29 Jun 2019

GLOBALISASI DAN MODENISASI





GLOBALISASI DAN MODENISASI: KESANNYA TERHADAP MASYARAKAT DI MALAYSIA


ISI KANDUNGAN

1.0     PENDAHULUAN                                                                             5

2.0     KESAN GLOBALISASI DAN MODENISASI                                  7
          2.1     Kesan ke atas budaya di Malaysia                                             9
          2.2     Kesan globalisasi ke atas ekonomi di Malaysia                          11
          2.3     Kesan Globalisasi ke atas Politik di Malaysia                            14
         
3.0     CADANGAN                                                                                    17

4.0     KESIMPULAN                                                                                 19

          RUJUKAN                                                                                        21



1.0              PENDAHULUAN
Pada tahun 1985, istilah "globalisasi" pertama kali digunakan oleh Theodore Levitt. Beliau menyifatkan perubahan pesat yang telah mengambil tempat dalam ekonomi antarabangsa ke atas tempoh dua hingga tiga dekad. Perubahan ekonomi dan kewangan yang pesat dan meluas telah berlaku dalam pengeluaran, penggunaan dan pelaburan di peringkat global.
Menurut Kamus Dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cendikiawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti yang merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan. Menurut Princeton N. Lyman, Felo Kanan di Institut Keamanan, Amerika Syarikat dan bekas Duta negara itu ke Afrika Selatan, globalisasi biasanya diertikan sebagai merujuk kepada “rapid growth of interdependency and connection in the world of trade and finance”.
Mittleman (1996:7) pula mentakrifkan globalisasi ialah transformasi sejarah yang mengembang dan mempercepat interaksi merentasi masa dan ruang dengan implikasi yang besar dari segi perhubungan pertukaran kuasa, selain menambah daya kemampuan komuniti untuk menentukan nasib sendiri. Dari perspektif sosiobudaya, menurut Waters (1995:3) “Globalisasi ialah proses sosial yang memperlihatkan kekangan geografi yang semakin berkurang terhadap hal ehwal kemasyarakatan dan budaya, dan manusia sedar bahawa kekangan tersebut semakin berkurang”. (Jeniri Amir,2009:22).

Dewasa ini masyarakat bukan hanya membincangkan tentang globalisasi malahan modenisasi. Modenisasi atau kata dasarnya moden berasal daripada perkataan Modernus dengan kata akar Modo yang membawa maksud recently atau just now yang mula digunakan pada akhir abad ke-15 lagi. Kata ciptaan tersebut turut dikaitkan dengan perkataan hodiernus iaitu daripada perkataan hodie yang bermaksud today. Kemudian terminologi seperti modernitas atau modern times dan modeni atau men of today telah menjadi biasa digunakan secara meluas dalam abad ke-10.
Menurut Budiarjo (2003), modenisasi merupakan perubahan sosial yang menyeluruh terhadap semua aspek seperti perubahan daripada sudut ekonomi, politik dan idealogi. Proses ini mempunyai dua komponen iaitu modeniti sebagai asas material kepada modenisasi dan modernism iaitu gagasan idealogi yang mengiringi fenomena modenisasi.
Dalam era globalisasidan modenisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun, kini ia tidak berlaku lagi. Malah pada hari ini, kita telah dapat merasakan apakah itu globalisasi, di mana dunia bukan sahaja tidak bersempadan dari segi geografi tetapi pengaruh globalisasi menjangkau sempadan ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi, politik, dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat.
Walau bagaimanapun, konsep globalisasi dan modenisasi masih banyak kekaburan. Kita sebagai rakyat Malaysia memerlukan lebih banyak wacana ilmiah tentang globalisasidan modenisasi yang dapat memperjelaskan dan menghalusi konsep tersebut. Kebanyakan perbincangan tentang globalisasi dan modenisasi lebih tertumpu kepada isu-isu ekonomi dan bukan dari sudut globalisasi kebudayaan dan globalisasi ilmu dan maklumat dan juga dari sudut modenisasi kebudayaan dan modenisasi ilmu dan maklumat. Semua aspek globalisasi dan modenisasi sepatutnya diperhatikan kerana ia adalah penting kepada masa depan masyarakat dan negara ini. Disamping itu juga, konsep globalisasi dan modenisasi dari perspektif Islam dan perspektif dunia Timur perlu diketengahkan ke peringkat nasional dan antarabangsa secara yang lebih berkesan supaya masyarakat dunia berpeluang membandingkan antara satu perspektif dengan perspektif yang lain secara adil dan saksama.
Tugasan ini akan membincangkan dengan mendalam tentang kesan dan impak globalisasi dan modenisasi ke atas masyarakat Malaysia dari semua sudut. Di bahagian mukasurat cadangan, tugasan ini juga akan disampaikan kaedah untuk memperbaik penerimaan globalisasi dan modenisasi bagi memastikan ianya mendatangkan kesan yang positif kepada masyarakat dan juga negara.

2.0              KESAN GLOBALISASI DAN MODENISASI
Proses globalisasi dan modenisasi sudah membawa banyak kesan-kesan yang baik yang telah memperkayakan kehidupan manusia, khususnya kepada masyarakat Malaysia. Di sini, kita dapat lihat di mana Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi dan juga penambaikan sejajar dengan era modenisasi. Kesungguhan Kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun dalam era globalisasi jelas kelihatan pada berbagai-bagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar, persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) misalannya, adalah simbol harapan serta kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi.
Sungguhpun begitu, dalam menghadapi gelombang besar globalisasi dan modenisasi ini, terdapat pelbagai kesan yang dapat dilihat sama ada dari sudut positif atau negatif, di mana banyak pihak sedang menilai buruk baiknya globalisasi ke atas peradaban Malaysia. Sebagai contoh, Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, beliau banyak menumpukan pemikirannya kepada globalisasi dan perkongsian pintar sebagaimana yang terpancar dalam beberapa ucapan beliau tentang perkara ini di forum kebangsaan dan juga antarabangsa. Dr. Mahathir menggambarkan keadaan sebenar yang mungkin terjadi tentang natijah dan dampak globalisasi ini jika tafsiran globalisasi yang ada pada hari ini diterima tanpa banyak soal jawab. Seperti agama besar dan ideologi yang lain, globalisasi dapat mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik lagi. Tetapi beliau memberi amaran bahawa globalisasi juga boleh disalah gunakan dan secara langsung mengakibatkan ‘backlash’ atau tindakan balas yang ganas ke atas peradaban kita sendiri. Selain itu, Chandra Muzaffar juga berpendapat bahawa globalisasi membawa kesan positif dan juga negatif, di mana beliau telah menyenaraikan lapan kebaikan globalisasi tetapi senarai keburukannya ternyata lebih panjang, iaitu sebanyak tiga belas keburukan.
Selain memberi impak yang baik, globalisasi juga mendatangkan kesan buruk kepada peradaban Malaysia, di mana kita dapat lihat konsep globalisasi ini lebih sinonim dengan maksud peng-amerika-an dunia. Ia merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikuti oleh semua penduduk dunia. Maklumlah globalisasi dikatakan “Semua Untuk Satu”. Proses ini akhirnya akan merosakkan budaya lain selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya budaya Amerika ialah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan budaya timur serta agama Islam. Sebaliknya budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakkannya bertentangan dengan akhlak dan norma hidup masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya.
2.1              Kesan ke atas budaya di Malaysia
Dalam mendepani arus globalisasi dan modenisasi, perubahan budaya tempatan akibat arus globalisasi dan modenisasi ini amat nyata, manakan tidak, jika disedari hari ini pelbagai isu yang menyimpang daripada kebiasaan norma budaya mula timbul, sama ada ia dilihat memberi impak baik kepada jati diri rakyat negara ini mahupun sebaliknya, globalisasi dan modenisasi amat jelas dirasai bukan sahaja dari aspek ekonomi tetapi juga dari aspek budaya seperti norma budaya masyarakat Malaysia, bahasa, malah sehingga ke sudut kepercayaan dan pandangan sejagat.
Secara umumnya, budaya memandu tingkah laku seseorang supaya mengikut atau mematuhi pegangan kolektif yang dibentuk oleh masyarakat baik dari segi pemikiran mahupun perbuatan (Hannerz, 1992) dimana dari generasi ke generasi, sesuatu budaya ingin dilihat kekal dan diwarisi kepada generasi berikutnya. Dari konteks masyarakat di negara Malaysia, adalah menjadi harapan semua pihak ingin melihat budaya-budaya kebangsaan dikekalkan dan dipertahankan, sebagai contoh bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan nilai-nilai tradisi masyarakat Malaysia yang menjadi keunikkan, semua ini jika boleh ingin dipertahankan, namun begitu, peralihan dari generasi ke generasi menyebabkan tidak semua elemen budaya terdahulu dapat dikekalkan, mahu atau tidak pasti budaya-budaya terdahulu ini akan berubah mengikut kesesuaian zaman dengan generasi yang mewarisinya.
Maka, disini dilihat pengaruh globalisasi dan modenisasi yang amat memberi kesan kepada perubahan  budaya-budaya ‘lama’ ini, apabila generasi yang mewarisinya terdedah dengan pengaruh dari budaya global yang merujuk kepada budaya dari barat dan dirasai sesuai dengan cara hidup mereka, maka mereka mengamalkanya. Antara elemen yang terkesan akibat globalisasi dan modenisasi adalah seperti dari segi pengunaan bahasa  kebangsaan di Malaysia iaitu Bahasa Melayu, kesan daripada globalisasi menyebabkan pelanggaran dalam pengunaan bahasa kebangsaan di Malaysia semakin menjadi-jadi, pengunaan bahasa rojak, bahasa pasar, bahasa slanga dan peralihan bahasa yang mula timbul daripada perkembangan dan pemerimaan masyarakat melalui media dan perkembangan teknologi yang semakin pesat.
Selain itu, bukan dari sudut bahasa sahaja telah terkesan dengan proses globalisasi dan modenisasi ini, malah dari segi pemakaian, makanan, senibina dan sebagainya turut menagalami perubahan dan dikorbankan atas nama pebangunan yang canang oleh agenda neolibralis. Perubahan ini dirujuk dengan peralihan atau penggantian budaya lama kepada budaya baru atau budaya global, yang mana budaya global adalah adaptasi daripada budaya barat.
Oleh itu, penyebaran budaya global banyak memberi impak kepada pembentukan identiti bangsa Malaysia, hal ini kerana, melalui globalisasi dan modenisasi terhadap budaya yang menjadi teras dalam pembinaan identiti nasional menghadapi ancaman dan risiko yang besar, perubahan pembangunan budaya yang tidak terkawal dan penyebaran budaya global yang tidak dibatasi dengan bijak dapat memberi impak negatif dan buruk kepada rakyat di negara ini dan kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kesanya amat nyata, dengan perubahan dan penerimaan budaya-budaya global keatas budaya tempatan boleh mengugat pembentukan jati diri rakyat negara ini, ini jelas apabila budaya barat mudah diterima didalam hati rakyat negara ini sejak sekian lama dan rakyat negara ini terutama golongan muda  yang mengikut telunjuk budaya-budaya barat dengan penuh ghairah dan mengiktiraf bahawa budaya-budaya barat atau global ini lebih sesuai di ikuti dan budaya-budaya tempatan yang menjadi tunjang identiti negara bangsa dikesampingkan.

2.2              Kesan globalisasi  ke atas ekonomi di Malaysia
Dalam mendefinisikan globalisasi, pelbagai wacana seringkali mengaitkan elemen takrifan globalisasi ini dengan dimensi ekonomi, ini kerana globalisasi lebih mudah difahami dari dimensi ekonomi berbanding dimensi budaya atau politik. Takrifan yang diberikan pula berbeza mengikut alur fikiran dan tanggapan sarjana terhadap proses globalisasi ini, misalnya bagi pemikir aliran modernist atau neolibralis globalisasi dari dimensi ekonomi ditakrifkan sebagai peningkatan pengintegrasian ekonomi hampir semua negara di dunia kedalam ekonomi global (Ishak Shari, 2000), manakala bagi golongan pemikir aliran nasionalisme dan konvesional ala anti barat mereka mentakrifkan proses globalisasi terhadap dimensi ekonomi adalah sebagai ketidakmampuan atau kehilangan kapasiti sesebuah negara untuk menentukan dasar-dasar ekonomi mereka sendiri yang seterusya timbul pula idea neokolonisasi.
Setelah runtuhnya dinding sosialis pada 1990, maka idealisma kapitalis mengambil alih daya pemikiran masyarakat dunia, melalui idea yang berpaksikan Barat dengan Amerika Syarikat sebagai penaung, dunia mula di integrasi terutamanya dari dimensi ekonomi, ini kerana bagi kelompok order baru, mereka amat yakin bahawa perubahan terhadap ekonomi mampu untuk mengubah seluruh institusi dan cara hidup peradaban masyarakat di dunia ini. Oleh itu, globalisasi berasaskan kapitalis-demokrasi menjadi tunjang dan meyelinap ke segenap fikiran masyarakat global, dengan dakyah transformasi ala judeo-kristian dan konsep pembangunan telah memukau mata dan hati pemikiran masyarakat dunia sekaligus memberi kesan kepada diri dan masyarakat seterusnya negara mereka.   
Selain itu, penting untuk difahami, ekonomi kapatis ialah satu sistem ekonomi pasaran bebas dimana segala keputusan mengenai ekonomi dibuat berdasarkan hubungan dan interaksi antara pelaku-pelaku ekonomi iaitu pengeluar dan pengguna di mana segala unsur lain dihalang dan tidak wajar. Ini bermaksud sistem kapitalis adalah satu sistem yang mengagungkan kebebasan atau keagungan kuasa pasaran tanpa perlu mana-mana pihak seperti kerajaan dari mengawal sistem ini. Idea ini adalah intipati penting dalam proses globalisasi sejagat pada hari ini. Sistem inilah yang dicanang oleh negara-negara maju kepada negara-negara membangun dimana melalui idea ini juga negara-negara membangun dimomokkan dengan konsep modeniasasi dan pembangunan, negara-negara membangun ini perlu malah terpaksa untuk menerima proses globalisasi kapatalisme sebagai salah satu alternatif untuk mereka berjaya dan menuju kearah status negara maju.
Oleh itu, salah satu cara bagaimana negara-negara membangun seperti Malaysia untuk mengamalkan idea kapatisme ini ialah melalui satu lagi idea cabang kapatalisme iaitu libralisasi ekonomi atau dasar ekonomi terbuka dimana melalui cara ini dapat memenuhi permintaan negara-negara maju atau Barat agar ikatan dan persefahaman dari segi jalinan ekonomi kapitalis sentiasa wujud (Lukman Z. Mohammad, 2003). Maka perlu disedari bahawa bertitik tolak dari sinilah proses globalisasi ekonomi terjadi di dunia terutamanya di negara-negara membangun seperti Malaysia.
Ini kerana, sebab utama mengapa negara-negara maju ingin melihat negara-negara membangun melaksanakan libralisasi ekonomi ialah agar negara-negara membangun mudah menerima syarikat-syarikat transnasional (TNC) milik negara-negara maju untuk mengeksploitasi sumber dan menikmati ekonomi di negara-negara membangun ini seperti penguasaan sistem kewangan, pelaburan, pengeluaran dan pemasaran. Perkembangan syarikat-syarikat Transnasional (TNC) milik negara-negara maju ini menjadikan proses globalisasi ekonomi semakin rancak dan diperluas di mana perkembangan teknologi dan modal mega yang mereka ada menyebabkan syarikat-syarikat TNC ini mudah dan dipercayai oleh banyak negara-negara membangun untuk memajukan negara mereka.
Kesannya amat nyata sekali, dengan penerimaan secara paksa-rela negara-negara membangun terhadap kemasukan pemodal syarikat transnasional ini tidak selalunya memberi impak yang positif kepada negara tersebut, ini kerana amalan ekonomi kapitalisme jauh sekali dapat mewujudkan keadaan menang-menang atau win-win situation memandangkan faktor persaingan dalam pasaran memberi kesempatan bagi mereka yang kaya mengaut keuntungan semaksimum yang boleh (Mohd Yusof Hussain, 2003) ditambah lagi hubungan yang wujud di antara negara membangun dengan syarikat transnasional ini melibatkan keuntugan semata-mata dan bagi pihak yang lemah antara mereka pasti akan kecundang di tangan pihak yang lebih kuat. Dengan erti kata lainnya tanggapan negara-negara membangun menjemput pelabur-pelabur asing kenegara mereka demi tujuan pertumbuhan ekonomi perlu lebih berhati-hati dan tidak secara semborono agar peristiwa krisis ekonomi 1997 yang melanda persada ekonomi Asia termasuk Malaysia tidak berulang lagi.
Oleh itu, sekiranya tindakkan berhati-hati tidak diambil oleh negara Malaysia sebagai negara yang sedang membangun dalam menerima kemasukkan pemodal dari syarikat transnasional pelbagai kesan yang tidak baik akan terjadi pada kebelangsungan ekonomi negara kita ini, sebagai contoh diatas peristiwa kegawatan ekonomi di rantau asia pada petengahan tahun 1997 jelas menerangkan sikap dan agenda syarikat-syarikat transnasional terhadap negara-negara membangun dimana mereka dengan sesenang hati menarik keluar modal jangka pendek daripada dalam negara akibat kesan berjangkit atau contagion effect yang melanda rantau Asia dan hanya mementingkan keuntungan mereka tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal melanda negara yang telah memberi segala kemudahan kepada pemodal-pemodal ini.
Oleh itu, kesan globalisasi ekonomi kepada pembinaan jati diri nasional amat jelas sekali, kekukuhan dan kestabilan ekonomi adalah amat penting kepada sesebuah negara, kadang-kala apa sahaja sanggup dibuat demi menaikkan lagi ekonomi negara kerana ia melambangkan survival dan maruah negara, ditambah lagi dengan konsep kapitalisme dalam proses globalisasi, apa cara sahaja sanggup dan boleh dibuat atas nama ekonomi. Namun begitu kesanya juga begitu dasyat jika tidak ditangani dengan betul dan bijak oleh pemerintah dimana, jati diri nasional menjadi pertaruhan dan ‘kos lepas’ dalam mencapai kemodenan dan kemajuan yang akhirnya rakyat negara ini tidak lagi menyayangi negara dengan ikhlas dan telus tetapi sebaliknya hanya dengan sifat meterealisme yang tidak berasas.

2.3              Kesan Globalisasi ke atas Politik di Malaysia
Konsep globalisasi yang mengagungkan kebebasan melalui ‘roh’ kapitalisme menjadi pembangkit kepada kesedaran politik global. Melalui globalisasi, proses penglobalisasian sejagat dalam dimensi politik adalah dinamakan demokras, dengan mengambil idea daripada kuasa (demo) dan rakyat (kratos) dari kerajaan yunani kuno, proses globalisasi melalui dimensi politik ini melaungkan pula kuasa-kuasa individu terhadap negaranya atau kuasa rakyat dalam memilih dan membuat keputusan terhadap negaranya. Konsepnya tidak berbeza dengan konsep kapitalisme, malah kedua-dua ideologi demokrasi dan kapitalisme amat berkait rapat dan menjadi antara asas utama proses globalisasi dimana untuk memastikan proses globalisasi dapat berjalan dengan baik di seluruh dunia dan diterima oleh semua negara melalui suntikan jarum kapitalis dan demokrasi yang perlu menembusi dan jalan seiring.  
Pendemokrasian dilihat hampir berjaya terutamanya selepas tumbangnya blok sosialis. Hampir semua negara menerima secara total atau setidak-tidaknya megiktiraf bahawa demokrasi sebagai jalan terbaik dan kaedah yang tunggal dalam memimpin manusia sejagat. Menurut sistem demokrasi, suara dan hak individu diutamakan, individu mempunyai hak sivil, politik, dan hak menerima tangungjawab yang telus dari pemerintah. Maka daripada agenda demokrasi inilah lahir ideolisma-ideolisma seperti hak asasi manusia, libralisme, sekularisme dan sebagainya. Demokrasi juga tidak boleh lari daripada pengaruh dan cerminan daripada barat dimana Amerika Syarikat dijadikan negara ideal demokrasi dan kapitalis yang unggul dan dijadikan contoh kebanyakkan negara – negara membangun setelah lenyapnya dunia dwi-polar.
Selain itu, soal kebebasan dan hak kemanusian dalam tafsiran politik bukanlah sama disetiap negara, maka wujud dua klise kepada demokrasi iaitu aliran Univesalisme dengan aliraan Relativisme dimana aliran universalimse melihat keperluan kesaksamaan dan kepatuhan setiap negara di landas demokrasi manakala aliran relativisme pula mempertahankan kepelbagaian budaya, agama dan cara hidup sebagai asas kepada demokrasi. Wujudnya dua pemikiran ini kerana tafsiran terhadap demokrasi yang berbeza, menurut barat yang beraliran universalimse, demokrasi adalah mengenai hak manusia yang tidak terbatas seperti hak untuk beragama, bersuara, kebebasan bergerak dan sebagainya, namun padangan ini tidak semua dapat diterima oleh semua budaya dan negara yang darinya wujud aliran relativisme dalam pengamalan demokrasi dimana dalam tafsiran mereka juga adalah berbeza, ini kerana ia melibatkan budaya dan norma-norma masyarakat tempatan yang berinterkasi kepada demokrasi itu sendiri.
Oleh itu, wujudnya pemikiran relativisme pada pandangan universalisme adalah tidak wajar dan mencabuli apa yang dinamakan hak asasi manusia itu sendiri, namun tidak semua prinsip-prinsip demokrasi tafsiran barat ini dapat disesuaikan di dalam sesebuah negara, seperti di Malaysia, amalan demokrasi sememangnya diterima sebagai satu kaedah bagi menjalankan politik negara ini, namun perkara-perkara lain yang menjadi cabang kepada demokrasi barat seperti hak kemanusiaan kepada golongan LGBT (Lesbian , Gay , Biosexsual and Transexsual), sekularisme , pluralism dan hak bersuara yang melampau tidak dapat diterima kerana melanggar daripada norma masyarakat dan perlembagaan di negara ini. Akan tetapi proses globalisasi politik memberi kesan dan impak kepada politik negara ini, dimana dengan kesedaran orang ramai akibat penerimaan budaya-budaya barat menyebabkan tuntutan kepada hak-hak kemanusiaan yang bercanggah dengan norma-norma budaya Malaysia mula dibangkitkan dan diperjuang atas alasan demokrasi contohnya isu tuntutan Comango.
Oleh yang demikian , globalisasi banyak memberi impak kepada sitem politik demokrasi dinegara ini yang mana Malaysia lebih kepada pandangan ralativisme dalam soal hak asasi kemanusian, namun proses globalisasi memungkinkan perubahan demi perubahan akan berlaku dalam sistem politik tanah air, penerimaan kepada idea-idea baru boleh terjadi berdasarkan kepada cara dan pemikiran pemerintah yang menunjangi sistem politik itu sendiri. Seterusnya secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada identiti nasioanal bangsa Malaysia itu sendiri.
Justeru itu, kestabilan dan ketegasan arah politik negara ini amat penting demi menjaga indentiti nasioanal Malaysia, ketegasan terhadap demokrasi yang kurang sesuai tertamanya dari propaganda barat perlu diteruskan dan dipertahan, kerana bukan semua idea demokrasi unversalisme tidak dapat diterima tetapi kebebasan tanpa had dan batasan bakal mengundang padah yang buruk kepada negara ini.

3.0              CADANGAN
Mahu tidak mahu, penglobalisasian sejagat tidak dapat tidak lindungi dan dielak lagi, warga Malaysia perlu bersedia menghadapi proses globalisasi ini, proses yang mana indahnya kadangkala hanya pada khabar tetapi hodoh pada rupanya, indahnya bila diulit mimpi tetapi teralalu ngeri tatkala disedari. Oleh itu, satu kekuatan perlu dibina,  satu strategik perlu diatur demi menghadapi cabaran proses globalisasi ini, dan yang paling berkesan sekiranya dapat memanfaatkan proses ini sewajarnya dan meminimumkan kesan dan impak negatif kepada negara dan khusunya kepada identiti nasional bangsa Malaysia.
Oleh itu, salah satu kaedah terbaik dalam mengendali kesan globalisasi ialah melalui pendidikan. Pendidikan yang dimaksudkan ialah pendidikan yang telus dan sebenar kerana jika dilihat hari ini sitem pendidikan diguna bagi membentuk individu terpelajar bagi memenuhi tuntutan pasaran semata-mata bukan bagi melahirkan individu yang betul-betul berilmu dan dapat menggunakan ilmu tersebut sebagai bekalan dan penebat kepada diri dan kesedaran masyarakat secara umum. Pendidikan perlu dijalankan dengan teliti, pendidikan juga perlu mampu memeberi kesedaran dan pemahaman yang betul, ini kerana generasi hari ini melihat bahawa pembinaan nasional kurang penting adalah kurangnya pendidikan nasionalisme ke atas diri mereka dan kurangnya pendedahan mengenai kesan globalisasi kepada masyarakat dan negara ini.
Bukanlah bermaksud melalui pendidikan, negara dapat menangani isu globalisasi secara total, mahu tidak mahu proses globalisasi tetap akan berlaku keatas segenap aspek kehidupan rakyat negara ini, sekaligus akan memberi kesan kepada pembinaan identiti nasional Malaysia, tetapi pendidikan yang telus perlu diberikan agar warga lebih peka dan sesitif dengan perubahan yang melanda terutamanya akibat globalisasi ini, pendidikan juga akan mampu memberi kesedaran kepada rakyat negara ini terutamanya generasi muda untuk mempertahankan dan pandai menapis segala dogma luar yang datang kesan daripada proses globalisasi sejagat itu.
Seterusnya, melalui memperkuatkan sistem ekonomi negara ini daripada ancaman globalisasi dan idealisma kapitalisme yang melampau, Malaysia perlu dibangun dengan kekuatan sendiri, diurus serta dimajukan mengikut acuan ‘Buatan Malaysia’ (Lukman Z. Mohammad, 2000). Selain itu, pengawalan kemasukkan pemodal-pemodal daripada syarikat transnasional luar negara juga perlu dijalankan, dasar terlalu membuka pintu yang luas kepada pemodal asing perlulah di rapatkan sedikit ini bermaksud struktur ekonomi negara misalnya perindustrian yang amat bergantung kepada modal atau pelaburan asing perlu disusun bagi negara ini mencapai status negara maju yang tulen dan membanggakan.
Selain itu, ketegasan dalam politik juga perlu bagi menghadapi ancaman ideolisma yang tidak baik dari masuk ke negara ini, ketegasan dasar politik yang tidak memandang enteng kepada perubahan yang berlaku kepada norma dan budaya nasional disamping bijak menangani proses globalisasi agar dapat memberi keuntungan kepada masyarakat negara ini. Ini kerana bagi memastikan identiti nasional yang sudah kukuh dibina tidak akan mudah diancam kemusnahan dek kerana ideolisma dan dogma yang tidak masuk akal dan tidak sesuai bagi negara ini.
Oleh itu, sekira ditanya tentang persoalan pelaku yang lebih bertangungjawab dalam menangani proses globalisasi ini, tidak lain tidak bukan keseluruhan rakyat dan warga negara Malaysia baik dari institusi kerajaan hinggalah kepada rakyat akar umbi kerana kesemua lapisan masyarakat di negara ini mempunyai tangungjawab yang sama penting dalam mempertahankan dan menjenamakan identiti nasional bangsa Malaysia ini.

4.0              KESIMPULAN
Kesimpulannya, globalisasi harus ditangani dengan berhati-hati. Kerajaan kita harus mengambil langkah-langkah yang proaktif agar rakyat kita amnya dan remaja khususnya tidak terjerumus dalam lembah kehinaan yang sememangnya dirancang oleh negara maju untuk memusnahkan golongan muda agar negara-negara miskin dan membangun senantiasa melutut kepada mereka dan menagih simpati dan pertolongan yang akhirnya membelenggu kita dari segala aspek kehidupan kita. Jelaslah bahawa globalisasi boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk penjajahan, iaitu penjajahan dari segi mental, ekonomi, budaya, sosial dan politik. Oleh itu, kita perlu berhati-hati menghadapi era globalisasi ini kerana kita sedia maklum bahawa cabaran globalisasi dan implikasinya terhadap ekonomi, budaya dan teknologi adalah luas dan mempunyai kesan yang negatif dan positif. Penerimaan terhadap perubahan yang baik haruslah difikirkan dan diterima secara positif, manakala kesan negatif haruslah dielakkan bagi membina kemajuan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara kita.
Disamping itu, globalisasi merupakan suatu bentuk perubahan dan pembaharuan yang harus dihadapi oleh masyarakat Malaysia dalam kesatuan konsep bangsa dan negara dan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada budaya etnik dan konsep kebudayaan Malaysia. Menurut Friedman (2000), beliau tidak memulakan globalisasi malah tidak mampu untuk menghalang globalisasi, kecuali dengan menanggung kos pembangunan manusia yang besar.
Jika dilihat dari persepektif peradaban, ia lebih mementingkan isu pembentukan budaya yang sihat baik budaya politik mahupun budaya intelektual. Sebagaimana yang kita semua ketahui, peradaban Islam merupakan teras kepada peradaban di Malaysia. Ini adalah kerana perspektif Islam yang digunakan adalah perspektif universal, maka segala pertimbangan yang dibuat seharusnya dapat diterima oleh agama-agama lain di Malaysia. Pengaruh globalisasi sungguh besar dan luas sehingga meliputi semua bidang peradaban. Demi menjamin proses pembinaan peradaban di negara ini berlandaskan kerohanian dan moral yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain, penilaian baik dan buruk fenomena globalisasi perlu dinilai dengan berterusan dan lebih teliti lagi. Untuk mencapai kejayaan, kita perlu menggunkan segala kekuatan dan kekayaan yang ada pada kita terutamanya kekayaan dalaman yang terdapat dalam agama dan tradisi kita baik dari aspek kerohanian ataupun dari aspek intelektual.


RUJUKAN
Amir, J. (2009). Toleransi pluralistik di Sarawak contoh terbaik.
A. Aziz Deraman & Rohani Zainal Abidin. (2003). Globalisasi dan Peradaban di Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Aisyah Neety (2012). Globalisasi dalam pendidikan. Diperoleh pada Disember 13, 2015 daripada http://aishahnetty.blogspot.com/p/globalisasi-dalam-
Budiardjo, M. (2003). Dasar-dasar ilmu politik. Gramedia pustaka utama.
Dr. Mohd.Arshad Taib (2007). Pembangunan Sistem Sosio-Budaya Islam dalam konteks Masyarakat Malaysia. Diperoleh pada Disember 13, 2015 daripada http://dppwp.wordpress.com/usrah/pembangunan-sistem-sosio-budaya-islam-dalam-kontek-masyarakat-malaysia/
Fayers, P.M & MacHin D. (2000). Quality of life and Assesment, Analysis and Interpretation. UK. John Wiley and Sons.
Finolla Lausok (2009). Cabaran Globalisasi dan langkah mengatasinya. Diperoleh pada Disember 13, 2015 daripada http://finolla-5aminuddin.blogspot.com/
Friedman, T. L. (2000). The Lexus and the olive tree: Understanding globalization. Macmillan.
Hannerz, U. (1992). Cultural complexity: Studies in the social organization of meaning. Columbia University Press.
Hashim Yaacob & Abdul Jalil Othman. (2007). Dunia Pendidikan Dalam Era Globalisasi: Peranan dan Cabaran. Fakulti Pendidikan. Universiti Malaya.
Lukman Z. Mohd dan Azmi Abd Manaf. (2003). Globalisasi di Malaysia. Klang: Utusan Publication and Distributors Sdn.Bhd
Mittelman, J. H. (Ed.). (1996). Globalization: critical reflections (Vol. 9). Boulder, CO: Lynne Rienner.
Mohd Najib Abdul Razak. (2006). Globalising Malaysia: Towards building a developed nation. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing Sdn. Bhd
Nurani Othman. (2000). Malaysia menangani globalisasi, peserta atau mangsa? Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nur Sazira Abd Rani (2012). Pengaruh Globalisasi Budaya di Malaysia. Diperoleh pada Disember 13, 2015 daripada http://skad3383sp.blogspot.com/
Norani Othman dan Sumit K. Mandal. (2000). Malaysia Menangani Globalisasi: Peserta atau mangsa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Princeton N. Lyman. (2000) “Globalization and the demands of governance”. Georgetown: Journal of International Affairs (Winter/Spring 2000). Premier Issue.

Shari, I. (2000). Globalization and economic disparities in East and Southeast Asia: new dilemmas. Third World Quarterly, 21(6), 963-975.
Waters, M. (1995). Globalization: Key Ideas. London and New York: Routledge, 180.
Waters, M. (1995). globalization Routledge. London and New York, 2.




Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR