POLITIK TRADISIONAL
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA
PERLUASAN KUASA BRITISH DI TANAH MELAYU
Pengenalan
Penguasaan
British ke atas Tanah Melayu pada abad ke-20 menandakan bermulanya
kolonialisasi Inggeris ke atas di Tanah Melayu. Jika ditelusuri bukti-bukti
sejarah, penguasaan British ke atas Tanah Melayu pada dasarnya adalah
disebabkan oleh kepentingan perdagangan pada waktu itu[1]. Ianya juga disebabkan
oleh rasa bimbang British ke atas kemaraan kuasa-kuasa besar asing yang lain
seperti Jerman, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat yang mula membina
kepentingan mereka di negara-negara lain di Asia Tenggara. Rentetan perkara
itu, British mula memperluaskan kuasanya ke atas Tanah Melayu dengan menguasai negeri-negeri
Melayu yang terdiri daripada Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang pada
mulanya berada di bawah kerajaan Siam. Perluasan kuasa British ini dapat
dilihat melalui beberapa perjanjian termasuklah Perjanjian Burney (1826), Perisytiharan
Inggeris-Siam (1902), dan juga Perjanjian Bangkok (1909).
Oleh
yang demikian, makalah ini ditulis bagi membincangkan tentang faktor-faktor
yang membawa kepada perluasan kuasa British di Tanah Melayu.
Faktor-faktor Perluasan Kuasa British
di Tanah Melayu
Selain
British, Belanda juga menjadi salah satu kuasa Barat yang berpengaruh di
kawasan kepulauan Melayu. Kedua-dua kuasa besar ini sentiasa berusaha untuk
mengukuhkan kekuasaan dan juga pengaruh mereka. Situasi ini telah menyebabkan wujudnya
persaingan antara keduanya untuk mendapatkan wilayah kekuasaan. Termetrainya
Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 menjadi titik awal pembentukan kerjasama
antara British dengan Belanda di rantau Asia Tènggara. Perjanjian tersebut
telah menamatkan segala persaingan dan permusuhan antara dua kuasa Barat
tersebut. Malahan perjanjian tersebut telah mendorong kedua-dua kuasa untuk
mengukuhkan kekuasaan di Asia Tenggara[2].
Perjanjian
Inggeris-Belanda dilihat sebagai satu usaha yang dibuat oleh kedua-dua buah
kuasa besar tersebut bagi menamatkan persaingan mereka di Asia Tenggara. Ini
ada kerana, sebelum ini kedua-dua kuasa ini seringkali bertelingkah dan
bermusuhan terutamanya dari segi monopoli perdagangan dan perluasan kuasa di
Hindi Timur. Pertelingkahan sedemikian amat merugikan kerana tumpuan
perdagangan kedua-dua buah negara ini menjadi terjejas. Bagi mengatasi masalah
ini berlarutan maka kedua-dua belah pihak berusaha membuat perjanjian persahabatan
dan dalam masa yang sama dapat mengelakkan peperangan antara British dengan
Belanda.
Selain
itu, oleh kerana hubungan Britain dengan negara-negara Eropah yang lain semakin
merosot, British berharap Belanda akan menjadi negara penampan terhadap
musuh-musuh yang ingin menyerang Britain melalui perjanjian tersebut. Dengan termeterainya
perjanjian ini juga dapat mewujudkan hubungan baik antara kedua-dua belah pihak
bukan sahaja di Eropah, malahan di Asia Tenggara.
Bagi
pihak Belanda pula, perjanjian ini menjadi perlu kerana negara tersebut telah menerima
bantuan kewangan daripada Britain. Bantuan kewangan ini diterima ketika
Syarikat Hindia Belanda mengalami masalah kewangan yang teruk dan hampir mengalami
kemuflisan. Melihat ianya sebagai sebuah peluang untuk berbaik-baik dengan
Belanda, Britain tampil memberi bantuan pinjaman. Masalah kewangan ini timbul
kerana kemerosotan perdagangan dan ketidakcekapan pentadbiran syarikat tersebut.
Amalan rasuah dikalangan para pegawai Belanda membuktikan ketidakcekapan pentadbiran.
Selaian itu bantuan kewangan juga diberikan oleh Britain untuk membiayai
peperangan antara Belanda dengan Perancis.
Perjanjian
Inggeris-Belanda juga turut dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan
Sumatera dan Singapura. Pembukaan Singapura oleh Raffles pada tahun 1819
mendapat bantahan daripada Belanda. Inggeris juga telah membuka pertempatan di
Sumatera. Pembukaan kedua-dua kawasan tersebut telah menimbulkan ketegangan
kedua-dua belah pihak. Kesan daripada pembukaan Singapura oleh Inggeris
menyebabkan perdagangan Belanda mengalami kemerosotan yang mendadak. Malahan
Belanda mendakwa Singapura dibawah kuasanya memandangkan lokasinya yang berhampiran
dengan Kepulauan Riau yang dikuasai oleh Belanda. Pihak Inggeris telah mengaut
keuntungan sebanyak 4 juta pound hasil perdagangan di Singapura pada tahun
1820. Kedudukanya yang strategik menyebabkan Belanda turut berminat untuk
menduduki pulau tersebut. Sebagai jalan penyelesaian perjanjian Inggeris
Belanda ditandatangani yang mana memihak kepada Inggeris.
Perjanjian
ini telah memberi kesan yang besar dari pelbagai sudut. Sebagai contoh, dari
segi politik Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua berdasarkan kekuasaan Inggeris
dan Belanda[3].
Dan berdasarkan perjanjian tersebut, kawasan Selatan Singapura berada di bawah
kekuasaan Belanda manakala di bahagian utara Singapura menjadi milik Inggeris.
Oleh yang demikian, kedua-dua belah pihak tidak boleh membuat perjanjian dengan
mana-mana negeri yang berada di luar wilayah masing-masing. Ini menyebabkan
Belanda melepaskan Tanah Melayu kepada Inggeris manakala Inggeris melepaskan
Sumatera kepada Belanda.
Selain
itu, perjanjian ini juga menyebabkan perpecahan empayar Johor-Riau. Ini
disebabkan selepas termeterainya perjanjian tersebut, Kepulauan Riau dikuasai
oleh Belanda manakala Johor menjadi wilayah Inggeris. Dalam perjanjian ini juga
dinayatakan bahawa kedua-dua wilayah tersebut tidak lagi mempunyai hubungan
politik dan ekonomi. Keadaan ini telah membawa kepada kemerosotan Kerajaan Riau
akibat daripada tekanan daripada pihak Belanda di Indonesia.
Disebabkan
oleh perpecahan ini, Tanah Melayu dikuasai sepenuhnya oleh British. Keadaan ini
memberikan British status quo di mana
kuasa Barat yang lain tidak akan mencabar dan mengugat kekuasaan Inggeris di
Tanah Melayu. British adalah bebas membuat sebarang hubungan politik dengan
negeri-negeri Melayu. Ini terbukti dengan campur tangan British di Tanah Melayu
untuk menguasai ekonomi terutamanya bijih timah. Penguasaan Inggeris bukan
sahaja dari segi ekonomi malahan juga politik. Ini terbukti apabila Inggeris
campur tangan dalam hal ehwal politik tempatan dengan memperkenalkan sistem
residen[4]. Tujuannya adalah untuk
menguasai system pentadbiran dan pemerintahan negeri-negeri Melayu agar
kestabilan dapat dicapai dan pada akhirnya kegiatan ekonomi mereka akan
berjalan lancar tanpa ada gangguan.
Perkembangan
ini sangat bertentangan dengan sikap dan dasar British pada waktu mula-mula
mereka sampai di Tanah Melayu. Sebelum tahun 1870, British telah menjalankan
dasar tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Hubungan British dengan
negeri-negeri Melayu hanya tertumpu kepada aktiviti perdagangan sahaja. Pada
ketika itu, British tidak mahu terlibat dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu
kerana ingin menjaga hubungan dengan Siam dan menjaga kepentingan perdagangan
British. Pada peringkat awal, British amat mematuhi dasar tidak campur tangan
namun begitu secara realitinya, British telah melanggar dasar ini apabila
kepentingan ekonomi mereka terancam.
Secara
dasarnya, British mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu di atas dorongan
ekonomi. Pihak British perlukan keamanan dan kemakmuran di Tanah Melayu
khususnya dan di Selat Melaka amnya, untuk mempastikan perdagangan mereka
berkembang dengan pantas. Selat Melaka mula menjadi laluan penting dengan
peningkatan jumlah dagangan antara negeri China dengan Eropah dan negeri China
dengan India.
Selain
itu, campur tangan dan seterusnya penjajahan British ke atas Tanah Melayu akan
membuka pasaran baru kepada barangan keluaran British yang akan membawa kepada
kemewahan lebih untuk pengeluar-pengeluar British.
Kesimpulan
Pada
peringkat awalnya sememangnya British mempertahankan dasarnya untuk tidak
campur tangan di negeri-negeri Melayu. Terdapat beberapa kes membuktikan
keadaan ini. Kes Siam ke atas Kedah pada tahun 1821 merupakan salah satu contoh
yang membuktikan keadaan ini[5]. Siam menuduh Kedah
berkomplot dengan Burma. Sultan Ahmad Tajuddin iaitu sultan Kedah meminta bantuan
Inggeris di Pulau Pinang tetapi ditolak oleh Inggeris kerana ingin menjaga
hubungan baik dengan Siam.
Namun
begitu selepas berasa terancam dengan kehadiran Belanda di kepulauan Melayu dan
pengaruh mereka yang semakin berkembang dalam perdagangan di kepualauan
tersebut, British mula mengambil pendekatan lain dengan meluaskan kuasa mereka
di Tanah Melayu. Perjanjian Inggeris-Siam (1902) merupakan satu contoh terbaik
bagi melihat bermulanya perluasan kuasa British di Tanah Melayu. Secara
keseluruhannya, selain untuk memenuhi keperluan ekonomi di Eropah, British
meluaskan kuasanya di Tanah Melayu atas sebab perdagangan dan juga persaingan
dengan Belanda. Hal ini menyebabkan British campur tangan di negeri-negeri
Melayu agar kepentingan mereka terus terjamin.
(1137 PATAH PERKATAAN)
RUJUKAN
Andaya,
Barbara Watson, and Leonard Yuzon Andaya. Sejarah Malaysia. Macmillan, 1983.
Awang,
Surya. "Dasar-Dasar Ekonomi British Di Tanah Melayu Sejak 1819-1957."
Disertasi PhD., Tesis Sejarah, Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia,
2002.
Chandran,
J. "Perjanjian 1909 antara Inggeris dengan Siam serta latar
belakangnya." (1971). Dissertasi tidak diterbitkan. Universiti Malaya.
Cowan,
Charles Donald. Tanah Melayu kurun kesembilan-belas: asal-usul penguasaan
politik British. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970.
Iskandar,
Y., Kaeh, A. R., & Shellabear, W. G. (1978). Sejarah Melayu (Edisi
Shellabear): satu pembicaraan kritis dari pelbagai bidang. Heinemann
Educational Books (Asia).
Jessy,
Joginder Singh. Tawarikh Tanah Melayu, 1400-1959. Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kementerian Pelajaran, 1969.
Said,
Kamaruddin M. 500 tahun Melayu menghadapi cabaran. Cerdik Publications Sdn Bhd,
2004.
[1] Awang Surya. “Dasar-Dasar Ekonomi
British Di Tanah Melayu Sejak 1819-1957” (Disertasi PhD. Universiti Kebangsaan
Malaysia, 2002)
[2] Cowan, Charles Donald. Tanah Melayu kurun kesembilan-belas:
asal-usul penguasaan politik British. (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1970).
[3]
Jessy, Joginder Singh, Tawarikh Tanah Melayu, 1400-1959 (Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1969).
[4] Iskandar, Y., Kaeh, A. R., &
Shellabear, W. G., Sejarah Melayu (Edisi
Shellabear): satu pembicaraan kritis dari pelbagai bidang, (Heinemann
Educational Books (Asia)).
[5] Chandran, J., "Perjanjian
1909 antara Inggeris dengan Siam serta latar belakangnya." (Dissertasi
Sarjana. Universiti Malaya, 1971).