29 Jun 2019

JENIS-JENIS DASAR


                                                                                                                         


ISI KANDUNGAN

1.0       PENGENALAN                                                                                            2

2.0       JENIS-JENIS DASAR                                                                                   3

3.0       MATLAMAT DASAR                                                                                  7
            3.1       Matlamat Kesaksamaan (equity)                                  7
            3.2       Matlamat Kecekapan atau Efisien (Efficiency)    9
            3.3       Matlamat Keselamatan                                                      9
            3.4       Matlamat Kebebasan                                                           11

4.0       KESIMPULAN                                                                                              12

            RUJUKAN / REFERENSI                                                                            13


1.0       PENGENALAN
Dasar atau kebiasaanya disebut sebagai polisi ialah suatu garis panduan pentadbiran atau pegangan mengenai sesuatu idea atau gagasan yang tersusun rapi. Garis panduan pentadbiran ini mengcakupi segala arahan, peraturan dan pedoman sebagai landasan dalam melaksanakan cita-cita yang terkandung di dalamnya demi mencapai matlamat kepimpinan negara ke arah sebuah negara yang gemilang dan maju. Pada umumnya dasar yang dibentuk oleh kerajaan mempunyai objektif, strategi pelaksanaan dan penilaian terhadap keberkesanannya. Ia boleh menjadi panduan pentadbiran kepada kerajaan untuk mengatasi masalah yang wujud dalam sesebuah negara.

Negara tanpa dasar-dasar tertentu akan kelihatan pincang dan sukar bagi pemimpinnya mentadbir atau merancang pembangunan. Dalam erti kata lain, pembangunan sukar dilaksanakan tanpa adanya dasar yang menjadi asas atau tapak yang kukuh. Selain itu, dasar amat penting dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai masalah yang timbul ekoran kesan peninggalan penjajah. Antara keperluan lain dasar selain pembangunan ialah mengatasi masalah ketidakseimbangan yang wujud di dalam masyarakat dan ini dapat menjamin kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Sebenarnya, dasar-dasar yang dibentuk bukan sahaja oleh negara-negara maju sahaja, bahkan yang lebih penting lagi bagi negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Proses merancang, menganalisis dan mengadakan perubahan demi perubahan terhadap dasar-dasar yang sedia ada di samping membuat dasar-dasar baru yang bersesuaian dengan hasrat mewujudkan sebuah negara maju menjelang tahun 2020 masih diteruskan sehingga kini.

Dasar-dasar kerajaan digubal dan dikuatkuasakan selaras dengan nilai-nilai sosio-ekonomi dan politik negara pada satu-satu masa. Oleh kerana sifatnya yang dinamik, maka dasar-dasar kerajaan sentiasa berubah-ubah mengikut nilai-nilai masyarakat dan pucuk pimpinan dari semasa ke semasa.


2.0       Jenis-jenis dasar
Dasar awam boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud dan pengertian. Secara harfiahnya, dasar awam ialah apa juga projek, program atau rancangan daripada pihak kerajaan untuk memberi faedah dan kepentingan kepada satu kelompok rakyat. Dasar Awam boleh didefinisikan antaranya, sebagai apa sahaja pemilihan kerajaan sama ada untuk membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu. (Dye, 1984).

Menurut (Ahmad Atory Hussain: 1990) pula Dasar Awam itu ialah progam atau projek yang dirancang oleh kerajaan yang mempunyai tujuan dan matlamat tertentu.

Dasar awam ialah sesuatu pilihan utama yang dibuat oleh seseorang individu atau sekumpulan individu bagi menjelaskan, menerangkan, mempertahankan, memimpin atau menggariskan sesuatu tindakan sama ada yang nyata atau bertujuan (Prestus, 1975)

Merujuk kamus Inggeris Oxford, Dasar Awam itu memberi definisi tindakan,keputusan dan peraturan badan-badan awam yang terdiri daripada ketua Negara, ahli politik dan pentadbir kerajaan. Oleh yang demikian terdapat satu identiti linguistik di antara orang awam dan dasar (English Oxford Dictionary, 1971)

Merujuk lagi Kamus Dewan (1970): Dasar ialah asas, teras, panduan (pendapat, falsafah, aturan dll). Dasar mempunyai tujuan, matlamat, fungsi, tugas, demi kebaikan dan kepentingan sesuatu institusi(jabatan/agensi/lembaga). Awam pula menurut Kamus Dewan pula memberi makna am, umum, orang biasa. Oleh itu, Dasar Awam ialah teras, panduan atau matlamat am bagi orang awam atau rakyat demi kepentingan masyarakat umumnya. Ia mempunyai ciri kebajikan, semoga rakyatnya hidup selesa, aman dan tenteram, selamat dan sejahtera dengan semangat bekerjasama, bersatu padu dan muhibah di negara yang unik ini seperti Malaysia.

Berdasarkan kepada definisi di atas, didapati dasar awam telah diterangkan secara bergilir-gilir sebagai satu keputusan dalam bentuk pilihan dan penyelesaian kepada masalah; satu matlamat atau objektif; serangkaian program; suatu peruntukan; undang-undang atau pun peraturan. Kesimpulannya kita boleh menganggap dasar awam sebagai apa sahaja keputusan dan tindakan kerajaan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu.

Secara umumnya setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan pastinya mempunyai objektif, matlamat dan tujuan untuk dijadikan sebagai panduan umum dalam mengatasi masalah sesebuah negara. Secara ringkasnya, matlamat dasar mestilah jelas dan merupakan jalan penyelesaian terhadap sebahagian besar masalah rakyat ataupun kumpulan sasaran dasar tersebut. Contoh-contoh Dasar Awam di Malaysia ialah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wanita Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Persyarikatan, Dasar Penswastaan dan lain-lain lagi.

Rajah 1: Jenis-jenis Dasar


Mengikut Chandler (1983) Dasar Awam dapat dikelaskan kepada empat jenis iaitu ;
1.      Dasar berbentuk peraturan (regulatory policy)
Dasar ini menentukan peraturan-peraturan atau tatacara untuk mentadbirkan aktiviti organisasi awam dan swasta serta orang perseorangan. Perkara asas dalam dasar jenis ini ialah penggubahan undang-undang dimana undang-undang akan dijelaskan.

Contoh dasar berbentuk peraturan: Akta Dadah Berbahaya

Akta Dadah Berbahaya telah diperkenalkan di Malaysia sejak 1952 . Kemudian dipinda pada 1985 dengan nama Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dasar Dadah Negara telah diisytiharkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia pada 19 Februari 1983 semasa melancarkan Kempen Anti Dadah. Tujuannya bagi mewujudkan negara Malaysia yang bebas dari ancaman gejala dadah menjelang tahun 2015 bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional.

2.      Dasar agihan semula (redistributive policy)
Dasar ini bertujuan memberikan persamaan daripada faedah yang tersedia atau memindahkan faedah/ sumber yang sedia ada dalam negara atau pun memindahkan punca-punca keluaran negara dari setengah kumpulan kepada kumpulan yang lain.

Contoh dasar agihan semula: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

Bantuan Rakyat Satu Malaysia adalah salah satu bantuan yang telah  di janji oleh Dato Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam bajet 2012, Bantuan Khas RM500 akan diagihkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia melalui LHDN.

Bantuan tunai, secara one-off, sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Bantuan  ini adalah tanda keprihatinan  kerajaan dalam usaha untuk membantu  meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat.


3.      Dasar agihan (distribute policy)
Dasar ini memberi tumpuan pada peluang sama rata kepada semua rakyat untuk menikmati kekayaan negara, di samping merapatkan jurang perbezaan milikan sumber negara antara rakyat.

Contoh dasar agihan: Dasar Eknomi Baru

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:

·         mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
·         mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991. Walaupun begitu elemen-elemen dasar ini masih lagi wujud dan akan diganti secara beransur-ansur apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri

4.       Dasar keselamatan (security policy)
Dasar ini bertujuan untuk mewujudkan perpaduan rakyat serta keadaan yang damai dalam negara. Ia juga melibatkan dasar luar negara dalam menjaga keutuhan wilayah dan kedaulatan negara. Dasar sedemikian tidak tertumpu pada individu atau organisasi tertentu, sebaliknya ia adalah demi kepentingan negara secara keseluruhannya.

Contoh dasar keselamatan: Akta Keselamatan Dalam Negeri

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia, melibatkan beribu-ribu orang termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan dan ada yang ditahan lebih dari sedekad. Namun pada 15 September 2011, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan terus dan digantikan dengan undang-undang baru yang lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan lebih berkesan di dalam menandingi masalah keganasan.


3.0       MATLAMAT DASAR

Setiap negara memerlukan dasar yang mantap dan selari dengan ideologinya untuk membangunkan negara. Negara yang mengamalkan ideologi komunis menekankan dasar tertutup dan berusaha untuk mengagihkan ekonomi negara secara sama rata kepada rakyatnya. Negara Cuba yang terkenal dengan sistem sosialis seringkali mendapat perhatian dunia dan masih lagi mempunyai dasar yang tersendiri dan mampu berdikari walaupun dikenakan sekatan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat. Banyak contoh lain yang kita boleh lihat seperti negara Iran, Korea Utara dan lain-lain lagi.

Melalui dasar yang digubal dan dilaksanakan, pembangunan yang seimbang mampu dicapai. Setiap dasar yang digubal oleh kerajaan mempunyai matlamatnya yang tersendiri. Dengan kata lain, dasar yang digubal bertujuan untuk menyelesaikan masalah-masalah awam yang dihadapi oleh kerajaan. Ada ketikanya kerajaan menjangkakan apakah masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat dan langkah-langkah pro aktif diambil untuk memastikan masalah yang bakal dihadapi dapat diatasi dengan jayanya.

Dalam tugasan ini, anda akan didedahkan dengan empat matlamat dasar awam yang sering digunakan. Keempat-empat matlamat ini adakalanya seringkali berlaku trade-off. Ini kerana kita tidak dapat memenuhi kehendak kesemua pihak. Keempat-empat matlamat tersebut ialah;

Rajah 2: Matlamat Dasar
            3.1       Matlamat Kesaksamaan (equity)

Konsep kesaksamaan adalah mudah untuk kita jelaskan apabila kita melihat kepada aspek yang berlawanan dengannya, iaitu ketidaksamaan. Ketidaksamaan ataupun ‘inequality’ merupakan satu aspek yang amat diberi perhatian dalam ekonomi pembangunan kerana ianya berkaitan dengan persoalan pengagihan kepada individu manusia. Konsep ketidaksamaan pengagihan ini boleh kita kaitkan dengan punca berlakunya kemiskinan dalam sesebuah negara. Kemiskinan boleh jadi berpunca daripada ketidakadilan dalam mengagihkan barangan atau perkhidmatan kepada pihak yang sepatutnya akibat daripada perbezaan nilai, status sosial dan sebagainya.

            3.1.1    Ketikdaksamaan
Ketidaksamaan merupakan kata nama yang berlawanan dengan kesaksamaan atau ‘equity’. Faktor globalisasi dianggap penyebab kepada wujudnya ketidaksamaan hampir keseluruhannya dalam masyarakat terutamanya ketikdaksamaan sosial dan ekonomi. Akibat daripada pengaliran maklumat dan teknologi menyebabkan wujudnya jurang antara masyarakat dan juga antara negara di dunia. Pengetahuan terhadap penggunaan teknologi memberi kelebihan kepada pekerja yang berkemahiran untuk mendapatkan gaji yang lebih berbanding dengan pekerja yang tiada kemahiran. Ini menunjukkan wujudnya ketidaksamaan kerana pekerja yang tidak berkemahiran tidak mempunyai keupayaan dan infrastruktur yang lengkap untuk menambah kemahiran penggunaan teknologi yang ada.

3.1.2    Kesaksamaan
Menurut Stone (1988), kesaksamaan merupakan satu matlamat yang hendak dicapai dalam usaha menyelesaikan konflik yang wujud ekoran daripada pengagihan barangan dan perkhidmatan disebabkan oleh rasa tidak puas hati pihak yang terlibat dalam pengagihan tersebut. Maksud kesaksamaan ialah treating others alike adalah berlandaskan kepada persoalan tentang pengagihan sumber-sumber yang dimiliki oleh sesebuah negara seperti barangan dan perkhidmatan, harta kekayaan dan pendapatan, kesihatan dan penyakit ataupun peluang dan disadvantage. Pengagihan sumber-sumber ini dilakukan melalui proses politik. Cuba anda fikirkan definisi politik yang diutarakan oleh sarjana pengkaji politik Harold Lasswell, iaitu siapa mendapat apa, bila dan bagaimana. Pengagihan sumber-sumber ini sudah tentunya bertepatan dengan maksud kesaksamaan yang diutarakan oleh Stone (1988) kerana ianya boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pihak yang terlibat. Ada pihak yang mudah mendapat peluang kenaikan pangkat dan ada pihak yang sukar untuk mendapatkan bantuan kebajikan.

            3.2       Matlamat Kecekapan atau Efisien (Efficiency)
Menurut Kamus Dewan, kecekapan atau efisien ialah kebolehan menjalankan tugas dengan cekap tanpa pembaziran waktu dan tenaga. Sesuatu dianggap cekap sekiranya mampu menghasilkan output yang banyak apabila menggunakan hanya sedikit input. Dengan kata lain, mencapai matlamat dasar dengan mengenakan kos yang paling sedikit. Dalam erti kata yang mudah, dengan wang sebanyak RM10, Ahmad berjaya membeli empat jenis lauk berbanding dengan Ali yang mampu membeli dua jenis lauk sahaja. Dalam kes ini, Ahmad merupakan seorang yang paling cekap dalam menggunakan sumber-sumber yang dimilikinya.

Efisien hanyalah satu idea yang bersifat perbandingan. Efisien merupakan satu cara untuk menilai (judging) secara merit berhubung dengan pelbagai cara atau alternatif untuk melakukan sesuatu. Anda tentu pernah mendengar tentang konsep nisbah atau ratio. Ianya menggambarkan nisbah input dan output, usaha dan keputusan, perbelanjaan dan pendapatan, kos dan faedah dan sebagainya. Dalam konteks yang luas, kita melihat pengagihan sumber yang sedia ada secara cekap akan memberi pulangan yang banyak kepada masyarakat keseluruhannya.

3.3       Matlamat Keselamatan
Matlamat keselamatan berkait rapat dengan keperluan manusia (needs of human beings). Terdapat pelbagai aspek keperluan kepada keselamatan seperti keselamatan ekonomi, keselamatan fizikal, keselamatan psikologi dan sebagainya. Aspek keselamatan atau jaminan kepada keperluan seringkali menimbulkan isu yang bersifat kontroversi dalam tuntutan politik khususnya dasar awam. Ini kerana beberapa persoalan timbul berhubung dengan isu keperluan. Antaranya ialah;

·         Apa yang perlu disediakan oleh kerajaan?
·         Apakah bentuk keperluan yang perlu dipenuhi?
·         Bagaimanakah menjadikan keperluan sebagai satu pengagihan tanggungjawab bersama ini dapat dilaksanakan?

Secara ringkasnya, definisi keperluan ini merujuk kepada what is necessary for physical survival. Dengan kata lain apakah yang diperlukan oleh manusia untuk memenuhi keperluan fizikal. Dalam konteks ini apakah standard atau ukuran yang paling minimum yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Dengan kata yang mudah kerajaan perlu memastikan setiap individu mempunyai makan dan tempat tinggal yang secukupnya.

Dalam konteks ini, garisan kemiskinan (poverty line) boleh digunakan sebagai garis pengukur kepada keperluan oleh rakyat bagi sesebuah negara. Garisan kemiskinan ini berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Namun, asas yang digunakan adalah sama iaitu berdasarkan kepada pendapatan atau income level. Penerimaan bantuan-bantuan kerajaan seperti program rumah kos rendah, Rancangan Makanan Tambahan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan fizikal rakyat dan banayak bergantung kepada pendapatan isirumah. Selain itu, bantuan subsidi, dan bantuan bulanan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fizikal individu rakyat.
3.4       Matlamat Kebebasan
Dalam kehidupan seharian, wujudnya konflik atau tension antara keputusan atau kepentingan individu dengan keputusan atau kepentingan yang bersifat kolektif. Menurut John Stuart Mill, ada ketikanya adalah wajar untuk masyarakat mencampuri atau interfere dengan kebebasan individu. Ini tertakluk kepada tujuan mencampuri urusan individu dan masyarakat mempunyai kuasa untuk berbuat demikian iaitu menghalang individu daripada melakukan harm atau memudaratkan orang lain mahupun dirinya sendiri. Dengan kata lain, individu dan masyarakat adalah terperlihara atau terhindar daripada bahaya yang bakal dihadapi. Individu sepatutnya mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dan kerajaan sepatutnya kurang mencampuri urusan individu seperti yang dinyatakan. Namun campur tangan kerajaan adalah perlu memandangkan sesetengah perkara atau tindakan individu memberi kesan dan melibatkan kepentingan orang lain. Terdapat dua aspek yang boleh disimpulkan daripada pandangan Mill di atas iaitu:

                                i.            Wujudnya satu kriteria yang mana kita boleh menilai atau memberi justifikasi kenapa kita perlu mencampuri urusan individu iaitu apabila tindakan individu memudaratkan atau mencederakan orang lain
                             ii.            Wujudnya perbezaan yang jelas berhubung dengan tingkah laku yang memberi kesan ke atas orang lain dan tindakan yang tidak memberi kesan ke atas orang lain.



4.0       KESIMPULAN

Berdasarkan kepada penerangan di atas, didapati dasar awam telah diterangkan secara bergilir-gilir sebagai satu keputusan dalam bentuk pilihan dan penyelesaian kepada masalah; satu matlamat atau objektif; serangkaian program; suatu peruntukan; undang-undang atau pun peraturan. Secara kesimpulannya kita boleh menyatakan dasar awam sebagai apa sahaja keputusan dan tindakan kerajaan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu.

Secara umumnya setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan pastinya mempunyai objektif, matlamat dan tujuan untuk dijadikan sebagai panduan umum dalam mengatasi masalah sesebuah negara. Pendek kata matlamat dasar mestilah jelas dan merupakan jalan penyelesaian terhadap sebahagian besar masalah rakyat ataupun kumpulan sasaran dasar tersebut. Contoh-contoh Dasar Awam di Malaysia ialah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wanita Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Persyarikatan, Dasar Penswastaan dan lain-lain lagi.

Kejayaan sesuatu dasar kerajaaan atau sebaliknya adalah bergantung kepada pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Persekitaran politik dan ekonomi baik di dalam mahupun di luar negeri yang merupakan faktor yang penting. Dasar negara akan dapat dilaksanakan sepenuhnya jika pegawai kerajaan di pelbagai peringkat yang merupakan pelaksana penting faham dan menghayati terhadap dasar-dasar ini. Aspek sebegini yang perlu diberi penekanan kerana pemahaman yang tepat sebagaimana yang dihasratkan oleh pengubal dasar akan menjadikan mereka lebih komitmen dalam melaksanakan dasar bagi mencapai kesan yang dikehendaki.









APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI
Anderson, James E. (2000). Public policy making. Edisi ke-4, New York : Houghton Mifflin

Hodgetts, R. M (1986). Management theory, process and practice. Edisi ke-4, London : Academic Press

Jones, R. G. et. al (2000). Contemporary management. Edisi ke-2, USA: Mc Graw-Hill Higher Education

Lester, James P. dan Steward, Jr Joseph (2000). Public policy: an evolutionary approach, Wadsworth Thompson Learning: USA

Nor Azizah Zainal Abidin (2005). Konsep bounded rationality dan satisficing dalam proses pembuatan keputusan Halimah Abdul Manaf et.al (pnyt). Pemantapan urus tadbir sektor awam, Sintok : Penerbit UUM

Parsons, Wayne (1995). Public policy: an introduction to the theory and practice of policy analysis, Edward Elgar : Aldershort, UK

Robbins, S. P (1976). The administrative process: integarating theory and practice, New Jersey : Prentice Hall

Rozita Abdul Mutalib et.al (2005). Delivery mechanism in eradicating poverty in globalisation era dalam Halimah Abdul Manaf et.al (pnyt). Pemantapan urus tadbir sektor awam, Penerbit UUM: Sintok

Simon, H. A (1976). Administrative behavior: a study of decision making process in administrative organization. Edisi ke-3, New York: The Free Press

Tarter, C. J dan Wayne K. Hoy (1998). Towards a contigency theory of design making, Journal of Educational Administrative, vol//: 36(3), 212-228.





Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR