30 Ogo 2018

UNDANG-UNDANG SYARIKAT





ISI KANDUNGAN




1.0  PENGENALAN

Apabila disebut perkataan 'kontrak' ada pihak yang hanya membayangkan satu bentuk dokumen bercetak yang mengandungi peruntukan-peruntukan tertentu serta perlu ditandatangani dan disaksikan dengan sempurna. Mereka membayangkan kontrak sebagai sesuatu yang tiada kaitan rapat dengan kehidupan mereka, bahkan ia adalah sesuatu yang jarang-jarang dilakukan. Mereka melihat bahawa urusan kontrak adalah urusan peguam-peguam yang tidak perlu diendahkan oleh orang awam.

Pandangan ini sebenarnya adalah bahaya kerana implikasi kontrak dalam kehidupan seharian adalah sangat penting dan perlu diambil tahu. Antara prinsip asas yang perlu diketahui ialah kontrak merupakan perjanjian yang dilakukan oleh dua orang atau lebih daripada itu. Kontrak juga terikat dengan undang-undang. Kebiasaannya, kontrak akan ditulis. Selain dari itu juga, kontrak ada di dalam bentuk percakapan atau tersirat. Sebagai contoh, kontrak dengan pekerjaan, penjualan, pajakan atau penyewaan. Contoh lain, kontrak pengurusan artis adalah perjanjian yang telah dibuat secara rasmi oleh artis dan pengurus artis bagi bekerjasama dan memulakan perniagaan mereka.

Merujuk kepada seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950 maksud kontrak ialah perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang. Ia adalah perjanjian yang akan mengikat pihak-pihak yang berkontrak. Jika ada pihak yang tidak menepati perjanjian ini, maka pihak lain boleh dan berhak mengambil tindakan undang-undang.

Dalatm kata lain, kontrak bermaksud perjanjian antara pembuat janji dan penerima janji dengan balasan yang sah. Kontrak mesti melibatkan lebih dari satu pihak dan mesti terdapat persetujuan bersama walaupun persetujuan itu ditunjukkan secara tindakan. Kontrak yang sah dibuat dengan balasan iaitu perkara yang dikontrakkan serta mesti disertai dengan niat bahawa urusan itu berbentuk komersil atau untuk keuntungan.

Perkaitan antara pihak-pihak yang berkontrak dinamakan hubungan kontrak. Hubungan ini wujud bermula dari tarikh  bermulannya kontrak hingga ia berkahir melalui pelaksanaan, pecah kontrak atau sebagainya. Selama hubungan ini wujud, pihak-pihak yang berkontrak mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan kontrak dan mereka juga mempunyai hak untuk menguatkuasakannya di mahkamah.

Untuk memberi pemahaman yang lebih jelas dan terperinci, tugasan ini akan membincangkan dan menilai keesahan sebuah kontrak di bawah undang-undang Malaysia. Di samping itu, tugasan ini juga akan membincangkan remedi-remedi yang ada bagi pihak yang tidak bersalah dalam sebuah kontrak mengikut undang-undang yang sedia ada di Malaysia.


2.0  ELEMEN-ELEMEN BAGI SEBUAH KONTRAK YANG SAH

Kontrak pada dasarnya dikuatkuasakan melalui Akta Kontrak 1950. Kontrak adalah perjanjian yang dimeterai oleh dua, atau lebih individu yang mana kedua-duanya akan terikat pada perjanjian tersebut. Contohnya, kontrak jual beli barang, kontrak sewa beli dan pelbagai lagi.

Secara ringkasnya, terdapat tujuh (7) elemen penting yang perlu diambil kira oleh setiap individu sebelum bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang ditawarkan. Elemen-elemen ini menentukan samada sesebuah kontrak itu sah dan boleh dikuatkuasakan.

Pada bahagian ini, tugasan ini akan mengupas secara terperinci kesemua elemen-elemen yang mesti disemak oleh setiap individu sebelum bersetuju mengikat perjanjian secara sah. Gambarajah 1 menunjukkan elemen-elemen tersebut. Perlu diingat yang bahawa kesemua elemen ini mestilah dipenuhi secara serentak.
Gambar Rajah 1: Elemen-elemen dalam sesebuah kontrak yang sah


            2.1       Tawaran (Offer)

Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebelum adanya Akta Kontrak 1950, kita merujuk kepada Undang-Undang Inggeris. Istilah ‘tawaran’ digunakan dalam Undang-Undang Inggeris, manakala istilah ‘cadangan’ pula digunakan untuk Akta Kontrak 1950.

Seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950 telah mendefinisikan kontrak sebagai suatu perjanjian, yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang yang mana kontrak ini, akan mengikat pihak-pihak yang terlibat secara sah.
Syarat bagi sesuatu tawaran itu adalah ia mestilah sesuatu tawaran yang jelas, dan dikomunikasikan kepada pihak yang akan membuat penerimaan kepada tawaran tersebut.

Jika tawaran yang diberikan tidak jelas, atau tidak dikomunikasikan kepada pihak yang berkenaan, ia adalah batal.

Oleh yang demikian, ‘offer’ atau tawaran itu sangat penting untuk menjadikan kontrak itu sah, dan mengikat kedua-dua pihak. Tanpa tawaran, tidak akan ada jalinan kontrak yang sah antara kedua-duanya.

            2.2       Penerimaan (Acceptance)

Jika dirujuk pada Seksyen 2(b) Akta kontrak 1950, penerimaan ini didefinisikan sebagai persetujuan atau penerimaan kepada tawaran yang telah ditawarkan sebelum ini.

Setuju ini membawa maksud bahawa penerima tawaran ini akan turut bersetuju dengan syarat-syarat dan terma-terma yang telah ditetapkan. Dengan adanya penerimaan tawaran ini, maka sesebuah kontrak itu berjaya diwujudkan.

            2.3       Balasan (Consideration)

Untuk menjadikan kontrak itu adalah kontrak yang sah di sisi undang-undang, elemen ketiga ini tidak kurang pentingnya. Tanpa balasan, perjanjian yang dibuat adalah batal. Balasan yang dimaksudkan di sini adalah harga yang dibayarkan oleh pihak yang menerima janji kepada pihak pembuat janji.

Dalam Akta Kontrak 1950, Seksyen 2 (d) ada menyebut tentang balasan janji tersebut. Oleh yang demikian, pihak yang membuat kontrak mestilah mempunyai balasan masing-masing.

Sebagai contoh, satu pihak mendapat sebuah rumah, dan satu pihak yang lain mendapat sejumlah wang sebagai bayaran pada harga yang telah dipersetujui oleh kedua-duanya.

            2.4       Keupayaan (Capacity)

Dalam Akta Kontrak 1950, Seksyen 11 turut menyentuh perkara berkait dengan keupayaan ataupun kelayakan seseorang. Hakikatnya, hanya mereka yang dewasa, sempurna akal dan tidak dihalang oleh mana-mana undang-undang sahaja yang layak untuk membuat kontrak.

Seseorang itu ditakrifkan sebagai dewasa apabila mencapai usia dewasa iaitu 18 tahun. Oleh yang demikian, mereka yang berumur di bawah 18 tahun adalah tidak layak untuk membuat kontrak, kecuali dalam kes-kes tertentu sahaja.

Sebagai contoh, kontrak untuk keperluan atau insurans dan juga biasiswa adalah sah jika kanak-kanak yang melaksanakan kontrak tersebut.

Secara mudahnya, bagi yang muflis, tidak waras atau gila atau dibawah umur dewasa adalah tidak layak dan tidak berhak sama sekali untuk terlibat dalam mana-mana urusan kontrak.

            2.5       Niat (Intention)

Niat atau kehendak ini terbahagi kepada dua iaitu bagi kontrak yang melibatkan perjanjian perniagaan dan perjanjian domestik, keluarga dan sosial.

Andaian yang dibuat, jika kontrak itu melibatkan urusan perniagaannya, pihak-pihak yang terbabit dikatakan mempunyai niat untuk membuat perjanjian, dan mengikat mereka secara sah.

Walaubagaimanapun masih boleh disangkal jika mempunyai bukti yang jelas dan kukuh.

Bagi perjanjian melibatkan domestik, keluarga dan sosial pula andaian mengatakan bahawa pihak-pihak yang terlibat tidak diniatkan untuk mengikat dan mempunyai hubungan yang mengikat secara sah disisi undang-undang.

Sebagai contoh, sekiranya pihak suami berjanji dengan pihak isteri secara lisan untuk menghadiahkan isteri pakej percutian, namun si suami gagal berbuat demikian, si isteri tidak berhak membuat tuntutan undang-undang.
Namun begitu, jika janji itu direkodkan atau ditulis pada sekeping kertas, perjanjian itu boleh dikuatkuasakan kerana kedua-dua pihak dikatakan berniat untuk menghasilkan sesuatu perjanjian yang mengikat kedua-duanya secara sah.

            2.6       Kepastian (Certainty)

Kepastian adalah salah satu elemen yang penting dalam sesebuah kontrak. Perjanjian-perjanjian yang mempunyai unsur ketidakpastian, kabur, tidak jelas, atau mengelirukan adalah batal dan tidak akan mengikat mana-mana pihak-pihak yang terbabit.

Jika kontrak itu mempunyai elemen yang tidak dapat dipastikan sama ada perjanjian itu mencapai syarat utama perjanjian atau tidak, kontrak itu itu juga boleh terbatal sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 30, Akta Kontrak 1950.

            2.7       Kerelaan (Free Consent)

Semua pihak yang terlibat mestilah mempunyai kerelaan secara bebas. Ini adalah kerana kesahan kontrak ini boleh dipertikaikan, jika persetujuan pihak-pihak yang terlibat dalam kontrak ini diterima secara paksa dan tanpa rela.

Akhir kata, setiap pihak yang terlibat dalam mana-mana perjanjian mahupun kontrak mestilah mengambil tahu akan kepentingan tujuh eleman dalam kesahan untuk membuat kontrak ini. Jika satu elemen hilang, kontrak itu boleh dipertikaikan dan mungkin terbatal kelak.


3.0  PERBINCANGAN SEKSYEN 14 AKTA KONTRAK

Dalam bahagian ini tugasan ini akan membincangkan contoh-contoh kontrak yang melibatkan tiga daripada faktor-faktor di bawah Seksyen 14 Akta Kontrak 1950. Menurut seksyen tersebut terdapat lima faktor bagi mengesahkan sesebuah kontrak yang mana "Kerelaan yang dikatakan bebas sekiranya tidak disebabkan oleh...":

i.                    Paksaan
ii.                  Di bawah pengaruh
iii.                Kesilapan
iv.                Salah Wakil
v.                  Penipuan

Kerelaan bebas adalah persetujuan yang diberikan dengan sempurna tanpa dicemari dengan perkara-perkara yang menjejaskan kerelaan. Seksyen 14 menyenaraikan perkara-perkara yang menjejaskan kerelaan iaitu:
a)      paksaan iaitu melakukan apa-apa perbuatan atau mengancam untuk melakukan perbuatan seperti membunuh atau mencederakan, atau menahan secara tidak sah atau mengancam untuk menahan, apa-apa harta, dengan memudaratkan sesiapa jua, dengan niat menyebabkan seseorang membuat sesuatu perjanjian. Paksaan diperuntukkan dalam seksyen 15 dan 19.
b)      pengaruh tak wajar iaitu satu bentuk penggunaan kesempatan oleh seseorang yang dominan ke atas orang yang lebih lemah untuk mendapat keuntungan secara tidak sah melalui kontrak. Pengaruh diperuntukkan dalam seksyen 16 dan 20.
c)      Fraud iaitu pernyataan tidak benar berkenaan fakta yang lepas atau yang sedang berlaku, dan dibuat oleh satu pihak sebelum atau pada waktu kontrak diikat, dan ditujukan kepada pihak lain yang mempengaruhi pihak yang lain itu untuk melakukan kontrak. Fraud diperuntukkan dalam seksyen 17 dan 19.
d)      Salahnyata iaitu pernyataan palsu yang dibuat oleh pihak yang menyangka bahawa kenyataannya benar. Salahnyata diperuntukkan di bawah seksyen 18 dan 19.
e)      Silap iaitu iaitu kedua-dua pihak silap menegnai perkara asas kontrak.

Bagi tujuan tugasan ini, bahagian ini akan membincangkan tiga dari lima faktor tersebut seperti yang ditunjukkan di gambar rajah 2 di bawah.

Gambar Rajah 2: Faktor yang menyebabkan sesebuah kontrak terbatal.


            3.1       Paksaan

Paksaan ditakrifkan dalam seksyen 15 sebagai melakukan apa-apa perbuatan atau mengancam untuk melakukan apa-apa perbuatan yang dilarang oleh Kanun Keseksaan seperti membunuh atau mencederakan, atau menahan secara tidak sah atau mengancam untuk menahan, apa-apa harta, dengan memudaratkan sesiapa jua, dengan niat menyebabkan seseorang membuat sesuatu perjanjian.

Takrif yang diberikan meliputi banyak bentuk paksaan kerana ia mengaitkan apa-apa kesalahan yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan. Dalam Kanun Keseksaan terdapat beberapa bentuk jenayah terhadap diri seperti janayah membunuh, merogol, mencederakan, menculik dan sebagainya. Jika mana-mana pihak mengugut untuk melakukan perkara-perkara ini jika kontrak tidak dipersetujui, maka kontrak dianggap tidak sah kerana terdapat unsur paksaan.

Contoh: Salman mahu Ameer membeli rumahnya dengan harga RM300,000. Salman mengugut bahawa jika Ameer enggan membeli rumah itu, beliau akan dipukul. Oleh kerana takut dipukul, Ameer membeli rumah tersebut menurut harga yang kehendaki. Kontrak ini adalah boleh batal kerana terdapat unsur paksaan.

Seksyen 15 menyebut secara khusus tentang bentuk ancaman iaitu ancaman yang diperuntukkan dalam Kanun Kesiksaan. Sebenarnya Kanun Kesiksaan bukan satu-satunya undang-undang jenayah. Terdapat jenayah-jenayah lain yang diperuntukkan dalam undang-undang lain selain daripada Kanun Kesiksaan seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Polis 1967, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan lain-lain. Bagi ancaman untuk melakukan sesuatu kekerasan atau jenayah yang tidak diperuntukkan dalam Kanun Kesiksaan ini pihak plaintif boleh menggunakan prinsip Common law yang turut terpakai di Malaysia.

Dalam kes Kesarmal a/l Letchuman Das lwn. Valiappa Chettiar [1954] MLJ 119, satu perjanjian [indahmilik tanah telah dibuat atas titah Sultan di hasapan dua pegawai Jepun, ketika pendudukan Jepun di TAnah Melayu. Perjanjian itu dibuat secara paksaan ke atas pihak-pihak berkenaan. Mahkamah memutuskan bahawa perjanjian itu boleh dibatalkan oleh pihak yang dipaksa menandatangani perjanjian itu.

            3.2       Pengaruh Tidak Wajar

Kontrak yang mempunyai elemen pengaruh tak wajar seperti yang diperuntukkan oleh seksyen 16 adalah boleh dibatalkan oleh pihak yang dipengaruhi. Pengaruh tak wajar ini pada asasnya adalah satu bentuk penggunaan kesempatan oleh seseorang yang dominan ke atas orang yang lebih lemah untuk mendapat keuntungan secara tidak sah melalui kontrak.

Paksaan lebih menjurus kepada tekanan atau ugutan keras secara fizikal atau mental ke atas pihak yang berkontrak sedangkan pengaruh tak wajar tidak memerlukan elemen kekerasan atau tekanan. Selain itu, pengaruh tak wajar berlaku antara dua pihak yang sudah ada hubungan atau perkaitan di mana satu pihak adalah lebih dominan ke atas pihak lain. Sedangkan paksaan boleh wujud antara dua pihak yang baru berkenalan antara satu sama lain. Kewujudan pengaruh tak wajar hanya dapat dibuktikan jika pihak dominan menggunakan kedudukan terbabit untuk kepentingan sendiri iaitu dengan membuat kontrak yang tidak adil seperti membeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Dalam kes paksaan, sesuatu paksaan tetap dikira wujud walau pun urusniaga itu dibuat berasaskan harga pasaran semasa.

Contoh 1: Guru Yahya seorang ketua ajaran sesat mengarahkan semua pengikutnya menjual harta-harta mereka kepada beliau dengan nilai 10% dari harga asal. Azroy salah seorang pengikutnya telah menjual kepada Guru Yahya bangloonya yang bernilai RM600,000 dengan harga RM60,000. Kontrak ini adalah boleh batal kerana wujud kedua-dua elemen pengaruh tak berpatutan.

Contoh 2: Seorang doktor memberikan nasihat kepada nasihat kepada pesakitnya untuk mendapatkan rawatan daripadanya dengan perbelanjaan perubatan sebanyak RM20,000. Pesakit itu sebenarnya boleh mendapatkan rawatan yang sama di pusat kesihatan yang setaraf dengan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sahaja. Doktor itu boleh dianggap melakukan pengaruh tak wajar atas pesakitnya.

Dalam kes Inche Noriah lwn. Shaik Alice Omar [1929] AC 127 mahkamah memutuskan bahawa kontrak penjualan tanah adalah boleh batal kerana wujud pengaruh tak wajar. Dalam kes ini seorang wanita tua dan uzur telah dijaga dan diurus oleh anak saudaranya. Segala urusan harta, perbelanjaan dan kewangannya dikendalikan oleh anak saudaranya itu. Wanita itu telah membuat satu kontrak penjualan tanah kepada anak saudaranya itu dengan harga yang jauh lebih rendah dari harga pasaran. Mahkamah menganggap bahawa fakta-fakta kes menunjukkan bahawa wanita tersebut telah dipengaruhi secara tak wajar, maka kontrak tersebut adalah boleh batal atas pilihan pewaris wanita tersebut.

            3.3       Penipuan (Fraud)

Fraud atau penipuan dan salahnyata adalah dua sebab penting yang menjadikan sesuatu kontrak itu boleh dibatalkan. Di Malaysia istilah fraud dan salahnyata mempunyai makna yang berbeza walau pun mempunyai beberapa persamaan. Kedua-duanya adalah kenyataan palsu oleh satu-satu pihak yang berkontrak. Apabila berdepan dengan kes fraud atau salahnyata, peguam biasanya cuba untuk mengemukakan kedua-duanya secara bersama. Fraud mempunyai implikasi yang lebih berat tetapi mempunyai syarat yang lebih ketat. Jika defendan tidak dapat dikaitkan dengan fraud, mungkin dia boleh dikaitkan dengan salahnyata.

Maksud fraud adalah pernyataan tidak benar berkenaan fakta yang lepas atau yang sedang berlaku, dan dibuat oleh satu pihak sebelum atau pada waktu kontrak diikat, dan ditujukan kepada pihak lain yang mempengaruhi pihak yang lain itu untuk melakukan kontrak. Berasaskan definisi ini kita dapat fahami bahawa fraud adalah satu bentuk penipuan dengan niat. Pihak yang melakukan fraud membuat kenyataan palsu dengankan dia tahu bahawa kenyataan itu tidak benar. Di samping itu, penipuan itu mestilah mempengaruhi pihak lain untuk berkontrak dengannya. Dengan kata lain, pihak yang berkontrak itu percaya dengan kenyataan berkenaan. Pernyataan yang berbentuk fraud itu dibuat sebelum atau semasa kontrak. Kenyataan palsu yang dibuat sebelum kontrak akan dikira fraud jika selang masa antara waktu kenyataan dan waktu kontrak tidak telalu lama.

Contoh: Ali menjual motosikal kepada Ahmad dan memaklumkan bahawa motosikal tersebut tidak pernah terlibat dengan kemalangan. Sebenarnya motosikal tersebut pernah terlibat dalam tiga kemalangan besar. Ahmad mempercayai kenyataan Ali dan bersetuju untuk membeli motosikal berkenaan. Ali telah melakukan fraud dan kontrak itu boleh batal atas pilihan Ahmad.

Dalam seksyen ini, ruang lingkup fraud dikembangkan dengan maksud yang lebih luas. Segala bentuk penipuan dalam berkontrak boleh dikaitkan dengan fraud. Bahkan jika sesuatu tindakan itu pada zahirnya bukan fraud, tetapi terdapat undang-undang yang menganggapnya sebagai fraud, maka ia juga boleh dikaitkan dengan fraud. Selain itu, menurut perenggan (b) fraud bukan sahaja boleh berlaku dalam bentuk pernyataan secara lisan atau bertulis tetapi boleh juga berlaku dalam bentuk perbuatan. Fraud jenis ini dikenali sebagai menyembunyikan fakta secara aktif.

Kesimpulannya,  setiap kontrak yang mengandungi fraud boleh dibatalkan oleh pihak yang menerima fakta palsu berdasarkan Seksyen 19. Pihak yang menerima kenyaatan palsu mempunyai beberapa pilihan. Mereka boleh meminta samada membatalkan kontrak serta menuntut gantirugi atau meminta gantirugi sahaja. Mereka juga boleh menuntut untuk mendapat hak pada kedudukan yang sepatutnya jika kenyataan itu benar.

Menurut seksyen 65,  jika kontrak itu dibatalkan, maka segala faedah yang diperolehi daripada kontrak itu perlu dikembalikan kepada pihak yang asal. Dalam kebanyakan kes, pihak yang menuntut berhak mendapatkan gantirugi. Walaubagaimana pun, hak pihak yang membuat tuntutan tertakluk kepada pengecualian di bawah seksyen 19.


4.0  CADANGAN PENAMBAHBAIKAN AKTA KONTRAK 1950

Akta Kontrak 1950 telah berusia lebih dari lima dekad. Oleh yang demikian, dalam memastikan akta tersebut selari dengan keperluan semasa adalah amat penting bagi kerajaan untuk meminda atau menambahbaik akta tersebut agar sesuai dengan keperluan terkini.

Pada bahagian ini kertas ini akan membincangkan tiga cadangan yang praktikal dalam menambahbaik Akta Kontrak 1950. Antara perkara-perkara yang dicadangkan adalah seperti berikut:

4.1            Pemerkasaan Pengguna

Akta ini kurang memberi perlindungan kepada pengguna. Keadaan ini bertambah berat dengan kemunculan pelbagai bentuk dan cara berkontrak yang memberi kesan dengan tersebar luasnya penggunaan teknologi dalam urusan kontrak masa kini. Undang-undang kontrak di Malaysia boleh dikatakan boleh berfungsi sebagai satu lesen bagi satu-satu pihak untuk mengeksploitasi kelemahan yang lain

Cadangan agar akta ini dikaji semula terutama mengenai fungsi Akta Kontrak itu sendiri yang sepatutnya berfungsi sebagai satu platform untuk memperkembangkan hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan dan bukannya mengesahkan keuntungan jangka pendek. Sepatutnya undang-undang kontak harus memperkukuh dan membayangkan satu etika kerjasama dan bukannya individualistic seperti diaplikasikan sekarang ini.

            4.2       Kejelasan

Perkara ini telah menimbulkan pelbagai persoalan. Kepincangan Akta ini jelas kelihatan dalam peruntukannya yang tidak menyentuh tentang isi kandungan sesebuah kontrak. Kes ini pernah dibangkitkan dalam penulisan Visu Sinnadurai (1987). Akta ini tidak mempunyai atau mengandungi apa-apa peruntukan yang menyatakan secara khusus tentang isi kandungan sesuatu kontrak. Peruntukkan tidak dibuat mengenai pengkelasan terma-terma di dalam kontrak. Akta ini juga membisu tentang sama ada pihak-pihak adalah secara tegasnya terikat oleh terma nyata
kontrak atau samada terma tertentu boleh disiratkan. Tiada peruntukan khusus yang mengawal kandungan atau terma kontrak. Cadangan agar dipinda dan ditambah satu peruntukan khusus yang mengawal kandungan atau terma-terma kontrak yang dibuat agar ianya jelas dan memberi keadilan kepada semua pihak yang sukarela berkontrak.

Cadangan agar akta ini dikaji semula terutama mengenai fungsi Akta Kontrak itu sendiri yangsepatutnya berfungsi sebagai satu platform bagi bukannya mengesahkan keuntungan jangka pendek. Sepatutnya undang-undang kontak harus memperkukuh dan membayangkan satu etika kerjasama dan bukannya individualistik seperti diaplikasikan sekarang ini.

            4.3       Globalisasi

Memang tidak dapat dinafikan undang-undang kontrak Malaysia kini diganggu gugat oleh tekanan-tekanan globalisasi. Ia memberi kesan yang besar khususnya dunia perdagangan. Dizaman yang serba canggih, dengan penaklukan teknologi digital di dunia perdagangan tempatan dan antarabangsa disertai dengan kecanggihan sistem komputer, telekomunikasi dan teknologi maklumat, kita melihat satu pasaran elektronik yang baharu dan sedang berkembang di seluruh dunia.

Undang-undang kontrak amnya, di dalam keadaan sekarang ini, sebenarnya masih belum bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran yang akan diharungi. Terutamanya dalam usaha atau memberikan perlindungan dan menjaga kepentingan pengguna di dalam kontrak. Penggubalan Akta Perdagangan Elektronik masih belum mencukupi dan tidak mampu menyelesaikan masalah perlindungan yang diperlukan oleh pengguna siber.

5.0  REMEDI-REMEDI BAGI KEMUNGKIRAN KONTRAK

Dalam menyelesaikan pertelingkahan berkenaan kontrak ataupun dalam erti kata lain remedi bagi pihak yang tidak bersalah dalam sesebuah kemungkiran kontrak, terdapat beberapa penyelesaian. Ini adalah kerana sesuatu kontrak juga boleh tamat melalui pelanggaran atau kemungkiran kontrak iaitu apabila pihak-pihak yang berkontrak gagal melaksanakan tanggungjawab yang terkandung di dalam kontrak. Apabila sesuatu pihak enggan melaksanakan atau tidak membolehkan dirinya melaksanakan keseluruhan kontrak, seksyen 40 memberikan kuasa kepada pihak yang lain untuk menamatkan kontrak. Seksyen itu menyebut:

Apabila suatu pihak yang berkontrak enggan melaksanakan, atau tidak membolehkan dirinya melaksanakan, keseluruhan janjinya, penerima janji boleh menamatkan kontrak itu, melainkan dia telah menunjukkan, melalui perkataan atau kelakuan, kepatuhannya secara berterusan.

Pada dasarnya tidak semua pelanggaran kontrak akan membolehkan pihak yang lain membatalkan kontrak. Hak untuk membatalkan kontrak timbul apabila pihak yang engkar itu enggan melaksanakan ‘keseluruhan kontrak’ atau terma-terma yang penting kepada kontrak berkenaan.

Terma-terma yang penting ini dirujuk sebagai ‘syarat’ bagi membezakannya dengan ‘waranti’ yang tidak memberikan hak untuk membatalkan kontrak. Pelanggaran waranti hanya membolehkan pihak lain menuntut gantirugi sahaja. Bagi kontrak-kontrak yang tidak membuat perbezaan jelas antara syarat dan waranti, terpulang kepada mahkamah untuk membuat penilaian samada pelanggaran sesuatu kontrak itu menimbulkan hak untuk menamatkan kontrak atau tidak.

Peruntukan seksyen diatas juga meletakkan status kontrak yang mengalami kemungkiran sebagai kontrak boleh batal, bukannya kontrak batal. Ini bermakna pihak yang menjadi mengsa mempunyai pilihan sama ada mahu membatalkan kontrak atau meneruskannya. Sehubungan dengan itu, kontrak yang dimungkiri di bawah seksyen 40 adalah tertakluk kepada seksyen 65 berkaitan dengan perkembalian dalam kes kontrak boleh batal. Walau bagaimana pun, ia juga tertakluk kepada remedi gantirugi di bawah seksyen 74 serta remedi lain seperti pelaksanaan spesifik dan injunksi.

Selain itu, terdapat juga beberapa jenis remedi atau penyelesaian melalui saluran undang-undang bagi mengatasi kerugian atau kehilangan yang dihadapi oleh seseorang. Remedi diberikan apabila berlaku kemungkiran atau pelanggaran kontrak.

Pihak yang menjadi mangsa kepada kemungkiran kontrak boleh memohon mana-mana satu atau lebih remedi berikut:

            5.1       Gantirugi

Gantirugi adalah pampasan dalam bentuk wang berdasarkan seksyen 74 hingga 76. Pampasan ini diberikan diberikan oleh pihak yang pecah kontrak kepada pihak yang lain. Seksyen 74 membuat peraturan berkaitan penentuan jumlah gantirugi yang layak dimohon apabila berlaku pecah kontrak.

Terdapat beberapa istilah gantirugi yang digunakan antaranya:

a)      Gantirugi khas iaitu gantirugi yang ditunjukkan pengiraannya secara terperinci daripada kehilangan yang berlaku
b)      Gantirugi am iaitu gantirugi yang dituntut tanpa menunjukkan pengiraan.
c)      Gantirugi nominal iaitu gantirugi yang diberikan kepada pihak yang berjaya membuktikan haknya tetapi tidak dapat menunjukkan kerugian sebenar. Gantirugi ini diberikan dalam jumlah yang kecil
d)      Gantirugi banyak iaitu pampasan yang dalam jumlah yang besar pada jumlah yang sepatutnya diperolehi oleh pihak berkenaan jika kontrak itu dipatuhi.
e)      Gantirugi teladan iaitu jumlah pampasan yang amat besar jauh melebihi kerugian sebenar yang ditanggung. Gantirugi jenis ini dibuat bagi kesalahan jenayah yang disertai dengan elemen moral seperti ketidakjujuran, menjatuhkan maruah seseorang atau seumpamanya.

            5.2       Pelaksanaan Spesifik

Pelaksanaan spesifik adalah arahan mahkamah supaya kontrak itu dilaksanakan secara tertentu sebagaimana yang dipersetujui dalam terma kontrak. Pelaksanaan spesifik berdasarkan Akta Pemulihan Spesifik 1950. Arahan ini boleh dibuat samada bersama-sama gantirugi atau tanpa gantirugi.

Contoh: Ahmad membuat kontrak membeli satu lukisan oleh seorang pelukis terkenal dari Daud. Daud melakukan pecah kontrak kerana menjual lukisan itu kepada pihak lain. Ahmad berhak menuntut pelaksanaan spesifik agar mahkamah mengarahkan lukisan itu dijual kepadanya.

            5.3       Injunksi

Injunksi adalah arahan mahkamah bagi melarang pihak yang berkontrak dari melakukan sesuatu. Dalam konteks kes kontrak ia adalah arahan supaya terma kontrak yang berbentuk negatif dikuatkuasakan. Terma berbentuk negatif adalah terma yang melarang pihak-pihak yang berkontrak daripada melakukan sesuatu.

Contoh: Kamal Azeer adalah seorang penyanyi yang membuat kontrak dengan Syarikat BCX sebuah syarikat rakaman. Terdapat terma yang melarang Kamal Azeer membuat rakaman dengan syarikat rakaman yang lain. Apabila Kamal Azeer membuat rakaman dengan syarikat yang lain, Syarikat BCX boleh menuntut injunksi dari mahkamah agar Kamal Azeer dicegah dari membuat rakaman tersebut.

Injunksi boleh diberikan sama ada secara sementara atau secara berkekalan. Injunksi sementara berkuatkuasa sementara mahkamah membuat keputusan yang muktamad dalam sesuatu kes. Ia diberikan bagi mengelakkan perubahan status quo sepanjang tempoh perbicaraan sesuatu kes. Injunksi berkekalan pula hanya diberikan selepas mahkamah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak dan berpuashati dengan keperluannya. Kesannya adalah berkekalan sehingga tamat ikatan kontrak.

6.0  KESIMPULAN

Akta Kontrak 1950 pada asasnya berperan melindungi pengguna dalam urusan perdagangan dan urus niaga lain dalam kehidupan seharian. Terdapat tujuh elemen utama yang menjadi asas kepada sesebuah kontrak yang sah dan boleh berkuatkuasa. Ini termasuklah tawaran, penerimaa, balasan, keupayaan, niat, kepastian, dan kerelaan.

Perkembangan dalam globalisasi dan urusniaga memaparkan kekurangan yang terdapat di dalam Akta Kontrak 1950. Oleh yang demikian, usaha dan cadangan penambahbaikan perlu dilaksana dari masa ke semasa. Ini termasuklah melakukan kajian dan semakan semasa terhadap kes-kes lampau yang berkaitan dengan akta ini secara langsung, perbahasan dan sumbang saran daripada tenaga akademik dan ahli perundangan, serta sikap proaktif dan kebertanggungjawab para menteri dalam menggubal dan menguatkuasakan pindaan dan seksyen serta peruntukan baru dalam Akta Kontrak 1950.

(3827 PATAH PERKATAAN)

RUJUKAN

Andrew Phang Boon Leong (1994). Cheshire, Fifoot and Furmston’s Law of Contract. Butterworth Asia.

Lam, S. H. (1996). Commercial Law. Kuala Lumpur, Malaysia: International Law Book Services.

Lee M. P., Ivan J. D. (2009). Business Law. Oxford University Press.

Nik Ramlah Mahmood (1993). Unfair Terms in Malaysian Consumer Contracts – The Need for Increased Judicial Creativity. Asian Seminar on Consumer Law, Kuala Lumpur, 9-12 August 1993.

Shaik Mohd Noor Alam. (2000). Undang-undang Komersil Malaysia. Kuala Lumpur: Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Ahmad Alsagoff. (1996). Principles of the Law of Contract in Malaysia. Kuala Lumpur, Malaysia: Malayan Law Journal.

Wan Arfah Hamza & Ramy Bulan. (2003). An Introduction to the Malaysian Legal System. Kuala Lumpur, Malaysia: Penerbit Fajar Bakti.

Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR