30 Ogo 2018

KERTAS CADANGAN PENYELIDIKAN






FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PRESTASI KERJA DALAM KALANGAN KAKITANGAN SYARIKAT TRIPLE A





ISI KANDUNGAN





1.0              PENGENALAN

Kertas cadangan kajian penyelidikan ini merangkumi perkara-perkara asas dalam penyelidikan yang bakal dijalankan. Perkara-perkara ini termasuklah pernyataan masalah, objektif kajian, rekabentuk persampelan, instrumen kajian, kaedah survei dan juga analisis data.

2.0       PERNYATAAN MASALAH

Dewasa ini, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh sektor awam mahupun sektor swasta yang menuntut perubahan struktur dan peralihan paradigma bagi memastikan kewujudannya terus relevan dan dihormati. Demi mencapai matlamat tersebut, prestasi pekerja perkhidmatan awam dan swasta haruslah berada pada suatu tahap kecekapan dan prestasi kerja tertentu.

Prestasi kerja didefinisikan sebagai satu proses dimana pengurus bertanggungjawab memastikan aktiviti dan produktiviti pekerja selari dengan matlamat organisasi (Noel, 2009). Menurut Spector (2003), prestasi kerja yang baik dapat meningkatkan produktiviti organisasiyang mana secara langsung akan meningkatkan ekonomi negara. Sebaliknya, pekerja yang kurang bermotivasi akan menyebabkan kelemahan di dalam sistem pentadbiran sesebuah organisasi akibat kurangnya komitmen sewaktu menjalankan tugas yang diberikan (Azlinda Jaini, 2013). Selain itu, budaya organisasi dan gaya pengurusan turut dikenalpasti antara faktor yang boleh mempengaruhi prestasi kerja (Denhart, 1998).

Kaedah-kaedah menyusun kerja, peluang-peluang untuk penglibatan pekerja dan tindak balas merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi kuantiti dan kualiti kerja dalam sesebuah organisasi. Pekerja adalah merupakan faktor utama yang menentukan kejayaan organisasi dalam persekitaran dan persaingan yang kompetitif (Yahya, 2012). Persaingan yang sengit antara organisasi dan kekurangan kemahiran pekerja telah mendorong banyak organisasi untuk menilai kembali peranan tenaga kerja serta meneliti kaedah bagaimana pekerja ini boleh mengekalkan potensi untuk memenuhi permintaan organisasi (Robbins 2001).

Menyedari akan kepentingan prestasi kerja dalam meningkatkan kecemerlangan sesebuah organisasi, maka kajian ini ingin melihat apakah faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi kerja dikalangan kakitangan syarikat Triple A. Kajian ini dijalankan kerana wujudnya fenomena kurangnya daya saing dikalangan kakitangan syarikat Triple A. Selain itu, sistem pengurusan pejabat juga didapati tidak begitu teratur dan perkhidmatan yang diberikan juga kurang memuaskan hati. Berdasarkan pemerhatian yang telah dibuat, sesetengah program, latihan pembangunan staf yang yang dihadiri oleh pekerja hanyalah bagi memenuhi petunjuk penilaian prestasi yang telah ditetapkan oleh pihak atasan. Ini menyebabkan tidak berlaku perubahan sepertimana yang diharapkan oleh pihak pengurusan apabila pekerja tidak bekerja bersunguh-sungguh dan enggan untuk melakukan perubahan. Segelintir dari mereka kurang produktif dan lemah dari segi kemahiran pengurusan. Ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada sistem pengurusan keseluruhannya. Fenomena kurangnya pendedahan terhadap pengurusan pejabat secara formal juga turut menyumbang kepada sistem pengurusan yang lemah dan tidak teratur. Oleh itu, kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti permasalahan yang berlaku dengan mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi kerja dikalangan kakitangan syarikat Triple A.

            2.1       Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk melihat tahap prestasi pekerja di syarikat Triple A. Oleh yang demikian, objektif khusus bagi kajia ini adalah seperti berikut:
1.      Mengenalpasti bagaimanakah tahap prestasi kerja kakitangan syarikat Triple A.
2.      Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi kerja kakitangan syarikat Triple A.
3.      Mengkaji hubungan antara tahap prestasi kerja dengan prestasi syarikat Triple A.

2.2       Persoalan Kajian

Berdasarkan objektif kajian yang telah digariskan seperti di atas. Berikut adalah persoalan kajian:
1.      Apakah tahap prestasi kerja kakitangan syarikat Triple A?
2.      Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi kerja kakitangan syarikat Triple A?
3.      Apakah hubungan di antara tahap prestasi kerja dengan prestasi syarikat Triple A?

2.3       Hipotesis Kajian

Kajian ini mengandaikan bahawa motivasi pekerja, komitmen kerja dan latihan dalam tugas adalah merupakan faktor-faktor yang akan mempengaruhi prestasi kerja di kalangan kakitangan syarikat Triple A. Selain itu, dalam kajian ini terdapat satu hipotesis alternatif yang boleh diuji. Hipotesis ini ialah:

Ha1: Terdapat  hubungan yang signifikan di antara tahap prestasi kerja dengan dengan prestasi syarikat Triple A.

3.0       REKA BENTUK KAJIAN

Reka bentuk kajian ialah pelan tindakan yang memperlihatkan secara terperinci bagaimana sesuatu kajian itu dijalankan (Sabitha, 2005). Ia juga berfungsi sebagai panduan dalam membantu penyelidik dalam proses memungut, menganalisis dan membuat pentafsiran hasil daripada penyelidikan yang dijalankan. Reka bentuk penyelidikan juga menjadi model bagi membolehkan penyelidik membuat inferens berkenaan pemboleh ubah yang dikaji.

Kajian ini merupakan satu kajian deskriptif yang akan dilaksanakan secara keratan rentas (cross-section) dengan menggunakan kaedah analisis data secara kuantitatif. Mengikut Patton (1990), pendekatan kuantitatif mampu mengukur reaksi dan tindak balas responden terhadap soal selidik yang terhad dan dapat menganalisis masalah yang dikaji dengan ringkas dan tepat. Ini kerana data kuantitatif adalah sistematik, piawai, mudah dianalisis dan dikemukakan dalam masa yang singkat.

            3.1       Pembolehubah

Pembolehubah bersandar dalam kajian ini adalah prestasi kerja. Pembolehubah ini disandarkan pada tiga pemboleh ubah tidak bersandar yang telah dikaji hubungannya bersama pemboleh ubah bersandar ini. Terdapat tiga pembolehubah tidak bersandar yang telah dikaji dalam kajian ini adalah motivasi pekerja, komitmen pekerja dan latihan yang berkaitan tugas.

            3.2       Pengumpulan Data

Dalam kajian ini, data diperolehi melalui borang soal selidik yang akan diedarkan kepada seramai 100 orang kakitangan syarikat Triple A. Kesemua 100 borang yang dihantar akan dikutip semula oleh pengkaji secara berperingkat. Soal selidik Kajian ini diadaptasi daripada kajian Hamidah et al. (2009). Kajian dibuat menggunakan Skala Likert dimana terdapat empat jenis Skala Likert yang digunakan iaitu, sangat tidak setuju, tidak setuju, setuju, dan sangat setuju. Responden akan memilih salah satu daripada jenis skala tersebut.

4.0       REKA BENTUK PERSAMPELAN

Proses reka bentuk persampelan merupakan satu proses di mana kita membuat penampelan atau memilih sampel yang baik. Terdapat beberapa perkara yang pertu diketahui dalam proses reka bentuk persampelan seperti: populasi sasaran (target population), kerangka penampelan, teknik penampelan, saiz sampel, proses persampelan (Pemilihan sampel yang diperlukan). Parameter populasi penting dalam menentukan saiz sampel. Terdapat dua kaedah dalam pemilihan sampel; (i) sampel kebarangkalian don (ii) sampel bukan kebarangkalian. Dalam membuat penampelan kita mestilah memastikan semua ciri yang terdapat dalam sesuatu populasi itu diambil kira. Juga beberapa teori persempelan akan digunakan bagi tujuan penampelan dalam penyelidikan.

            4.1       Pensampelan berkebarangkalian Rawak Mudah

kajian ini menggunakan reka bentuk pensampelan berkebarangkalian. Pensampelan berkebarangkalian dipilih kerana kajian ini melibatkan tinjauan bagi membuat inerens tentang populasi berdasarkan statistik sampel. Terdapat dua perkara utama dalam pensampelan berkebarangkalian ini iaitu:

4.1.1        Mengenalpasti Rangka Pensampelan yang sesuai
Rangka pensampelan bagi sebarang pensampelan berkebarangkalian ialah senarai lengekap semua kes dalam populasi di mana sampel diambil. Dalam konteks kajian ini merujuk kepada kakitangan syarikat Triple A. Sampel dipilih berdasarkan persoalan dan objektif kajian yang ingin untuk melihat tahap prestasi pekerja di syarikat Triple A. Senarai yang lengkap amat penting kerana kebarangkalian setiap kes untuk dipilih tidak dketahui.

4.1.2        Penentuan Saiz Sampel yang Sesuai
Statistik sampel digunakan untuk membuat generalisasi pada parameter populasi. Generalisasi dari sampel adalah berdasarkan teori kebarangkalian. Semakin besar saiz sampel, semakin kecil ralat apabila generalisasi pada populasi dibuat. Sampel kebarangkalian membolehkan pengkaji membuat kompromi antara ketepatan dapatan kajian; jumlah wang dan masa yang dilaburkan untuk mengumpul, menganalisis dan menyemak data.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada keterangan di atas, pengkaji telah memilih teknik pensampelan rawak mudah untuk digunakan sebagai reka bentuk persampelan bagi kajian ini. Teknik ini dipilih kerana, setiap elemen dalam populasi mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai sampel. Sampel dipilih menggunakan jadual nombor rawak atau generator. Pada hemat pengkaji, teknik ini amat sesuai dengan objektif kajian iaitu untuk mengetahui prestasi dan sikap kerja kakitangan syarikat Triple A. Teknik ini juga adalah teknik yang terbaik memandangkan kerangka persampelan yang digunakan adalah tepat, lengkap  dan senang diakses dan didapati. Dengan menggunakan nombor rawak, pemilihan sampel dilakukan tanpa berat sebelah dan menjadikan sampel representatif keseluruhan populasi.

Teknik ini juga mempunyai kelemahan kerana ia memerlukan senarai semua elemen dalam populasi. Namun begitu, perkara ini tidak menjadi masalah kepada pengkaji kerana senarai tersebut akan disediakan sendiri oleh pihak pengurusan syarikat Triple A. Antara kelemahan lain teknik persampelan ini juga termasuklah ianya memerlukan masa untuk dilaksanakan di samping rumit sekiranya melibatkan kawasan geografi yang luas. Namun, bagi kes di syarikat Triple A, syarikat ini hanya mempunyai satu cawangan dan pejabat yang mana ianya terletak di kawasan yang sama. Oleh yang demikian, teknik ini adalah teknik yang terbaik untuk digunakan sebagai reka bentuk persampelan kajian.

            4.2       Populasi Kajian

Populasi merujuk kepada sekumpulan individu, objek atau benda kejadian yang mempunyai ciri-ciri yang sama yang ingin dikaji. Menurut Rohana Yusof (2004), setiap individu atau objek dalam sesuatu populasi berkemungkinan berbeza-beza dalam banyak segi, namun ianya mestilah mempunyai tidak kurang daripada satu ciri yang sama. Manakala persampelan merupakan pengambilan sebahagian pecahan daripada suatu populasi sebagai mewakili populasi tersebut.

Populasi kajian adalah terdiri daripada kakitangan syarikat Triple A yang sedang berkhidmat dengan syarikat tersebut di peringkat operasi dan juga pengurusan. Subjek kajian terdiri daripada 100 orang kakitangan kakitangan dari kumpulan operasi dan juga pengurusan di syarikat tersebut. Responden kajian meliputi 72 orang lelaki dan 28 orang perempuan.

            4.3       Lokasi Kajian

Lokasi kajian dijalankan di syarikat Triple A yang terletak di kawasan perindustrian Bukit Sentosa Rawang, Selangor. Lokasi ini merupakan satu-satunya cawangan syarikat tersebut yang menempatkan dua bangunan utama iaitu bangunan operasi dan juga bangunan pengurusan. Terdapat lebih 70 orang kakitangan berada di bangunan operasi di mana kakitangan selebihnya berada di bangunan pengurusan.

4.4       Kaedah Kajian

Langkah pertama dalam menjalankan kajian ini adalah menyediakan satu rangka kerja yang sistematik sebagai rujukan dan panduan bagi melicinkan perlaksanaan kajian. Seterusnya, selepas borang soal selidik dikumpulkan akan diteliti terlebih dahulu oleh pengkaji bagi memastikan setiap borang soal selidik dijawab oleh responden. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan kerosakan alat kajian bagi tujuan analisis.

Sebelum itu, pengkaji telah mengenalpasti subjek kajian iaitu kakitangan syarikat Triple A sebagai responden kajian. Kemudian pengkaji telah mendapatkan surat pengakuan daripada pihak pengurusan syarikat tersebut untuk mendapatkan kebenaran menjalankan kajian dan mengedarkan borang soal selidik di premis syarikat tersebut. Responden kajian adalah terdiri daripada 100 orang kakitangan operasi dan pengurusan syarikat Triple A.

Bagi menjalankan kajian tersebut, sebanyak 100 set borang soal selidik akan diedarkan kepada kakitangan syarikat Triple A. Pengkaji turut memberikan penerangan ringkas berkaitan borang soal selidik bagi memudahkan responden untuk melengkapkan borang tersebut.

Pengkaji memberikan tempoh 2 minggu kepada responden bagi melengkapkan serta memulangkan borang soal selidik tersebut. Pengkaji akan mengumpulkan semua borang soal selidik dari premis tersebut bagi memudahkan responden untuk memulangkan borang soal selidik. Borang soal selidik yang lengkap telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi versi 21.

5.0       INSTRUMEN PENGUMPULAN DATA

Menurut Noraini Idris (2010), semua penyelidikan melibatkan pungutan data. Data merujuk kepada maklumat yang diperoleh penyelidik tentang subjek penyelidikan atau kajian. Contoh data ialah maklumat demografi seperti umur, jantina, etnik dan agama; skor bagi ujian yang dibina oleh penyelidik; respon kepada soalan penyelidik, sama ada melalui temu bual atau jawapan bertulis dalam borang soal selidik. Alat-alatan seperti ujian pensil dan kertas, borang soal selidik atau skala perkadaran yang digunakan untuk mengumpul data pula dinamakan sebagai instrumen.

Kebanyakan penyelidikan menggunakan instrumen, sama ada instrumen yang dibentuk oleh penerbit, direka sendiri oleh penyelidik, atau instrumen piawai. Secara keseluruhan, semua proses penyediaan untuk mengumpul data dipanggil instrumentasi. Instrumentasi melibatkan pemilihan dan mereka bentuk instrumen dan juga prosedur serta kondisi sewaktu instrumen ditadbir.

Sesuatu instrumen boleh dipercayai jika instrumen berkenaan memberi dapatan yang konsisten setiap kali pengukuran dibuat. Jika seseorang penyelidik atau pengkaji menggunakan instrumen yang sama untuk mengesan pencapaian sekumpulan pelajar yang sama pada dua waktu yang berbeza, dapatan mestilah hampir sama. Konsistensi ini akan membuatkan seseorang penyelidik yakin bahawa dapatannya mewakili pencapaian pelajar yang diuji.

Objektiviti instrumen ialah satu lagi elemen yang harus diambil kira. Objektiviti bermakna tiada elemen subjektif dalam penggunaan instrumen itu. Setakat yang boleh, seseorang penyelidik perlu menghilangkan subjektiviti daripada keputusan yang dibuat berasaskan instrumen yang digunakan. Walau bagaimanapun, agak sukar untuk mendapat objektiviti mutlak dalam penggunaan susuatu instrumen.

Metod ini dirangka bagi membolehkan mereka menjawab soalan-soalan yang disediakan oleh pengkaji. Ini bagi memastikan persoalan kajian yang dikemukan dapat dijawab secara sukarela oleh responden kajian tanpa ada pengaruh daripada pihak lain.

5.1       Instrumen Kajian Soal Selidik

Dalam melaksanan dan menjalankan kajian menggunanakan instrumen ini, penyelidik menggunakan kaedah survei (tinjauan) sebagai instrumen kajian. Instrumen kajian yang digunakan adalah berbentuk soal selidik yang dibangunkan oleh Hamidah et al. (2009). Instrumen kajian ini digunakan Instrumen kajian ini digunakan tahap prestasi kerja pekerja dalam pekerjaan serta faktor-faktor yang berhubungan dengan prestasi kerja. Soal-selidik ini mengandungi 6 skala namun bagi kajian ini pengkaji hanya memilih 1 skala iaitu skala punca-punca tekanan.

Instrumen kajian terdiri dari dua bahagian iaitu Bahagian A terdiri daripada 4 soalan tentang latar belakang responden yang terdiri daripada jantina, umur, tempoh pekerjaan dan status perkahwinan. Bahagian B pula merupakan borang skala soal selidik yang dibangunkan oleh Hamidah et al. (2009) yang terdiri daripada struktur dan iklim organisasi, peranan pengurusan, kerjaya dan pencapaian, hubungan di tempat kerja dan faktor instrinsik dalam pekerjaan. Kesemua item adalah berbentuk positif dan respon kepada semua item dalam Bahagian B adalah berdasarkan skala likert 6 poin.

                        5.1.1    Bahagian A: Borang Maklumat Diri

Bahagian ini merangkumi latar belakang responden iaitu berkenaan jantina, umur, tahap pendidikan, tempoh perkhidmatan dan status. Dalam bahagian ini, responden perlu mengisi maklumat yang dikehendaki dengan menanda pada ruangan yang disediakan. Segala maklumat peribadi responden akan dirahsiakan dan hanya digunakan dalam kajian ini bagi tujuan kajian sahaja.

                        5.1.2    Bahagian B: Borang Soal Selidik

Bahagian ini merangkumi 40 soalan. Responden perlu membuat pilihan terhadap soalan yang diberi dengan membulatkan nombor yang disediakan mengikut pilihan sendiri. Soalan di bahagian B adalah motivasi pekerja, komitmen pekerja, latihan yang berkaitan dengan tugas dan prestasi kerja. Skala Likert yang digunakan ialah skala enam mata. Dengan menggunakan skala ini, responden boleh memilih jawapan tanpa ada rasa paksaan untuk menjawab soalan seperti 'ya' atau 'tidak' (Sugiyono, 2011). Skala ini juga sering digunakan oleh banyak pengkaji-pengkaji sebelum ini kerana mempunyai kelebihan dalam pemilihan jawapan kepada responden.

            5.2       Skala Permakatan

Skala permarkatan dalam soal selidik adalah mengikut Skala Likert 6 poin. Dalam kajian ini pengkaji telah memilih skala faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi kerja sahaja bagi tujuan menjalankan kajian.

            5.3       Kebolehpercayaan Instrumen

Sebelum menjalankan kajian sebenar, pengkaji akan menjalankan kajian rintis bagi mengukur tahap kebolehpercayaan instrumen kajian yang digunakan. Hasil dapatan kajian rintis ini akan diukur melalui perisian SPSS versi 21 untuk melihat nilai pekali alfa Cronbach. Menurut Anastasi (1982), kebolehpercayaan didefinisikan sebagai ketekalan dalam sesuatu skor yang diperolehi daripada individu yang sama apabila mereka diberi ujian yang sama tetapi dalam situasi yang berbeza. Kebolehpercayaan dianggap baik oleh beliau adalah antara 0.80 dan 0.90. Manakala Kaplan dan Saccuzzo (2001) pula mengatakan bahawa nilai pekali kebolehpercayaan yang baik adalah antara 0.70 dan 0.80 dianggap sebagai nilai yang cukup tinggi untuk menggambarkan kebolehpercayaan alat ukuran.

Begitu juga menurut Hull dan Nie (1981) nilai kebolehpercayaan yang diukur dengan kaedah Alpha Cronbach akan menyediakan satu petunjuk kepada darjah kebolehpercayaan ketekalan dalaman dan alat ukuran.

6.0       KAEDAH SURVEI

Kajian ini akan menggunakan kaedah survei soal selidik (questionaire). Di bahagian ini kita akan membincangkan mengapa kaedah survei sesuai digunakan dalam konsep penyelidikan ini.

Kajian tinjauan atau pada kebiasaanya disebut sebagai kaedah survei merupakan salah satu kaedah penyelidikan bukan berbentuk eksperimen yang paling popular digunakan dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang sains sosial. Selain itu, kaedah survei digunakan untuk mendapatkan maklumat daripada responden yang ramai iaitu ratusan ataupun ribuan responden (Idid, 1993). Oleh yang demikian, boleh dikatakan kaedah survei banyak dijalankan ke atas sampel dalam sesuatu populasi. Sampel yang terpilih mestilah mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat populasi yang ingin dikaji supaya maklumat yang diperoleh melalui kajian berkenaan boleh memberi kenyataan dan gambaran umum tentang keseluruhan populasi yang dikaji. Justeru itu, salah satu tujuan menjalankan kaedah survei ialah untuk membuat kenyataan umum (generalization) tentang sesuatu populasi.

Oleh yang demikian, berikut adalah disenaraikan ciri-ciri kaedah survei yang umum iaitu; kajian menyeluruh mengenai sesuatu isu atau masalah, kutipan data yang cepat, penggunaan saiz sampel yang besar, maklumat dipungut secara terus daripada responden dalam masa singkat dan dapat membuat kenyataan umum untuk sesuatu populasi kajian (Chua, 2006). Terdapat beberapa cara pemilihan sampel dalam kaedah survei iaitu melalui pensampelan rawak mudah (simple random sampling), pensampelan berstrata (stratified sampling), pensampelan sistematik (systematic sampling) dan pensampelan kelompok (cluster sampling). Walau bagaimanapun pemilihan sampel dalam kaedah survei adalah secara rawak daripada sesuatu populasi yang dikenal pasti (Gay & Airasian, 2003).

Penggunaan kaedah survei boleh dijalankan menggunakan soal selidik melalui pos dan temu bual secara lisan atau secara kertas-pensil, melalui SMS, e-mail serta telefon. Oleh sebab itu, soal selidik merupakan instrumen pengumpulan data yang paling popular dalam kaedah survei manakala temu bual dijalankan untuk menyokong hasil kajian yang diperoleh. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini biasanya disediakan oleh penyelidik atau menggunakan set soal selidik yang pernah digunakan oleh pengkaji-pengkaji lepas. Walau bagaimanapun soal selidik yang dibina atau soal selidik penyelidikan terdahulu iaitu yang perlu melalui proses pengesahan dan diuji kebolehpercayaanny. Sekiranya penyelidik perlu menyediakan instrumen soal selidik beberapa perkara perlu diambil perhatian. Ciri-ciri instrumen soal selidik yang baik mestilah sesuai dengan kesediaan responden, format instrumen yang sistematik, arahan yang jelas, surat dan dokumen disertakan bersama instrumen kajian serta ujian rintis perlu dijalankan sebelum instrumen digunakan (Chua, 2006). Selain soal selidik, temu bual juga boleh digunakan dalam kajian tinjauan. Beberapa bentuk temu bual boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, temu bual semi struktur, temu bual tidak berstruktur. Walau bagaimanapun temu bual tidak berstruktur jarang digunakan dalam kajian tinjauan kerana temu bual ini biasanya digunakan untuk mendapatkan maklumat mendalam berkaitan sesuatu fenomena atau isu (Gay & Airasian, 2003). Panduan membentuk item-item soal selidik ialah penggunaan bahasa yang mudah, selaras dengan responden, elakkan soalan yang sukar, soalan yang tidak mempengaruhi pemilihan responden, elakkan soalan dwi-maksud, soal selidik yang terlalu panjang, elakkan soalan yang kabur, elakkan mendorong jawapan yang digemari masyarakat, elakkan soalan yang berarah dan item yang negatif (Idid, 1993). Item-item soal selidik boleh menggunakan ukuran dalam bentuk skala likert, skala perbezaan semantik, skala Thurstone dan skala Gutman (Gay & Airasian, 2003).

Selain itu, terdapat 10 ciri asas untuk menjadi penemu bual yang baik iaitu tidak mulakan sesi temu bual yang dingin, sentiasa sedar tentang tujuan temu bual, soalan ditanya secara semula jadi, soalan yang penting perlu disoal dengan jelas dan tepat, berwatak sebagai pendengar yang baik, pakaian dan penampilan yang sesuai, tempat yang selesa, menghormati responden, berlatih sebelum sesi temu bual dilaksanakan dan menghargai responden.

Oleh itu, adalah jelas yang penggunaan kaedah kaedah survei iaitu soal selidik adalah sesuai dengan keperluan kajian ini yang memerlukan data-data yang tepat dari responden yang terlibat. Seperti yang telah dibincangkan diatas, data-data ini akan diukur tahap kebolehpercayaannya sebelum analisis data dapat dilakukan. Penggunaan kaedah soal selidik juga sesuai dengan persekitaran kajian yang memfokuskan kepada sikap kerja pekerja di syarikat Triple A.

7.0       ANALISIS DATA

Semua data yang dikumpul, dikodkan dan seterusnya dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 21. Sebelum analisis dijalankan, data disaring terlebih dahulu. Penyaringan data dijalankan bagi melihat ciri-ciri sebenar yang wujud sebelum analisis dapat dijalankan. Penyaringan data amat penting dalam memastikan data yang dianalisis adalah tepat dan taburan normaliti yang diterima sebagai syarat penganalisisan teknik statistik inferensi (Gravetter & Wallnau, 2000). Di samping itu, penyaringan juga dijalankan bagi mengenal pasti wujudnya missing value yang timbul akibat kegagalan responden dalam menjawab soal selidik yang diberikan dan seterusnya boleh menjejaskan analisis data.

            7.1       Ujian Kenormalan

Ujian kenormalan data diperlukan jika membuat ujian Parametik (parametric test) seperti Anova, Pearson Correlation, T-Test dan sebagainya. Kenormalan data digunakan untuk menerangkan simentri data yang membentuk lengkongan atau kelok seperti loceng (Bell shaped curve). Dengan kebanyakan skor berkumpul di bahagian tengah, dengan sedikit kekerapan adalah ekstrim (Gravetter & Wallnau, 2000). Normality dikaitkan dengan nilai skewness dan kurtosis. Pada keadaan biasa ujian kenormalan (test of normality) selalunya digunakan pada banyak kaedah-kaedah statistik bagi ujian parametrik.

            7.2       Statistik Deskriptif

Statistik deskriptif digunakan bagi menerangkan ciri-ciri sampel atau kombinasi pemboleh ubah (Tabachnick & Fidell, 1983) Statistik deskriptif digunakan untuk memberikan gambaran tentang latar belakang responden. Statistik yang digunakan terdiri daripada analisis kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai.

            7.3       Statistik Inferensi

Bagi memenuhi objektif kajian iaitu untuk melihat hubungan antara prestasi kerja dan prestasi syarikat, ujian Korelasi Pearson digunakan untuk mengukur kekuatan antara dua pembolehubah yang terlibat. Bagi tujuan ini, pengelasan korelasi Spearman Pearson dari Collins dan Hussey (2009).

Jadual 0.1Pengelasan Korelasi Pearson
       Pekali Korelasi                                                                              Penerangan
       ± 0.90 – 0.99                                                                                  Sangat Tinggi
       ± 0.70 – 0.89                                                                                       Tinggi
       ± 0.40 – 0.69                                                                                     Sederhana
       ±      0 – 0.39                                                                                       Rendah
Sumber: Collins & Hussey (2009).

Korelasi merujuk kepada ukuran kekuatan hubungan linear di antara dua pembolehubah yang di wakili oleh huruf x dan y. Hubungan tersebut adalah korelasi linear positf, korelasi linear negatif dan tiada korelasi.

Ujian korelasi Pearson merupakan teknik ujian parametrik yang sesuai digunakan apabila kedua-dua pembolehubah yang ingin dibandingkan menggunakan skala pengukuran sekurang-kurangnya nisbah atau selang, atau dalam istilah lain pembolehubah yang mempunyai nilai jawapan yang bersambung (continoues variable) contohnya seperti pendapatan atau umur.

Terdapat beberapa syarat pengujian korelasi Pearson iaitu:

1)          Data-data yang di perolehi hendaklah bertabur secara normal.
2)          Data-data hendaklah dalam ukuran skala selang atau nisbah Sampel data hendaklah di uji perlu lah di perolehi daripada sampel yang sama
3)          Variasi atau varian skor bagi pembolehubah yang pertama adalah sama bagi semua nilai yang mungkin bagi pembolehubah yang kedua.

Oleh yang demikian, ujian kenormalan akan dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan data-data kajian memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di atas.

8.0       KESIMPULAN

Pekerja yang menunjukkan kelakuan sikap kerja yang negatif mampu memberi kesan kepada prestasi syarikat. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada produktiviti syarikat malahan memberi kesan kepada pengurusan syarikat. Justeru itu, kertas cadangan ini adalah satu cadangan kajian penyelidikan untuk mencari hubungkait antara sikap kerja pekerja dengan prestasi kerja. Dapatan dari kajian ini akan dapat memberi gambaran kepada pihak penguurusan syarikat Triple A dan seterusnya mencari jalan penyelesaian dalam memastikan budaya sikap kerja yang negatif dapat dihakis.

Kajian ini mencadangkan penggunaan kaedah survei yang mana sampel kajian dipilih secara rawak dari populasi kakitangan syarikat Triple A. Instrumen soal selidik dari dari pengkaji lepas digunakan sebagai instrumen kajian. Set-set soalan ini akan diedarkan kepada 100 orang pekerja di syarikat Triple A yang terdiri dari kumpulan pengurusan dan operasi.

Untuk proses analisis data, pengkaji akan menggunakan perisian SPSS untuk menganalisis data kuantitatif yang terdiri daripada statistik deskriptif dan juga inferensi. Ujian korelasi Pearson akan digunakan untuk menguji ukuran kekuatan hubungan linear di antara dua pembolehubah yang di wakili oleh sikap kerja dan prestasi kerja. Hubungan tersebut adalah korelasi linear positf, korelasi linear negatif dan tiada korelasi.

Oleh yang demikian, pengkaji berharap kajian ini dapat menghasilkan maklumat yang tepat untuk syarikat Triple A untuk dijadikan sebagai landasan yang amat berguna kepada pihak pengurusan sumber manusia bagi usaha untuk memperbaiki tahap sikap kerja di organisasi berkenaan. Hasil daripada dapatan kajian ini akan dapat memberi gambaran yang sebenar serta faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada tahap sikap kerja dan hubungannya dengan prestasi kerja pekerja di TripleA.

(3641 PATAH PERKATAAN)



RUJUKAN

Anastasi. (1982). Psychology Testing. New York: McMillan Publishing Co.


Azlinda Binti Jaini (2013). A Study On the Factors That Influence Employees Job Satisfaction at Scope International (M) Sdn. Bhd. Uitm Shah Alam: Disertasi. Sarjana.


Chua Yan Piaw. (2006). Kaedah penyelidikan. (Buku 1). Malaysia: Mc Graw Hill.


Collins, J. & Hussey, R. (2009). Business Research: A Practical Guide for Graduate and Undergraduate. 3rd Edition. United Kingdom: Palgrave Macmillan.

Denhart. (1998). Manajemen Personalia. PT. Gelora Aksara: Jakarta.


Hamidah Abdul Rahman, Azizah Rajab & Kong SheauPey (2009). Faktor Individu Terhadap Pemindahan Latihan di Kalangan Staf Bukan Akademik Universiti Teknologi Malaysia. Amalan Latihan & Pembangunan Sumber Manusia di Malaysia. Chapter 3, p. 33 – 55. UTM: Penerbit UTM Press.


Hull, C.H., Nie, N.H., (1981). SPSS update. McGraw-Hill, New York.


Gay, L. R., & Airasian, P. (2003). Education research. Competencies for Analysis and Applications, New Jersey.


Gravetter, F. J., & Wallnau, L. B. (2000). Statistics for Behavaioral Sciences. 5th ed. USA: Wadsworth Pub. Co.


Idid, A. (1993). Kaedah penyelidikan komunikasi dan sains sosial. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Noraini Idris (2010). “Penyelidikan Dalam Pendidikan.” Malaysia. Mc Graw Hill.

Noel, T. W. (2009). The Impact of Knowledge Resourcea on New Venture Performance. Journal of Small Business Management, 47 (1), 1-22.

Patton, M. Q. (1990). Qualitative Evaluation and Research Methods (2nd ed.). Newbury Park, CA: Sage Publications, Inc.

Rohana Yusof (2004). ‘Penyelidikan Sains Sosial’. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sabitha Marican (2005). Kaedah Penyelidikan Sains Sosial. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall.

Spector, P.E. (1997). Job Satisfaction: Application, Assessment, Causes and Consequences. Thousand Oaks, California: Sage Publications.

Sugiyono. (2011). Metode Penelitian Kuantitatif kualitatif dan R&D. Bandung: Alfabeta.

Yahya, M. K. (2012) Pendekatan Program Kualiti Kehidupan Bekerja (KKB). Diambil dari: http://mdkamalyusoff.blogspot.com


Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR