30 Ogo 2018

SEJARAH ASIA

 

Asal Usul Masyarakat Jawa


ISI KANDUNGAN
1.0       PENGENALAN                                                                                                        3

2.0       ASAL USUL MASYARAKAT JAWA                                                                    4

3.0       STRUKTUR MASYARAKAT JAWA                                                                     5

4.0       KONSEP KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA KUNO                               5

5.0       AMALAN DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA SEBELUM KEDATANGAN ISLAM                                                                                                 8

6.0       KESIMPULAN                                                                                                          11

7.0       RUJUKAN                                                                                                                 12
1.0       PENGENALAN
Sebelum Islam sampai ke tanah Jawa, majoriti masyarakat Jawa menganut kepercayaan aninisme dan dinamisme. Ini termasuklah kepercayaan-kepercayaan yang mempunyai hubungan atau unsur-unsur budaya Hindu dan Buddha dari India. Selain dari itu masyarakat Jawa kuno banyak mempercayai unsur-unsur mistik dalam kehidupan yang kadangkala menyimpan misteri alam yang sangat kompleks. Linton dalam Krisanto (2015), membuat hipotesis bahawa orang nusantara pada zaman prasejarah sudah mempunyai sistem kepercayaan kepada kuasa-kuasa luar biasa dan animisme, makhluk alam ghaib yang kononnya menguasai alam semesta. Dari segi amalan agama pula, menurut catatan Saptono, (2012), penduduk Jawa Barat menyembah berhala dan menganut agama hindu dari aliran Brahmaisme, Saivaisme dan Visyanisme. Ianya bermula pada tahun 420 masihi dimana seorang raja dari Kashmir, India bernama Gunaarman telah mengunjung alam melayu untuk menyebarkan agama Budha.

Namun begitu, pada abad ke 13 masihi, Islam mula tersebar di alam melayu dan mula mempengaruhi masyarakat Jawa. Islam tiba di Pasai sekitar tahun 1297 masihi dan di Terengganu pada 1303 masihi (Hasbullah, 2009). Dengan kedatangan semua pengaruh asing ini perkembangan dalam masyarakat telah berlaku, begitu juga dengan masyarakat jawa. Perkembangan ini meliputi bidang ekonomi, politik, kepercayaan, adat istiadat, undang-undang, kesusasteraan dan kesenian.

Oleh itu, makalah ini ditulis bagi membincangkan tentang kepercayaan-kepercayaan masyarakat Jawa sebelum dipengaruhi agama Islam. Ini termasuklah dari segi kehidupan seharian dan juga amalan agama mereka sebelum pengaruh Islam. Makalah ini juga akan mengupas asal usul kepercayaan-kepercayaan masyarakat jawa dengan meneliti susur galur masyarakat ini dari sudut ethnografi dan juga sejarah mereka disamping membincangkan amalan-amalan masyarakat ini sebelum kedatangan Islam di kepulauan tersebut.

2.0       ASAL USUL MASYARAKAT JAWA
Menurut pendapat beberapa ahli arkeologi, masyarakat Jawa dikatakan telah berada di kepulauan Jawa sejak satu juta tahun yang lepas. Berdasarkan dari bukti-bukti arkeologi, ahli-ahli arkeologi ini telah menemukan beberapa rangka tulang manusia Pithecanthropus Erectus[1] dan Homo sapiens yang dikatakan mempunyai persamaan dengan manusia purba yang menjadi nenek moyang masyarakat jawa. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan ujian DNA yang dilakukan keatas rangka tulang tersebut.

Namun begitu, terdapat juga pendapat lain tentang asal usul orang jawa di tanah Jawa. Menurut satu tulisan kuno di India, ada menyebut beberapa pulau di Nusantara termasuk Nusa Kendang pada awalnya adalah satu tanah yang tergabung dengan Daratan Asia dan Australia. Pulau Jawa dan beberapa pulau lainnya kemudian terpisah oleh meningkatnya permukaan air laut dalam jangka waktu yang lama. Dalam tulisan tersebut juga ada menyebut tentang seorang pengembara yang bernama Aji Saka[2] yang pertama kali menjejakkan di Tanah Jawa. Aji Saka menetap di kawasan tersebut bersama beberapa orang pengawalnya yang dikatakan menjadi nenek moyang masyarakat Jawa di Tanah Jawa (Ismawati, 2005).

3.0       STRUKTUR MASYARAKAT JAWA
Menurut Clifford (1983) masyarakat Jawa asli di dikelaskan kepada tiga kelas utama iaitu abangan, santri dan priyayi. Kehidupan mereka diketuai oleh seorang ketua. Ketua memainkan peranan yang penting dalam menjalani kehidupan demi menjamin kerukunan masyarakat Jawa.

Ketiga-tiga varian ini diringkaskan seperti berikut: Abangan yang mewakili sikap menekankan aspek yang lebih luas tentang animisme sinkretisme Jawa, dan secara luas berkaitan dengan unsur-unsur petani di kalangan penduduk; Para santri yang mewakili sikap menekankan aspek-aspek agama dalam sinkretisme, secara amnya dikaitkan dengan unsur saudagar (serta unsur-unsur tertentu di kalangan petani); dan Priyayi yang sikapnya berfokus pada aspek Hindu dan berkaitan dengan unsur-unsur birokrasi.

Namun begitu, Menurut Harsja W. Bachtiar, pembahagian tersebut dilihat kurang tepat, kerana klasifikasi abangan dan santri selalu dikaitkan dengan tingkah laku masyarakat. Seorang santri lebih bersifat keagamaan daripada seorang abangan, sedangkan ukuran ketaatan bergantung pada nilai-nilai peribadi mereka yang menggunakan istilah tersebut. Begitu juga istilah priyayi tidak boleh dianggap sebagai kategori klasifikasi yang sama, kerana ada orang priyayi yang taat kepada agama, dan sebab itulah mereka dipanggil santri, dan ada orang prijaji yang tidak taat atau tidak memperhatikan urusan agama, dan oleh itu ia dipanggil abangan. Istilah priyayi biasanya disediakan untuk orang-orang yang mempunyai status sosial tertentu yang berbeza dengan orang biasa yang disebut orang cilik, orang widah, dan orang tani.

Namun begitu, selepas kedatangan Islam di kepulauan tersebut, struktur masyarakat jawa telah berubah mengikut acuan Islam. Ketua masyarakat Jawa ialah Lurah dan Kiai. Lurah merupakan penghulu dalam masyarakat Jawa. Ia mempunyai tanggungjawab dan memikul amanah yang besar bagi memastikan keselesaan penduduk kampung. Lazimnya pemilihan Lurah adalah berdasarkan kebolehan, pengalaman, keturunan dan pengetahuan dalam agama. Jawatan Lurah kebiasaannya akan disandang selagi diterima oleh penduduk kampung. Jawatan Lurah akan dibantu oleh beberapa orang pembantu untuk memudahkan urusan pentadbiran. Selain menjaga keselamatan kampung, Lurah menjadi ketua ketika aktiviti gotong-royong dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.

4.0       KONSEP KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA KUNO
Kepercayaan adalah berasal dari kata asal ‘percaya’ bermaksud gerak hati dalam menerima seusuatu yang logik dan bukan logik tanpa suatu beban atau keraguan sama sekali kepercayaan tersebut bersifat murni. Kepercayaan mempunyai maksud yang hampir sama dengan keyakinan dan agama namun mempunyai definisi yang sangat luas.

Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Jawa, kepercayaan Hindu, Buddha, dan kepercayaan kuno yang berdasarkan kepercayaan Animisme dan Dinamisme telah menjadi kepercayaan masyarakat jawa (Jamil, 2002). Namun begitu, ajaran agama Hindu seperti kepercayaan tentang kewujudan para dewa, kitab-kitab suci, orang-orang suci, roh-roh jahat, lingkaran penderitaan, hukum karma dan hidup bahagia abadi menjadi kepercayaan majoriti masyarakat Jawa pada waktu tersebut. Agama Buddha pula mempunyai pengaruh dari sudut empat kepercayaan iaitu Kasunyatan dan juga percaya kepada Tuhan yang yang dinamakan Sang Hyang Adi Buddha (Hadiwijoyo, 1994).

Perbincangan tentang kepercayaan-kepercayaan orang jawa sangatlah luas dan meliputi berbagai aspek yang bersifat mistik atau ghaib yang jauh dari jangkauan kekuatan dan kekuasaan normal. Ini adalah kerana walaupun sebelum kedatangan agama-agama lain, masyarakat jawa sudah mula mempunyai kepercayaan wujudnya tuhan yang maha esa dengan berbagai sebutan diantaranya adalah 'gusti kang murbeng dumadi' atau tuhan yang maha kuasa yang dalam seluruh proses kehidupan masyarakat jawa pada waktu itu sering berorientasikan pada tuhan yang satu. Oleh itu, masyarakat jawa telah terdedah, kenal dan mengamalkan konsep ketuhanan ribuan tahun sebelum kedatangan agama-agama lain (Shodiq, 2013).

Menurut Simuh (1988), masyarakat jawa percaya bahawa Tuhan adalah pusat alam semesta dan pusat segala kehidupan kerana bagi mereka sebelum kewujudan alam, tuhan telah sedia wujud. Pusat yang dimaksudkan dalam kepercayaan mereka adalah satu kuasa yang memberikan kehidupan, keseimbangan, dan kestabilan yang menjadikan dunia berfungsi. Kepercayaan tersebut dikenal sebagai Kawula Lan Gusti, iaitu pandangan yang menggangap bahawa kewajipan moral manusia adalah untuk mencapai harmoni dengan kesatuan terakhir dan pada kesatuan terakhir itulah manusia menyerahkan diri secara total selaku kawula (hamba) terhadap Gustinya (Sang Pencipta).

Menurut masyarakat itu lagi, pandangan hidup merupakan satu abstrak dari pengalaman hidup. Pandangan hidup adalah satu pengaturan mental dari pengalaman hidup yang seterusnya mengembangkan suatu sikap terhadap kehidupan. Ciri pandangan hidup masyarakat jawa adalah realiti yang mengarah kepada pembentukan kesatuan numinus antara alam nyata, masyarakat, dan alam ghaib yang dianggap keramat. Masyarakat percaya yang kehidupan mereka telah ditetapkan dan tugas mereka adalah menjalani kehidupan tersebut.

Asas kepercayaan masyarakat jawa adalah satu bentuk keyakinan bahawa segala sesuatu yang ada di dunia ini pada hakikatnya adalah merupakan kesatuan hidup. Mereka memandang kehidupan manusia selalu terpaut erat dalam kosmos alam semesta. Dengan demikian kehidupan manusia merupakan suatu perjalanan yang penuh dengan pengalaman-pengalaman yang spiritual. Pada masyarakat jawa, pandangan ini merumuskan kehidupan manusia berada dalam dua alam iaitu makrokosmos dan mikrokosmos. Makrokosmos dalam fikiran masyarakat hidup terhadap alam semesta yang mengandungi kekuatan supernatural dan penuh dengan hal-hal yang bersifat misteri. Mikrokosmos pula adalah sikap dan pandangan hidup terhadap realiti. Tujuan utama dalam hidup adalah mencari serta menciptakan keselarasan atau keseimbangan antara kehidupan makrokosmos dan mikrokosmos.

Dalam makrokosmos pusat alam semesta adalah Tuhan. Alam semesta mempunyai hirarki yang dikahskan dengan adanya jenjang alam kehidupan masyarakat Jawa dan adanya perkembangan dunia yang semakin sempurna (dunia atas-dunia manusia-dunia bawah). Alam semesta terdiri dari empat arah utama ditambah satu pusat iaitu Tuhan yang mempersatukan dan memberi keseimbangan. Sikap dan pandangan tehadap dunia nyata (mikrokosmos) adalah tercermin pada kehidupan manusia dengan lingkungannya, susunan manusia dalam masyarakat, tata kehidupan manusia sehari-hari dan segala sesuatu yang nampak oleh mata. Dalam mengahdapi kehidupan manusia yang baik dan benar didunia ini tergantung pada kekuatan batin dan jiwanya.

5.0       AMALAN DAN KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Masyarakat jawa sebelum kedatangan Islam mempunyai pegangan kuat terhadap amalan animisme dan dinamisme. Mereka mempunyai kepercayaan yang kuat kepada kuasa-kuasa ghaib atau semangat-semangat yang mendiami alam. Ia berkaitan kepercayaan terhadap makhluk halus dan semangat sesuatu tempat. Mereka mempercayai sesuatu tempat menjadi kediaman makhluk halus sehingga ada yang menganggap tempat itu keramat.

Terdapat juga masyarakat Jawa yang mempercayai tentang semangat di tempat yang baru. Sekiranya semangat tersebut hilang atau diganggu gugat seperti membersihkan kawasan, dipercayai akan menyebabkanseseorang itu mendapat penyakit. Oleh itu, mereka perlu membuat beberapa semahan atau menjamu dengan bertih supaya semangat tersebut pulih seperti sedia kala.

Selain itu, masyarakat Jawa juga mempercayai beberapa objek yang mempunyai kuasa seperti busut, batu-batu besar atau pokok-pokok besar. Kuasa ini dikatakan mampu memberi kesan kepada mereka yang mengusik atau melakukan perkara yang tidak senonoh kepada objek tersebut. Justeru itulah ramai dalam kalangan tersebut mengambil peluang dengan menjadikan busut, batu atau pokok besar sebagai objek pujaan.

Di samping itu, bagi masyarakat Jawa, mereka mempercayai pelbagai jenis roh yang tidak kelihatan yang dapat menimbulkan bahaya seperti kecelakaan atau penyakit. Untuk melindungi semuanya itu, mereka memberi upah yang terdiri dari nasi dan aneka makanan, daun-daun bunga serta kemenyan.

Pelaksanaan upacara dilaksanakan oleh masyarakat jawa agar keluarga mereka terhindar dari roh jahat. Mereka meminta berkat pada roh, dan meminta roh jahat agar tidak mengganggu. Mereka membuat beberapa monumen yang diperbuat dari batu besar sebagai tempat-tempat pemujaan untuk memuja nenek moyang serta untuk menghalau hantu yang jahat. Mereka yang pernah hidup pada masa sebelumnya dianggap banyak jasa dan juga pengalamannya sehingga perlu dimintai berkat dan petunjuk. Cara yang digunakan untuk memuja roh nenek moyang adalah dengan mengundang orang yang sakti dan ahli dalam bidang tersebut, yang di sebut perewangan, untuk memimpin acara. Mereka juga membuat patung nenek moyang agar arwah roh nenek moyang masuk dalam patung tersebut dengan bantuan dan upaya perewangan tersebut. Sebagai kelengkapan upacara tersebut mereka menyiapkan sesaji dan membakar kemenyan atau bau-bauan lainnya yang digemari oleh nenek moyang. Mereka menyempurnakan acara tersebut dengan tari-tarian dan bunyi-bunyaian agar roh nenek moyang yang dipuja menjadi gembira dan berkenan memberi berkat kepada keluarganya. Amalan upacara keagamaan seperti yang diterangkan di atas masih dapat diamalkan dalam kehidupan masyarakat jawa sekarang. Namun, upacara tersebut telah berubah fungsinya menjadi kesenian rakyat tradisional. Seperti sintren, nini thowok, barongan, tari topeng dan pertunjukan wayang.

Masyarakat jawa mempercayai bahawa apa yang telah mereka amalkan adalah hasil dari adaptasi hubungan dengan alam. Kekuatan alam didasari merupakan penentuan dari kehidupan seluruhnya. Sebagai contoh, keberhasilan pertanian bergantung kepada kekuatan alam, matahari, hujan, angin, dan hama, dan mereka juga mempercayai kekuatan ghaib di sebalik semua itu. Oleh itu, sebagai sisa peninggalan masa lalu adalah melakukan tindakan keagamaan dengan berusaha untuk menambah kekuatan batin agar dapat mempengaruhi alam semesta atau jagad gede. Hal ini dilaksanakan agar semua kekuatan alam yang akan mempengaruhi kehidupan diri dan keluarga dapat dikalahkan.

Usaha ini ditempuh dengan cara perlakuan prihatin atau merasakan kesengsaraan batin dengan cara cegah dahar lawan guling (mencegah makan dan mengurangi tidur), mutih (hanya makan makanan yang serba putih seperti nasi putih, minuman air atau air tawar), ngasrep (hanya makan makanan dan minum-minuman yang rasanya tawar atau tanpa gula dan garam), dan berpuasa pada hari-hari wetonan atau hari lahir. Usaha yang berat adalah melakukan pati geni iaitu, tidak makan, tidak minum, dan tidak melihat sinar apapun selama empat puluh hari empat puluh malam. Usaha untuk menambah kekuatan batin itu sendiri dilakukan dengan cara menggunakan benda-benda bertuah atau berkekuatan gaib yang disebut jimat, yakni berupa keris, tombak, songsong jene, batu akik, atau apa-apa objek lain. Amalan kepercayaan tersebut adalah peninggalan dari kepercayaan dinamisme.

6.0       KESIMPULAN
Sebelum kedatangan Islam di Tanah Jawa, masyarakat Jawa sudahpun mempunyai kepercayaan kuno yang terbentuk dari unsur-unsur agama Hindu dan Buddha. Namun begitu, konsep keagamaan atau ketuhanan di kalangan masyarakat Jawa boleh dikesan ribuan tahun sebelum lagi dimana konsep ketuhanan masyarakat Jawa diamalkan secara majoriti. Oleh itu, masyarakat jawa telah terdedah, kenal dan mengamalkan konsep ketuhanan ribuan tahun sebelum kedatangan agama-agama lain.

Pengaruh-pengaruh dari agama ini memberi kesan kepada kepercayaan masyarakat jawa seperti kepercayaan Animisme dan Dinamisme iaitu sistem kepercayaan kepada kuasa-kuasa luar biasa (dinamisme) dan makhluk alam ghaib yang kononnya menguasai alam semesta (animisme).

Sungguhpun demikian, amalan dan kepercayaan animism dan dinamisme ini semakin hilang ditelan zaman kerana Islam menegaskan amalan ini dianggap sebagai perbuatan syirik dan bertentangan dengan agama. Kedatangan Islam di tanah Jawa menyebabkan beberapa kepercayaan ini ditinggalkan atau digabungkan dengan ajaran Islam.

7.0       RUJUKAN
Geertz, Clifford (1983). Abangan, Santri, Priyayi Dalam Masyarakat Jawa. Jakarta: Pustaka Jaya.
Hadiwijoyo (1994). Agama Hindu dan Budha, Jakarta: Gunung Mulia
Hasbullah. (2009). Islam dan Tamadun Melayu. Riau: Daulat Riau.
Ismawati. (2005). Keilmuan Islam di Pesisir Utara Jawa Abad ke 15-17. Makalah Stadium General IAIN Walisongo Semarang.
Kistanto, N. H. (2015). Tentang Konsep Kebudayaan. Sabda: Jurnal Kajian Kebudayaan, 10(2).
Jamil, Abdul (2002). Islam Dan Kebudayaan Jawa. Yogyakarta: Gama Media
Saptono, N. N. (2012). Penelitian Puncak-Puncak Peradaban di Pantai Utara Jawa Barat dan Proses Perjalanan Masyarakat Hindu. KALPATARU, 21(1), 30-38.
Shodiq (2013). Potret Islam Jawa. Semarang: PT. Pustaka Rizki Putra.
Simuh (1988). Mistik Islam Kejawen Raden Ngabehi Ranggawarsita. Jakarta: UI Press.





[1] Pithecanthropus erectus adalah nama saintifik yang diberikan kepada fosil manusia awal yang ditemui di pulau Jawa (Indonesia) pada tahun 1891 dan 1892. Ekspedisi penggalian tersebut diketuai oleh Eugène Dubois yang menemukan gigi, tengkorak dan tulang paha di tebing Sungai Solo di Jawa Timur. Fosil ini juga popular dengan nama Java Man.
[2] Aji Saka adalah legenda Jawa yang mengisahkan tentang kedatangan peradaban ke tanah Jawa yang dibawa oleh seorang raja bernama Aji Saka. Kisah ini juga menceritakan mengenai mitos asal usul Orang Jawa di tanah Jawa.

Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR