perayaan agama yang berbilang bangsa. Setiap siri dan episod animasi ini mampu memberi pengaruh dan impak besar kepada masyarakat seluruh negara. Apa yang diterjemahkan dapat memupuk semangat perpaduan kaum berbilang bangsa, penerapan kasih sayang terhadap negara, aspek disiplin serta gambaran suasana sosial politik Malaysia secara lelucon tanpa berat sebelah.

e)      Patriotisme
Selain itu, animasi Upin dan Ipin ini juga banyak memberi tumpuan tentang etika dan tanggungjawab yang mana merupakan konsep penting yang perlu ada dalam melahirkan rakyat yang bersemangat patriotisme. Watak-watak lain seperti nenek iaitu Opah dan Kakak Ros memainkan peranan penting dalam memberi nasihat, bimbingan dan menjadi pendengar mereka keluhan mereka berdua. Nilai-nilai murni yang cuba ditonjolkan dalam cerita animasi ini mudah difahami oleh kanak-kanak dan menjadi satu pengalaman atau kenangan kekal kepada mereka (Les’ Copaque, 2010).

Kesimpulannya, karater-karater program ini dapat memupuk kesepaduan sosial di Malaysia dalam masyarakat melalui nilai-milai murni dan bahasa supaya merealisaikan konsep 1 Malaysia yang ditetapkan oleh perdana menteri. Dengan ini masyarakat akan hidup dalam harmoni dan aman kerana tidak akan berlaku konflik antara kaum seperti konflik perkara 513.


3.0       USAHA KE ARAH PEMBENTUKAN KESEPADUAN SOSIAL

Dasarwarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap penjuru tentang isu perpaduan kaum. Di Malaysia, kita mempunyai pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun. Pihak kerajaan telah betungkus lumus memikirkan seribu satu cara untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum agar peristiwa hitam pada 13 Mei yang melanda negara Malaysia tidak berulang lagi. Persoalannnya, apakah strategi yang boleh dilaksanakan demi mewujudkan perpaduan kaum di tanah air tercinta ini?

Usaha-usaha ini sepatutnya tidak hanya terhad pada penggunaan media massa yang menggunakan medium animasi sebagai contohnya. Pihak sekolah juga turut patut memikul tanggungjawab dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan pelajar. Tindakan ini harus dilakukan oleh setiap guru di sekolah. Sebagai  contoh, para pendidik di sekolah boleh menerapkan nilai perpaduan kaum dalam diri pelajar melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewargenegaraan dan Moral. Bukan sekadar itu, pendidik juga boleh mempratikkan nilai perpaduan ini dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini demikian kerana murid akan mudah terpengaruh dengan setiap perkara yang dilihatnya melalui tindakan guru. Tegasnya, semua guru haruslah menunujukkan teladan yang baik kepada pelajar dan mereka harus menjauhi perkara buruk bak kata peribahasa kalau baik jadikan teladan, kalau jahat jadikan sempadan.

Selain itu, modus operandi yang boleh digunakan oleh pihak kerajaan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat termasuklah menggiatkan kempen kebudayaan bagi menarik minat masyarakat mempelajari budaya kaum lain. Dengan mempelajari budaya kaum lain, masyarakat akan mampu untuk memahami aktiviti kebudayaan kaum lain. Aktiviti yang boleh diadakan semasa kempen tersebut termasuklah pertandingan pakaian tradisional, permainan tradisional, pertandingan tarian tradisional seperti tarian Zapin, Kuda Kepang, Ngajat, Bharata Natyam dan tarian Singa serta pertandingan kuiz berkaitan dengan budaya sesuatu kaum. Dengan melibatkan masyarakat berbilang bangsa dalam sesebuah aktiviti kebudayaan, nilai perpaduan akan dapat disemai sedikit demi sedikit. Orang dahulu selalu berpesan bahawa sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit maka perpaduan yang disemai sedikit-sedikit akan menyubur dalam diri masyarakat berbilang kaum hari ini. Tegasnya, kepelbagaian budaya tidak akan dapat menghalang masyarakat pelbagai kaum untuk bersatu padu.

Seterusnya, perpaduan kaum dapat diwujudkan dengan mengunjungi rumah terbuka. Pelbagai bangsa berkumpul di bawah satu bumbung menepati harapan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Bin Tun Abdul Razak iaitu Gagasan 1 Malaysia. Bukan itu sahaja, pelbagai juadah enak boleh dihidangkan semasa rumah terbuka tersebut seperti nasi minyak, aneka masakan goreng , aneka kuih tradisional, serta makanan kegemaran ramai iaitu ketupat. Perpaduan kaum akan terjalin secara tidak langsung sambil mereka menikmati juadah yang diadakan. Intim perpaduan yang diwujudkan dengan mengunjungi rumah terbuka dapat menjamin kedamaian di Malaysia demi jangka masa yang lebih lama bak kata mutiara Melayu bersatu teguh, bercerai roboh. Secara mudahnya, rumah terbuka bukan sahaja didefinisikan sebagai juadah yang enak dan mampu membuatkan orang terliur, malahan tindakan ini juga ditafsirkan sebagai perpaduan kaum akan terjalin dengan lebih erat.

Antara lain, berbagai-bagai pendekatan yang boleh diambil bagi mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Semua pihak perlu bantu-membantu bagai aur dengan tebing agar nilai perpaduan dapat diterapkan dalam kalangan generasi muda kini kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Sebagai pemimpin masa hadapan,generasi muda seharusnya memiliki sikap perpaduan dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana pemuda harapan bangsa,pemudi tiang negara. Hal ini juga secara tidak langsung memudahkan kerajaan dalam mencapai visi kudsi Gagasan 1 Malaysia pada masa hadapan.


4.0       WATAK-WATAK DALAM ANIMASI ”UPIN DAN IPIN”

Upin dan Ipin, ialah sepasang adik-beradik kembar lelaki Melayu yang tinggal bersama kakak dan opah mereka di sebuah rumah kampung yang terletak di Kampung Durian Runtuh. Mereka berdua telah kehilangan kedua-dua ibu bapa sewaktu kecil (seperti dinyatakan dalam episod Hari Raya dan Istimewa Hari Ibu).

Sebagai panduan membezakan kembar yang berkepala botak ini, Upin ada sehelai rambut berlilit pada kepalanya dan berbaju kuning yang tertulis huruf U padanya. Manakala Ipin pula botak licin dan berbaju biru yang tertulis huruf I serta memakai kain merah pada lehernya.

Ipin lebih riang berbanding kembarnya. Upin pula seorang yang memandang serius peranannya sebagai abang kepada Ipin. Jika ada satu barang yang cenderung mendapatkan ialah Upin karena Upin adalah abang kecuali jika diarahkan berkongi oleh Opah. Upin juga lebih pandai bersuara dan menjadi dalang utama di sebalik gelagat-gelagat nakal yang dilakukannya dan kawan-kawannya. Ipin cenderung untuk mengulang satu-satu perkataan tiga kali dalam ayatnya, khususnya "Betul, betul, betul" dan lebih gemar makan daripada Upin. Ipin menyukai Ayam Goreng. Ipin juga lebih periang dan pandai dalam pembelajaran berbanding Upin. Pada Episod "Kembara Ke Pulau Harta Karun" Upin memilih Kapal Baru dan Ipin lebih memilih makanan (Ayam Rendang, Ayam Madu, Ayam Kuning, Ayam Goreng).

Namun watak-watak di dalam animasi ”Upin dan Ipin” tidak terhad pada hanya Upin dan Ipin. Terdapat lebih dari 26 watak dalam animasi ini dan setiap watak ini mempunyai personaliti mereka yang tersendiri. Apa yang menariknya setiap watak ini menyampaikan teladan yang baik dan bagus bagi setiap situasi yang mereka hadapi. Watak-watak ini juga sebenarnya memberi impak yang besar dalam usaha menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Watak-watak ini dikenali sebagai:

a)      Jarjit Singh
Jarjit ialah seorang kanak-kanak lelaki berketurunan India Punjabi. Meskipun sebaya usianya dengan rakan-rakan sekelas yang lain tetapi suaranya garau seolah-olah dewasa. Jarjit juga dikenali kerana kepandaian berjenaka dan berpantun, khususnya pantun dua baris yang bermula dengan "Dua tiga". Ketika diperkenalkan dulu, Jarjit seolah-olah disisihkan ketika cuba menyertai permainan orang lain, tetapi lama-kelamaan rakan-rakannya membiasakan diri dengan gelagat Jarjit ketika bermain.

Watak ini memainkan peranan penting dalam memupuk masyarakat menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium perantaraan utama dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja bagaimana jarjit petah berpantun menggunakan Bahasa Melayu, ianya bukan sahaja lucu malahan dapat memberi semangat kepada bangsa bukan Melayu untuk mempelajari dana arif dalam berbahasa Melayu.




b)     Ismail bin Mail
Mail adalah yang paling rajin di kalangan kawan-kawan Upin dan Ipin, bukan sahaja di sekolah, bahkan juga gigih mencari rezeki dengan membantu ibunya di gerai ayam goreng. Adakalanya dia juga melibatkan diri dalam gelagat nakal adik beradik kembar ini tetapi gopoh-gapah dan sukar memberi tumpuan. Mail diperkenalkan dalam siri ‘Setahun Kemudian’, ketika dia sukar hendak menunaikan puasa walaupun sudah cukup umur, tetapi dia juga membantu ibunya menjual makanan di Pasar Ramadan. Akhirnya dia berpuasa juga semenjak episod ‘Berpuasa bersama Kawan Baru.’

Watak Mail bukan sahaja mendidik supaya lebih bersemangat berpuasa malahan watak ini sering menunjukkan teladan yang baik seperti patuh kepada arahan ibunya sendiri. Mail juga menunjukkan bakatnya yang pandai membantu ibunya berniaga di gerai mereka. Ini sudah pastinya dapat memupuk semangat keusahawanan di kalangan penonton yang cilik dan juga sifat bertanggunjawab.

c)      Mei Mei
Watak Mei Mei melengkapkan lagi animasi “Upin dan Ipin” ini. Xiao Mei Mei adalah seorang kanak-kanak perempuan yang comel, sopan, rajin, dan waras sekali pemikirannya di kalangan kawan-kawan Upin dan Ipin. Dalam musim pertama Upin & Ipin, sungguhpun berketurunan Cina dan bukan beragama Islam, Mei Mei sempat mengingatkan Upin dan Ipin agar 'tidak membangkitkan kemurkaan Tuhan mereka' dengan berponteng puasa.

Mei Mei juga terkenal di kalangan rakannya sebagai seorang pelajar yang paling bijak di dalam kelas mereka. Mei Mei sering mendapat pujian daripada cikgu mereka iaitu Cikgu Jasmin. Ini sudah pastinya memberi semangat kepada penonton animasi ini agar belajar bersungguh-sungguh dan menjadi pandai seperti Mei Mei.

d)     Tok Dalang
Senin bin Khamis, atau lebih dikenali sebagai Tok Dalang, ialah ketua penghulu Kampung Durian Runtuh dan pakar wayang kulit yang berkali-kali menjuarai pertandingan wayang kulit (seperti yang dilihat pada himpunan piala di rumahnya). Seperti Opah, Tok Dalang banyak meminta pertolongan Upin, Ipin dan kawan-kawan, di samping memberi nasihat kepada mereka. Tok Dalang ada beberapa batang pokok rambutan untuk dijual buahnya, dan seekor ayam jantan peliharaan bernama Rembo. Ahli keluarga Tok Dalang yang dikenali termasuk Tajol yang berumah tangga di bandar, dan dari Tajol ini lahirlah cucu Tok Dalang iaitu Badrol iaitu satu lagi watak utama dalam "Upin dan Ipin".

Watak Tok Dalang sebagai ketua kampung dan penghulu Kampung Durian Runtuh memberi mesej yang jelas kepada penonton tentang perlunya budaya menghormati pemimpin. Selain itu watak ini juga menunjukkan sifat-sifat terpuji sebagai seorang pemimpin yang mana sentiasa membantu penduduk Kampung Durian Runtuh yang dalam kesusahan.
e)      Muthu
Muthu disapa sebagai Uncle Muthu oleh muda-mudi di kampung, ialah seorang pegerai makanan Kampung Durian Runtuh dan bapa kepada Rajoo. Antara makanan dan minuman yang dihidangkan di gerainya ialah nasi dagang, nasi goreng, nasi ayam, teh tarik, Milo dan sebagainya; dalam erti kata lain tidak banyak bezanya gerai Muthu dengan gerai mamak yang dijumpai di bandar.

Watak Muthu dalam animasi “Upin dan Ipin” dianggap penting dalam menggambarkan suasana harmoni berbilang kaum di Malaysia. Ini dapat digambarkan dengan terlihatnya pelanggan-pelanggan di gerai makanan Muthu yang terdiri dari berbilang-bilang bangsa.






5.0       FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KERUNTUHAN PERPADUAN

Perpaduan adalah satu proses menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapatmembentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka.

Perpaduanmasyarakat merupakan sebahagian yang penting daripada perpaduan negara. Oleh itu adalah mustahak bagi kita meneliti latar belakang dan ciri-ciri masyarakat majmuk di negara kita.

Terdapat berbagai-bagai factor yang membawa kepada keruntuhan perpaduan sosial di Malaysia. Antara-antara factor tersebut termasuklah.

a)      Sistem pendidikan yang berbeza
Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, iaitu pada peringkat permulaannya, di Negeri-negeri Selat. Pada awal tahun itu,pihak British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris.Pendidikan Cina dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian.

Pelajaran Cina telah membarai kesedaran kebangsaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakah bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China.

Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal. Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Walau bagaimanapun, keadaan sekolah Tamil tidak pernah setanding dengan sekolah-sekolah Cina, Melayu atau Inggeris.

Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat.Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua golongan terdidik berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernacular yang tidak mempunyai pandangan dunia (world–view) yang sama.

Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan ekonomi.

b)     Penyalahgunaan media massa
Penggunaan media massa seperti media sosial untuk menyebar fitnah antara kaum adalah salah satu sebab utama yang membawa kepada keruntuhan perpaduan sosial di Malaysia. Walaupun ada campur tangan dari pihak kerajaan, perkara ini dilihat agak sukar dibendung kerana kurangnya kesedaran pada masyarakat itu sendiri.

Media massa menyalurkan pelbagai maklumat yang dapat mempengaruhi masyarakat pembaca. Tanpa adanya media, rakyat sesebuah negara tidak mendapat sebarang pengetahuan terutama tentang isu global dan kehidupan mereka umpama ‘katak di bawah tempurung’. pengaruh media massa juga adalah salah satu faktor untuk memperkukuhkan perpaduan kaum. Media massa seperti televisyen, majalah, internet dan akhbar memainkan peranan yang sangat penting dalam pengukuhan perpaduan kaum. Contohnya ialah seperti menyiarkan rencana, dokumentari dan drama khas untuk menyemaikan nilai perpaduan antara kaum.

c)      Isu keagamaan
Beberapa isu sengaja dimainkan dan dijaja secara langsung iaitu menyentuh isu sensitivity agama. Misalnya, isu murtad atau penukaran agama, isu azan, isu kalimah Allah, isu perarakan  kepala lembu, isu kepala babi, isu rumah ibadat dan sebagainya. Jika isu yang sedia ada tidak ditangani dengan baik, ianya boleh membawa kepada keruntuhan perpaduan sosial di Malaysia.

d)     Isu ekonomi
Isu ekuti dan ketidaksamaan agihan kek ekonomi antara kaum menjadi isu yang berpanjangan hingga sekarang dan mungkin berlanjutan hingga masa depan. Jika isu ekonomi Berjaya diurus dengan baik, maka sebahagian permasalahan negara ini Berjaya diselesaikan dan menjamin perpaduan sosial di Malaysia.  Dalam situasi ini, kerajaan perlu memikirkan pendekatan yang bijaksana supaya masyarakat daripada etnik bukan melayu dan Bumiputera tidak terkesan dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan.












6.0       KESIMPULAN

Animasi di televisyen atau filem bukanlah perkara baru dalam industry penyiaran tempatan mahupun antarabangsa. Penggunaan teknologi moden seperti 3D, CGI, dan banyak lagi menggalakkan pengeluaran program animasi sama ada bersiri atau filem. Begitu juga dengan penambahan animator dan pengarah animasi yang mahir serta berbakat dalam penghasilan idea-idea kreatif melalui animasi. Selain itu, penggunaan animasi melalui pesanan khidmat masyarakat juga boleh digunakan dalam meningkat kesedaran mengenai perpaduan, tolong menolong, kesihatan, keselamatan dan banyak lagi. Penggunaan animasi terbukti berkesan dalam menyampaikan mesej dengan betul diikuti pula dengan watak-watak yang berjaya menambat hati penonton tidak kira muda atau tua. Selain itu, jalan cerita yang menggambarkan identiti Malaysia boleh dilihat melalui animasi “Upin dan Ipin” di mana perpaduan menjadi salah satu satu topik utama dalam mempraktikkan semangat kebangsaan di Malaysia.

3140 PATAH PERKATAAN





APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI


Hassan Abdul Muthalib (2007). From Mousedeer to Mouse: Malaysian Animation at the Crossroads. Journal of Inter-Asia Cultural Studies, Vol 8 (2), p288-297

Hizreen Kamal (2010). Upin and Ipin. New Strait Times 5 Jun. Senarai Artikel Terpilih WebInfoline JUN 2010 (Angkasapuri), Pusat Sumber Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK)

Kamil Othman (2013) Multimedia Kreatif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC)

Khairul Ashraf , Kammed, Beh Yuen Hui and A. Raman (2010). Upin & Ipin can help ease tension. The Star, Sept 6.

Khatijah Abd Rashid (2013), Aqil bukan sekadar hiburan, di ambil pada 30 Oktober 2013 daripada http://www.sinarharian.com.my/hiburan/aqil-story-bukan-sekadar-hiburan-1.71700

Les’ Copaque Production (2012). Official Website di ambil Oct 10, 2012 from http://www.lescopaque.com.my

Mohd Amir Mat Omar & Md Sidin Ahmad Ishak (2011), Understanding Culture Through Animation, From the World to Malaysia, Jurnal Pengajian Media Malaysia / Malaysian Journal of Media studies

Siti Isa. (2012) Malaysia: Transforming through Animation and Museum Culture, diambil pada 30 Okt 2013 daripada

Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR