28 Jun 2019

PERBEZAAN ANTARA SAINS SOSIAL DENGAN SAINS TULEN

 



PERBEZAAN ANTARA SAINS SOSIAL DENGAN SAINS TULEN
Oleh:
(Nama)
(Universiti)

PENDAHULUAN

Penyelidikan dapat membantu manusia mencari fakta dan kebenaran mengenai fenomena dunia. Terdapat dua aliran pemikiran dalam menentukan fakta. Pertama ianya telah sedia wujud dalam dunia semasa seseorang dilahirkan. Ia telah ditetapkan oleh individu, masyarakat, adat atau sistem. Tugas manusia hanya berusaha mencari dan menemui fakta-fakta tersebut. Kedua ialah fakta itu subjektif dan bergantung kepada bagaimana kita melihat atau mendekati sesuatu objek atau peristiwa. Manusia juga mencari fakta tetapi faktanya mungkin berlainan dari yang telah ditetapkan oleh manusia lain sebelurn ini atau manusia sediada.
Penekanan manusia kepada usaha pencarian dan penambahan ilmu pengetahuan di zaman moden ini telah menyebabkan pengetahuan manusia dibahagikan kepada dua bidang yang utama, iaitu bidang ilmu Sains Sosial dan ilmu Sains Tulen. Secara mudahnya, bidang Sains Sosial adalah bidang pengetahuan kajian manusia yang melibatkan setiap factor dan aspek kehidupan kumpulan-kumpulan manusia di atas muka bumi ini. Berbeza pula dengan ilmu Sains Tulen yang mana mengkaji bidang pengetahuan yang menyentuh persekitaran semulajadi di mana manusia itu tinggal (Hunt & Colander, 2002).
Rohana (2003), menegaskan yang bidang Sains Sosial adalah suatu disiplin akademik yang mempersoalkan tentang kemanusiaan dalam konteks sosialnya atau mempelajari kehidupan sosial atau lebih tepat mempelajari pola tingkahlaku yang lazim ada pada kelompok-kelompok manusia. Bidang Sains Sosial adalah bidang pengkajian ilmu yang sangat luas dan kompleks. Oleh kerana itu, ia telah dikhususkan kepada disiplin-disiplin atau bidang-bidang yang lebih kecil dan lebih khusus. Menurut Hunt dan Colander (2002), bidang Sains Sosial telah dipecahkan kepada bidang-bidang seperti Antropologi, Sosiologi, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Sains Politik dan Psikologi.



DEFINISI ILMU SAINS

Frasa kata ‘sains’ boleh dilihat sudut pengertiannya dalam dua bentuk iaitu melalui sudut bahasa dan istilah. Ilmu sains merupakan sebuah proses pengumpulan ilmu atau maklumat dan penyusunannya. Perkataan ‘sains’ berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘scientia’ yang bermaksud mendapatkan ilmu atau maklumat. Dalam bahasa Melayu dan Indonesia, pada mulanya perkataan sains tidak begitu digunakan dan sebagai gantinya mereka memakai perkataan ‘ilmu’ sahaja. Sehingga kini dalam bahasa Arab dan Indonesia menggunakan perkataan ilmu dengan makna sains.
Pengelasan ilmu mengikut tradisi Islam amatlah berbeza daripada tradisi lain. Tidak hairanlah Rosenthal, mendapati ratusan takrif ilmu mengikut pelbagai mazhab dalam tradisi Islam. Takrif ilmu mengikut perspektif Islam masih mampu menarik perhatian sarjana Islam kontemporari seperti Syed Muhammmad Naquib Al-Attas yang telah memberi takrifan ilmu yang cukup tajalli (profound) apabila beliau menyatakan ‘ilmu’ secara espistemologi, dengan bersumberkan kepada tuhan sebagai sumber asalnya sehingga sampai makna ke dalam diri sendiri. Dengan acuan kepada diri sendiri sebagai pentafsir dan penerima.
Takrif sains yang popular, pertamanya sains adalah merupakan ilmu pengetahuan yang bersistem yang berdasarkan kepada cerapan, kajian, pengeksperimenan atau uji kaji dan sebagainya. Keduanya, sains juga berupa pengetahuan daripada nalaran atau taakulan, naakulan dan mantik gunaan. Selain itu, juga sains merupakan longgokan teknik, kemahiran, kebolehan berasas kepada latihan, disiplin dan pengalaman malahan sains juga berupa analisis fenomena secara bersistem, mantik dan objektif dengan kaedah yang khusus yang dipraktikkan untuk mewujudkan tumpuan pengetahuan yang boleh dipercayai.

Bidang-Bidang Ilmu Sains
Ilmu Sains terbahagi kepada dua bidang ilmu iaitu ilmu sains sosial dan tulen. Sains Tulen (Natural Science) adalah merupakan penggunaan kaedah saintifik untuk mengkaji benda-benda nyata di bumi ini. Bidang ini merangkumi bidang ilmu astronomi, biologi dan perubatan, fizik, kimia, sains bumi dan juga sains komputer.
Sains Sosial pula adalah merupakan penggunaan kaedah saintifik untuk mengkaji bidang kemanusiaan di dunia ini. Ia juga dikenali sebagai kajian sosial. Bidang ini merangkumi bidang ilmu antropologi, ekonomi, ekologi, etimologi, komunikasi, linguistik, psikologi, sosiologi dan pendidikan.
BAGAIMANA BIDANG SAINS SOSIAL BERMULA

            Bidang Sains Sosial telah melalui tahap evolusi yang panjang sejak sekian lama dan telah melalui jalan-jalan yang penuh berliku sehinggalah ianya berada pada tahap yang sempurna. Seperti juga bidang-bidang ilmu moden yang lain, Sains Sosial juga sebenarnya berakar umbi daripada falsafah rasional (rasionalisme) oleh tokoh-tokoh Yunani seperti Aristotal, Plato, Socrates dan Archemedes. Jika dikaji semula sejarah dan fakta tentang bidang Sains Sosial, kita akan sampai di Zaman Pencerahan (1650 M – 1800 M) di mana ramai ahli fikir di bidang ini bersetuju yang di zaman inilah dimana bidang Sains Sosial bermula dan telah melalui berbagai-bagai tahap sehinggalah ianya dikenali sebagai salah satu cabang kajian Sains manusia. Oleh itu perbezaan dan sejarah tentang Sains Sosial dan Sains Tulen akan dibincangkan dengan meliputi lakaran sejarah yang bermula pada Zaman Pencerahan tersebut.
            Apa yang berlaku di Zaman Pencerahan adalah kesinambungan daripada zaman sebelumnya, iaitu Zaman Renaissance (Kebangkitan Semula) (1450 M – 1650 M). Pada Zaman Renaisance, ahli-ahli falsafah dan cerdik pandai di Barat mula mempersoalkan kewajaran hanya berpegang kepada kepercayaan dan keagamaan untuk memperoleh pengetahuan. Ia berlaku setelah ramai orang Barat menjelajah ke negara-negara Islam yang berkembang maju pada masa itu dan mempelajari falsafah rasional (rasionalisme) yang dikemukakan oleh ahli-ahli falsafah Yunani daripada ahli-ahli falsafah dan cendikiawan Islam semasa seperti, Ibnu Khaldun, Ibnu Sina dan sebagainya.
            Setelah itu, berlakunya penghijrahan semula para serdik pandai Barat ini semula ke negara mereka dan berusaha menyedarkan komuniti masyarakat meraka pada ketika itu tentang pentingnya menggunakan pemkiran yang kritikal untuk memahami dan memperbaiki keadaan masyarakat dan kehidupan. Rentetan penghijrahan ini semula menyaksikan Falsafah rasional terus berkembang di Barat pada Zaman Pencerahan dengan munculnya dua orang tokoh pemikir Peranchis yang terkenal iaitu Charles Montesquieu (1689 M – 1755 M) dan Jean Jacques Rousseau (1712 M – 1778 M). Kelahiran tokoh-tokoh pemikir ini disertai pula dengan tokoh-tokoh pemikir lain yang lebih berpengaruh di Zaman Pencerahan seperti Rene Descartes, Thomas Hobbes dan John Locke (Ritzer, 1996).
            Zaman Pencerahan dikatakan bermula di antara tahun 1650 dan 1700 M dan berterusan sehingga kira-kira seratus tahun selepas itu (1800 M). Ia adalah tempoh masa di mana bidang Sains Sosial mula berkembang dan mengambil tempatnya dalam masyarakat. Zaman Pencerahan adalah suatu tempoh zaman yang menyaksikan rasionalisma (rationalism) muncul semula dan menggantikan agama (religion) dan menjadi perkara yang asas bagi memperoleh ilmu pengetahuan. Pada zaman ini, manusia semakin digalakkan berfikir dan membuat penaakulan secara empirikal dan sistematik. Aspek-apek dalam kehidupan manusia, seperti kepercayaan agama, estetika, pendidikan dan sebagainya boleh dikaji secara sistematik, empirik dan kritikal oleh sesiapa yang berminat. (Hunt & Colander, 2002).
            Saintis dan ahli pemikir di Zaman Pencerahan memutuskan yang adalah mustahil untuk mereka mengetahui dengan sejelas dan tepat mengenai sesuatu bidang ilmu pengetahuan yang wujud pada ketika itu. Mereka memutuskan sedemikian selepas menyedari tentang tentang perbezaan ketara antara ilmu Falsafah dan ilmu Fizik dan untuk mencari perkaitan antara bidang-bidang ilmu adalah sangat mustahil yang disebabkan keterbatasan kemampuan manusia. Dan disebabkan oleh itu mereka memutuskan yang ilmu pengetahuan yang sedia ada perlu dipecahkan kepada skop yang lebih spesifik dan berbeza-beza. Sebagai contoh, ilmu Kimia dan Astronomi telah dikeluarkan daripada bidang Fizik (Hunt & Colander, 2002).
            Asal usul Sains Sosial sebenarnya bermula daripada pecahan bidan Falsafah. Pada ketika Zaman Pencerahan, pemikir-pemikir Falsafah pada zaman itu membahagikan bidang Falsafah kepada beberapa bahagian. Antara salah satu pecahan bidang Falsafah pada ketika itu ialah bidang Metafalsafah; iaitu sebuah bidang kajian yang mana kebanyakkan ahli pemikir bidang tersebut sebulat suara bersetuju yang bidang tersebut tidak boleh diuji secara empirikal. Metafalsafah adalah sebuang bidang Falsafah yang sangat mengujakan untuk dikaji, antara contoh isu dalam bidang Metafalsafah adalah seperti isu kontorversi seperti; jika Tuhan Maha Berkuasa, bolehkah Dia mencipta batu yang sangat berat hingga Dia sendiri tidak mampu mengangkatnya? (Hunt & Colander, 2002).
            Antara lain pecahan yang wujud dari bidang Falsafah adalah bidang kajian yang berkaitan dengan isu-isu yang tidak mustahil secara teorinya untuk diuji secara empirikal. Sebagai contoh, kajian yang berkaitan dengan pecahan kedua ini adalah seperti; apakah jenis organisasi politik dalam masyarakat yang lebih disukai orang? Isu ini boleh untuk dicari jawapannya secara teori, walaupun mungkin jawapannya nanti tidaklah seratus peratus tepat dengan yang sebenar-benarnya diharapkan. Daripada pecahan kedua bidang ilmu Falsafah inilah, bidang Sains Sosial mula muncul dan berkembang (Hunt & Colander, 2002).
            Perkembangan dan evolusi bidang Sains Sosial daripada bidang Falsafah dapat disaksikan bermula di Perancis. Ini dapat dilihat dengan wujudnya sebuah Ensiklopedia yang diedit oleh Denis Di-derot dan Jean d’Alembert yang mendapat kerjasama meluas dari ahli-ahli falsafah dan cerdik pandai di negara tersebut. Ensiklopedia tersebut berada di dalam masyarakat selama beberapa tahun sejak dari tahun 1751 M sehingga 1780 M. memandangkan kandungan Ensiklopedia tersebut mengandungi kaedah dan definisi asas berkenaan bidang dinamakan Sains Sosial (Hunt & Colander, 2002), Ensiklopedia tersebut telah diangkat menjadi satu kamus rasional dalam bidang sains, seni dan Industri. Ianya juga mengandungi artikel yang sistematik tentang manusia dan masyarakat.


ASAS SAINS SOSIAL

Objektif ahli-ahli sains sosial ialah mengkaji dan memahami manusia, masyarakat dan budaya, khususnya corak kehidupan manusia dan berbagai fenomena sosial yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Satu ciri utama fenomena sosial ialah sifat kolektifnya (the collective character of social phenomena).
Fenomena sosial dikatakan bersifat kolektif kerana fenomena sosial adalah berkenaan dengan kehidupan kelompok-kelompok manusia (human groups and collectivities), khususnya, segala aspek yang berkenaan dengannya (Duverger, 1961). Terdapat beberapa konsep yang berkait rapat dengan fenomena sains sosial yang mana boleh dibagikan kepada beberapa bahagian.
Konsep-konsep tersebut ialah masyarakat, komuniti, budaya dan kebudayaan, sistem sosial, struktur sosial, peranan sosial, institusi sosial, dan organisasi sosial. Di samping itu, ada konsep-konsep lain yang menerangkan proses-proses yang dialami oleh kelompok manusia semasa perkembangan kehidupan mereka – di antara proses-proses itu ialah sosialisasi, mobiliti sosial, konflik sosial, stratifikasi sosial, perubahan sosial, perubahan budaya dan interaksi sosial.

Sifat kolektif kehidupan manusia
Masyarakat - Menurut Giddens (1989), masyarakat ialah sekelompok besar manusia yang hidup saling berhubungan dan saling bergantungan berasaskan kepada satu budaya tertentu, semua ahli dalam kelompok manusia itu dikatakan mempunyai dan mengamalkan satu budaya yang sama, atau dalam kata lain, ia adalah satu “system of interrelationships which connects together the individuals who share a common culture”. Masyarakat dibezakan dari komuniti dari segi jenis hubungan sosial yang diamalkan oleh Ferdinand Tonnies -  kemuka dua konsep untuk membezakan konsep masyarakat dari konsep komuniti, iaitu “gemeinschaft” and “gesellschaft” – namun, kedua bentuk ini hanyalah ideal-type constructs – namun, kedua bentuk ini merujuk kepada dua jenis utama masyarakat dan susunan sosial, dan juga merujuk kepada hubungan-hubungan sosial yang berkaitan dengan jenis-jenis masyarakat tersebut (Ting, 1979). Kelompok manusia yang mempunyai hubungan sosial yang lebih specific, impersonal dan instrumental; hubungan yang lebih bersifat secondary dan hanya melibatkan sebahagian dari individu dalam kelompok manusia berkenan, ada ikatan sosial yang lebih bercorak sukarela, contractual dan berdasarkan kepada kepentingan diri sendiri – kelompok itu digelar “gesellschaft” atau masyarakat.

Komuniti - Ialah sekelompok manusia yang umumnya lebih kecil yang mana kebanyakannya ahli-ahlinya berinteraksi secara langsung. Kelompok manusia yang mempunyai hubungan sosial yang bersifat primary yang rapat dan bersemuka; hubungan yang berasaskan kepada ikatan kekeluargaan dan ikatan persahabatan yang rapat – kelompok itu digelar “gemeinschaft” atau komuniti (Ting, 1979). Pada umumnya, gemeinschaft merujuk kepada masyarakat pra-industri, dan gesellschaft merujuk kepada masyarakat yang telah mengalami proses perindustrian, oleh itu, peralihan daripada gemeinschaft ke gesellschaft selalunya dikaitkan dengan proses perindustrian.

Budaya dan kebudayaan - Ahli-ahli dalam kelompok manusia itu mempunyai dan mengamalkan budaya yang tertentu dan khusus kepada kelompok itu. Ringkasnya, budaya bermaksud segala aspek cara hidup sesuatu kelompok manusia. Mengikut Hunt dan Colander (1993), budaya ialah “the total pattern of human behaviour and its products embodied in thought, speech, action, and artefacts and dependent on the capacity for learning through the use of tools, language, and systems of abstract thought”. Budaya juga bererti semua nilai, norma dan kebendaan yang mencirikan sesuatu kelompok atau masyarakat, atau mengikut Giddens (1989), ia adalah “the values, norms, and material goods characteristic of a given group”. Bagi beliau, “no culture could exist without a society. But equally, no society could exist without a culture” (Giddens, 1989). Budaya ialah satu konsep yang sering digunakan dalam sains sosial, terutamanya dalam sosiologi dan antropologi.

Sistem sosial - Sesuatu kelompok manusia, samada masyarakat atau komuniti, juga boleh dianggap satu sistem sosial apabila kelompok manusia atau masyarakat itu mempunyai pelbagai rol sosial yang dimainkan oleh ahli-ahli masyarakat dan yang membenarkan mereka berinteraksi atas dasar nilai, norma dan matlamat yang sama (Ting, 1979). Satu sistem sosial boleh mengandungi sekurang-kurangnya dua rol sosial yang berinteraksi (e.g. suami dan isteri), atau banyak rol sosial. Umumnya, ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat atau komuniti boleh memainkan beberapa rol sosial pada masa yang sama.

Peranan sosial (rol sosial/social role) - Khususnya, peranan atau rol (role) sosial bermaksud satu pola kelakuan jangkaan (expected behaviour) yang berkaitan dengan status atau kedudukan sosial seseorang dalam sesuatu kelompok manusia, cthnya, pelajar, pensyarah, ibu, bapa, anak, doktor, pembantu rumah, dan sebagainya. Semuanya mempunyai rol-rol sosial yang tertentu dan dijangkakan (Ting, 1979). Pendeknya, rol sosial ialah kelakuan yang dijangkakan. Oleh itu, rol sosial berkait dengan status atau kedudukan dalam masyarakat atau kelompok manusia. Rol sosial hanya kelakuan yang dijangkakan dan tidak semestinya diterima oleh semua anggota masyarakat. Setiap individu dalam masyarakat mempunyai banyak status dan memainkan rol sosial yang berlainan (multiple roles) pada masa yang sama dan Konflik rol berlaku apabila wujud pertentangan di antara dua atau lebih rol yang dimainkan oleh seseorang individu.


PERBEZAAN DI ANTARA SAINS SOSIAL DENGAN SAINS TULEN

Sukar sebenarnya untuk memperolehi suatu penulisan yang lengkap dan terperinci mengenai perbezaan di antara bidang Sains Sosial dengan bidang Sains Tulen. Kebanyakan buku yang penulis rujuk hanya memberikan beberapa ayat sahaja mengulas tentang perbezaan di antara kedua-duanya berbanding dengan isu-isu lain yang diulas dengan panjang lebar. Oleh itu, fakta tentang perbezaan di antara bidang Sains Sosial dengan bidang Sains Tulen yang penulis kemukakan di dalam kertas tugasan ini ada di antaranya adalah kesimpulan yang penulis buat sendiri berdasarkan kepada bahan rujukan yang dapat penulis capai.
Perbezaan-perbezaan di antara bidang Sains Sosial dengan Sains Tulen yang dapat dikenalpasti adalah dari aspek-aspek yang berikut:

·         Bahan Kajian yang Khusus (Special Subject Matter)
Menurut Rohana (2003) bahan kajian yang khusus (special subject matter) bagi bidang Sains Sosial dan bidang Sains Tulen adalah berbeza. Bahan yang dikaji dalam bidang Sains Tulen adalah berkisar tentang dunia material ataupun kebendaan, struktur dan sifat sesuatu bahan yang wujud di dunia ini. Ianya dapat dibahagikan pula kepada dua bahagian pula iaitu Sains yang berkaitan dengan kebendaan iaitu seperti bidang Fizik, Kimia dan Biologi dan Sains yang khusus berkaitan dengan manusia seperti bidang Sains Hayat, Fisiologi, Anatomi, Neurologi.
Berbeza pula dengan Sains Sosial yang merupakan bidang atau disiplin ilmu yang mengkaji struktur dan sifat-sifat kelompok manusia, bagaimana individu-individu atau kelompok-kelompok manusia berinteraksi antara satu dengan lain dan juga dengan atau sekeliling mereka. Atau dengan lebih tepat lagi, Sains Sosial merupakan antara disiplin akademik yang mengkaji dan menghalusi persoalan tentang kemanusiaan dalam konteks sosialnya atau mempelajari kehidupan sosial atau lebih tepat mempelajari tingkah laku yang lazim ada pada kelompok-kelompok manusia.

·         Medan Pengujian Hipotesis (Hipoteses Testing Field)
Bidang Sains Sosial dan Sains Tulen juga mempunyai perbezaan dari aspek medan atau lokasi untuk menjalankan kajian atau ujian terhadap pembolehubah yang dicerap. Dalam bidang Sains Tulen, kebenaran dan kesalahan hipotesis boleh dibuktikan dengan tepat melalui eksperimen yang dilakukan di dalam makmal. Ahli penyelidik Sains Tulen boleh melakukan kawalan terhadap pembolehubah (variable) yang dikaji bagi mendapatkan hasil yang tepat. Bahan / material yang dikaji dalam Sains Tulen juga tidaklah begitu kompleks berbanding bahan yang dikaji dalam bidang Sains Sosial iaitu tentang manusia dan kehidupannya di muka bumi ini. (Hunt & Colander, 2002)

Dalam proses dan isu penyelidikan Sains Sosial pula, medan pengujian hipotesisnya adalah kehidupan sebenar manusia ataupun peistiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan manusia. Ianya adalah medan pengujian hipotesis yang sangat besar dan tidak mungkin boleh dibawa masuk ke dalam makmal. Penyelidik Sains Sosial perlu turun ke dalam masyarakat, duduk bersama mereka, membuat pemerhatian terhadap aktiviti-aktivit dalam masyarakat, memahami perbezaaan dan persamaan dalam budaya masyarakat, mengambil kira keunikan setiap masyarakat dalam usahanya untuk menguji sama ada hipotesis kajiannya itu benar ataupun salah. Ia adalah suatu usaha yang memakan masa, sangat memenatkan dan memerlukan penyelidik mempunyai kepakaran dalam bidang yang dikajinya.

·         Ketepatan Hasil Kajian (Exactness of Findings)
Hunt dan Colander (2002) menegaskan yang hasil kajian bidang Sains Sosial mempunyai sedikit perbezaan dengan kajian bidang Sains Sosial. Kebiasaannya penyelidik Sains Sosial mempunyai masalah yang lebih kompleks berbanding dengan penyelidik Sains Tulen. Dalam penyelidikan Sains Tulen, hasil yang diperolehi biasanya tepat dan boleh dikaitkan kepada fenomena yang lain (yang sama ataupun yang hampir sama) yang mungkin berlaku di masa yang lain. Dalam penyelidikan Sains Sosial pula, hasil kajian adakalanya kurang tepat dan meyakinkan (less define and certain) untuk dikaitkan kepada fenomena yang lain (yang sama ataupun yang hampir sama) yang berlaku di masa yang lain.
Dengan kata lain, dalam penyelidikan Sains Sosial para penyelidik yang terlibat mestilah membuat cerapan dengan berhati-hati, membuat klasifikasi dan menganalisis data-data, membuat generalisasi dan berusaha untuk membina dan menguji hipotesis-hipotesis kajian untuk menjelaskan keputusan yang dikemukakan. Sebagai contoh, penyelidik Sains Sosial yang mengumpulkan fakta-fakta berkenaan dengan budaya orang yang berbeza-beza pasti akan menemui persamaan antara budaya-budaya tersebut.
Akan tetapi, sebenarnya setiap dari perbezaan ataupun persamaan dalam budaya-budaya yang dikaji itu mungkin mempunyai keunikannya yang tersendiri yang perlu diberikan perhatian sewajarnya sewaktu membuat kesimpulan kajian. Fakta-fakta yang berbentuk seperti ini adalah sukar untuk diklasifikasikan dan diinterpretasikan. Dengan itu, hasil kajian yang boleh untuk digeneralisasikan kepada persoalan yang sama ataupun yang hampir sama menjadi kurang tepat dan meyakinkan (less define and certain).

·         Pencerapan dan Penjelasan yang Objektif (Objectivity of Observations and Explanations)
Untuk mencapai hasil kajian yang tepat dan boleh digunapakai, pencerapan yang dibuat terhadap subjek atau bahan kajian dan penjelasan yang dikemukakan hasil daripada pencerapan tersebut hendaklah bersifat objektif dan jauh dari mempunyai unsur-unsur bias (berat sebelah). Hal ini adalah mudah bagi pengkaji-pengkaji dalam bidang Sains Tulen. Akan tetapi, ianya sangat berbeza bagi para penyelidik dalam bidang Sains Sosial. Ini adalah kerana penyelidikan Sains Sosial turut mengambil kira aspek nilai (value) yang sifatnya sangat subjektif (Machlup, 1994).
Penyelidikan Sains Sosial banyak berkait rapat dengan manusia dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya. Dan disebabkan oleh faktor 'Manusia' juga (penyelidik juga manusia), ianya kadangkala didapati amat sukar untuk mengenepikan perasaan sendiri tenta apa yang digemari dan tidak digemari, perasaan simpati, sikap prejudis dan rasa kecewa. Natijahnya, ada di kalangan penyelidikan Sains Sosial yang terperangkap dalam hasrat untuk mencuba memperjelaskan harapannya sendiri, kepercayaan-kepercayaan dan pandangan-pandangan yang berat sebelah. Di dalam keadaan ini, penyelidik telah gagal untuk benar-benar mencari kebenaran yang hakiki tentang apa yang diselidikinya (Hunt & Colander, 2002).

·         Jauh dari Pengalaman Setiap Hari (Distance from Everyday Experience)
Menurut Machlup (1994), bidang Sains Tulen adalah suatu bidang yang tidak dapat difahami oleh orang kebanyakan atau orang biasa. Ia pada dasarnya adalah suatu bidang pengetahuan yang hanya boleh dicapai oleh mereka yang mempunyai pemikiran yang terbaik dan kritikal (superior minds) melalui usaha yang gigih. Orang kebanyakan tidak boleh untuk sesuka hati mangambil salah satu artikel profesional dalam bidang Fizik, Kimia ataupun Biofizik dan membacanya jika tidak mempunyai latar belakang yang baik dalam bidang tersebut. Lebih-lebih lagi dalam bidang tersebut yang mana penggunaan terma saintifik dan kajian yang kompleks lagi mengelirukan.
Jauh bezanya jika dibandingkan dengan bidang Sains Sosial. Penyelidikan yang dibuat melalui bidang Sains Sosial tidaklah sesuatu perkara yang begitu asing bagi kebanyakan orang. Cuma mungkin apa yang dikaji adalah isu-isu yang penting tetapi tidak begitu dipedulikan sebab tiada kepentingan untuk berbuat demikian. Dalam hal ini, orang kebanyakan masih boleh untuk membaca artikel yang ditulis dalam bidang Ekonomi, Sosiologi, Antropologi, Sosiologi mahupun bidang-bidang lain dalam Sains Sosial dan memahami kandungannya. Meskipun mungkin ada beberapa istilah-istilah teknikal yang digunakan di dalam artikel tersebut, akan tetapi ia tidaklah sesukar memahami istilah-istilah yang digunakan di dalam bidang Sains Tulen. Orang kebanyakan (layman) masih boleh memahami artikel dalam bidang Sains Sosial yang dibacanya berbanding artikel dalam bidang Sains Tulen.



PERBEZAAN RINGKAS ANTARA SAINS SOSIAL DAN SAINS TULEN

Untuk memudahkan bacaan tentang perbezaan antara Sains Sosial dan Sains Tulen, jadual dibawah diatur untuk memberi penjelasan mudah bagaimana dua bidang ini berbeza dari segi amali dan praktikal.



Sains Sosial
Sains Tulen

Matlamat

Memahami interaksi manusia
Memahami Fenomena dalam

dalam masyarakat.
dunia nyata.

Ramalan

Keupayaan ramalan rendah.
Ramalan sentiasa wujud.


Objek kajian
Interaksi Sosial
Dunia fizikal

Metodologi
Kaedah Saintifik
Kaedah Saintifik

Pengesahan empirikal melalui
Pemalsuan empirikal melalui

pemerhatian, temu bual dan
uji kaji, pemerhatian,

kaji selidik.
dan ukuran.


Gabungan kualitatif dan

pendekatan kuantitatif
Pendekatan terutamanya kuantitatif

Kekurangan
Pendekatan Induktif dan sintetik
Persoalan epistomik

tidak membenarkan
Tiada persoalan (moral, nilai, dsb)

pengesahan oleh eksperimen



Kerumitan fenomena

menyebabkan pengetahuan terhad


Berdasarkan jadual di atas, adalah jelas menunjukkan yang pendekatan yang berbeza diperlukan untuk mengkaji kedua-dua bidang diatas. Kekurangan tidak dinafikan akan wujud pada setiap akhir kajian, tetapi ianya bergantung kepada tahap kesukaran bahan kajian, masalah dan cara kajian yang dipilih dalam kajian tersebut.


KESIMPULAN

Bidang Sains Sosial pada dasranya adalah suatu bidang yang sangat luas dan sangat menarik untuk dipelajari dan dihayati. Walaupun ada juga pendapat yang menegaskan bahawa bidang Sains Soisal adalah bidang yang rendah tarafnya berbanding Sains Tulen, penulis tetap percaya yang bidang Sains Sosial ini mempunyai sumbangan yang besar terhadap kemajuan dan tamadun manusia. Keperluan hidup ketika ini dan kemajuan yang mendadak dalam hampir semua aspek kehidupan manusia telah menjadikan bidang Sains Sosial menjadi sangat penting seiring dengan bidang Sains Tulen.
Aspek dan faktor yang terlibat dalam kedua-dua bidang Sains ini adalah sangat berbeza antara satu sama lain. Akan tetapi, bagi mendapatkan kehidupan yang lengkap dan menyeluruh, kemajuan dalam kedua-dua bidang ini amat perlu. Sebuah negara membangun atau negara maju, bidang Sains Sosial juga mempunyai peranan yang sama penting dengan bidang Sains Tulen dalam menentukan halatuju sesebuah negara itu. Bidang Sains Sosial contohnya telah memberi banyak jawapan tentang kehidupan manusia dalam masyarakat dan faktor-faktor yang memberi pengaruh kepada mereka. Oleh itu bidang Sains Sosial patut diberi perhatian yang lebih untuk memastikan yang bidang ini tidak dipinggirkan.
Pada waktu tugasan ini ditulis, penulis percaya dan berpendapat yang bidang Sains Sosial tidak dipinggirkan oleh kerajaan Malaysia. Walaupun penyertaan pelajar di Universiti awam di negara ini dalam bidang Sains Sosial masih dikatakan rendah berbanding bidang Sains Tulen, ianya boleh dianggap normal bagi sebuah negara yang sedang membangun. Malaysia sedang berusaha untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dengan itu, keperluan untuk memiliki rakyat yang terlatih dalam bidang Sains Tulen adalah selaras dengan hasrat dan cita-cita tersebut. Sedangkan, bidang Sains Sosial telah sekian lama mendapat tempat dan kedudukannya dalam universiti awam. Apa yang pasti, kedua-dua bidang Sains Sosial mahupun Sains Tabi’i adalah sangat penting dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain.


RUJUKAN

Bailey, K.D. Kaedah penyelidikan sosial. Terj. Hashim Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Cohen, I. J. (1989). Structuration theory: Anthony Giddens and the constitution of social life (p. 17). London: Macmillan.
Hunt, E.F. & Colander, D.C. 2002. Social science: An introduction to the study of society. Massachusetts: Allyn & Bacon.
Machlup, F. 1994. Are the social science really inferior? Dlm. Martin, M. & McIntyre, L.C. (pnyt). Readings in the philosophy of social science, hlm. 5-19. Massachusetts: The MIT Press
Mohd. Majid Konting. 2000. Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ritzer, G. 1996. Sociological theory. Ed. Ke-4. New York: The McGraw-Hill Companies, Inc.
Rohana Yusof. 2003. Penyelidikan sains sosial. Bentong: Pts Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Ting, C. P. (1979). Teori sosiologi dan hubungan ras.

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit, sed diam nonummy nibh euismod tincidunt ut laoreet dolore magna Veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat.

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
Sarah
+60182765083
KUALA LUMPUR