31 Mac 2017

HUBUNGAN ETNIK MPU3133
Flat UI Design Resources

                                                                                                                         



ISI KANDUNGAN

1.0       PENGENALAN                                                                                             2

2.0       DEFINISI DAN TUJUAN PERLEMBAGAAN                                           4

3.0       KONTRAK SOSIAL                                                                                      6

4.0       UNSUR-UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN
MALAYSIA                                                                                                   9

5.0       SEBAB-SEBAB BERLAKU PERDEBATAN TERHADAP
UNSUR-UNSUR TRADISI YANG TERKANDUNG DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA                                                                                                           13

6.0       KESIMPULAN                                                                                                15

APENDIKS
1.0       PENGENALAN

Perlembagaan ialah kumpulan peraturan dan undang-undang yang menentukan organisasi kerajaan dan pembahagian kuasa antara badan pemerintah. Merujuk kepada Profesor A. V. Dicey yang menyatakan perlembagaan menentukan pengagihan kuasa sesebuah negara atau masyarakat politiknya. Di negara kita, perlembagaan menjadi rujukan bagi pemerintahan negara. Perlembagaan bertujuan untuk memastikan wujudnya keamanan antara ahli masyarakat berpandukan peraturan-peraturan yang menjadi panduan kepada semua ahli masyarakat. Malaysia mengambil model Parlimen jenis Westminister daripada Perlembagaan dari British. Perlembagaan Persekutuan boleh diklasifikasikan kepada perlembagaan bertulis dan perlembagaan tidak bertulis.

Perlembagaan di Malaysia bermula apabila Malayan Union dibubarkan pada 1 April 1946 setelah mendapat tentangan hebat dari orang melayu, satu perjanjian baru telah ditandatangani. Seterusnya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah digubal dan dikuatkuasakan pada 1 Februari 1948. Rentetan peristiwa tersebut, Suruhanjaya Perlembagaan Baharu Tanah Melayu yang diketuai oleh Lord Reid dibentuk sebagai syarat mendapatkan kemerdekaan. Pada 31 ogos 1957, Perlembagaan Persekutuan telah berkuatkuasa bersempena dengan pengisytiharan kemerdekaan. Perlembagaan Persekutuan 1957 menjadi asas pembentukan Perlembagaan Persekutuan pada 16 september 1963 dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Perlembagaan Persekutuan telah dipinda beberapa kali sehingga tahun 1988.

Perlembagaan berfungsi untuk mewujudkan satu bentuk pemerintahan negara yang adil dan mampu untuk memenuhi tuntutan dan kehendak rakyatnya. Perlembagaan akan membolehkan pemimpin atau pentadbir menjalankan tugasnya tanpa berlakunya penyalahgunaan kuasa. Menurut Md. Bohari Ahmad (1997) pula menyatakan perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan wujud daripada kehendak keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan menjamin semua yang terkandung di dalam perlembagaan.Seandainya undang-undang yang dikanunkan perlembagaan ini tidak dapat dijalankan maka perlembagaan ini tidak akan bermakna.

Antara kepentingan perlembagaan dalam konteks hubungan etnik di sesebuah negara ialah, perlembagaan menjaga kestabilan dan kekuatan sebuah negara kerana semua hal berkaitan cara pemerintahan sesebuah negara sudah termaktub dalam perlembagaan. Perlembagaan dapat  mencegah kedua-dua belah pihak daripada bertindak sesuka hati. Dengan adanya perlembagaan, sesebuah negara dapat diperintah secara tersusun, adil dan bertanggungjawab. Pindaan kepada perlembagaan hanya boleh dilakukan oleh Parlimen dan memerlukan persetujuan dua pertiga daripada ahli parlimen untuk melaksanakan pindaan yang dicadangkan. Batasan ini diadakan bagi menyekat golongan –golongan tertentu dari meminda perlembagaan mengikut kehendak dan kepentingan mereka.

Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila dapat menjamin kebebasan asasi manusia berdasarkan hak yang ditentukan meliputi kebebasan diri, bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan, beragama, bebas daripada menjadi hamba abdi dan melakukan kerja paksa, perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuatkuasa kebelakang dan perbicaraan yang berulang, hak terhadap harta dan hak mengenai pelajaran. Perlembagaan dapat mewujudkan keadilan sosial apabila ia dapat menentukan pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Peruntukan kuasa itu yang meliputi perkara untuk kepentingan bersama termasuklah kaum minoriti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.



2.0       DEFINISI DAN TUJUAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Malaysia juga dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Malaysia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957. Perlembagaan Malaysia telah digubal berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perlembagaan ialah dokumen bertulis yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Malaysia. Perlembagaan merupakan sumber undang-undang tertinggi di Malaysia dan setiap individu dan rakyat perlu mematuhi keluhurannya. Perlembagaan dapat ditakrifkan sebagai kumpulan peraturan atau undang-undang sama ada bertulis atau tidak bertulis yang menetukan organisasi kerajaan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan dan prinsip umum tentang bagaimana kuasa tersebut dilaksanakan.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia dibentuk dengan tujuan berikut;

1.      Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil
Perlembagaan dibentuk bagi memastikan permerintahan yang adil dan saksama. Ini bagi memastikan setiap individu dan rakyat di Malaysia mendapat manfaat secara menyeluruh dan adil. Antara contoh perenggan dalam Perlembagaan Malaysia yang memastikan tujuan ini dicapai ialah;
a)      Bahagian II : Kebebasan Asasi;
b)      Bahagian V : Negeri-Negeri;
c)      Bahagian IX : Badan Kehakiman; dan
d)      Bahagian XII : Am Dan Pelbagai.



2.      Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah
Bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah, perlembagaan dibentuk bagi memastikan tiada ruang dan peluang bagi perkara ini terjadi. Perlembagaan juga bertindak sebagai alat ‘semak dan seimbang’ dan memastikan setiap organ dalam pemerintahan kerajaan berfungsi hanya untuk kebaikan rakyat dan negara.  Selain itu perlembagaan juga memastikan tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan.

3.      Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat
Memastikan keamanan dan keharmonian negara adalah penting. Dan disebabkan oleh hal ini Perlembagan juga digubal bagi mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat. Ini bagi memastikan tiada isu konflik kepentingan yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara. Beberapa perenggan dalam Perlembagaan Malaysia boleh dikenalpasti diwujudkan oleh kerana tujuan ini. Antara perenggan tersebut ialah;
a)      Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat;.
b)      Bahagian XIII: Peruntukan Sementara Dan Peralihan; dan
c)      Bahagian III : Kewarganegaraan.

4.      Alat untuk menyelesaikan masalah
Perlembagaan juga digunakan sebagai alat untuk menyelesaikan masalah. Sebarang tuntutan, kes-kes di mahkamah dan penggubalan undang-undang yang baru adalah dibuat berdasarkan Perlembagaan Malaysia. Semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan. Perlembagaan juga mengandungi prinsip tentang kaitan antara satu badan pemerintah dengan badan pemerintah yang lain seperti eksekutif, perundangan, dan kehakiman dengan memperincikan bidang kuasa ini dengan lebih khusus serta peranan setiap badan itu dalam kerangka pemerintahan negara.

5.      Menjamin keamanan dan kestabilan negara
Perkara yang paling penting dalam Perlembagaan adalah untuk menjamin keamanan dan kestabilan negara. Perlembagaan Malaysia adalah manifestasi kesedaran penduduk pelbagai etnik di Malaysia yang mengikat jalinan kerjasama dan permuafakatan untuk membentuk Malaysia yang aman dan harmoni.


3.0       KONTRAK SOSIAL

Kontrak sosial boleh dijejak semula pengenalannya sebelum kemerdekaan di Tanah Melayu lagi. Kontrak Sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Fakta sejarah membuktikan bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.

Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.

Isu ini timbul di Malaysia mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya sekarang.

Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Terdapat beberapa tujuan kontrak sosial cuba diwujudkan oleh kerajaan Malaysia. Antaranya ialah untuk menyelesaikan perbezaan kepentingan diri atau kelompok masing-masing. Kedua, untuk memastikan kepentingan majoriti dan minoriti di ambil kira tanpa menjejaskan hak dan kepentingan masing-masing. Tujuan ketiga adalah untuk memastikan persetujuan yang dicapai kekal dan diwarisi turun-temurun. Ini adalah kerana persetujuan tersebut dianggap memenuhi kepentingan yang berpanjangan. Keempat, memastikan setiap pihak yang bersetuju akan mematuhi dan menyampaikan kepada generasi seterusnya agar ia tidak bercanggah di masa depan. Kontak sosial juga dapat  melanjutkan kelangsungan pentadbiran yang cekap. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan keadaan politik yang stabil di samping untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat. Justeru itu, ia sedikit sebanyak dapat memupuk semangat patriotisme dan cintakan tanahair. Tambahan pula, kontrak sosial dilihat dapat mewujudkan masyarakat yang bebas dan adil dalam usaha untuk mencapai integrasi nasional.

Pemahaman tentang kontak sosial dengan dilihat dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara Malaysia serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia. Malaysia adalah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep ‘Malay polity’ atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga negara dan diberikan jus soli. Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

Kesimpulannya, Perlembagaan Malaysia mengandungi aspek Kontrak Sosial kerana ia merupakan satu persemuafakatan dan perkongsian murni antara kaum di Malaysia. Huraian lanjut dari perseptif sejarah yang meliputi sejarah penindasan dan tipu helah penjajah, penyisihan masyarakat, pribumi dalam arus modernisasi, ketempangan ekonomi antara golongan serta sejarah hubungan kaum di negara ini yang berselang-seli antara sengketa dan kerjasama dimana semuanya hendaklah lengkap dan komprehensif serta disebarkan seluas-luasnya secara berterusan kepada segenap lapisan masyarakat.



4.0       UNSUR-UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, Tanah Melayu semasa penjajahan British pada waktu itu telah pun mempunyai perlembagaannya sendiri. Perlembagaan tersebut digubal berikutan penubuhan Malaysan Union 1946. Walau bagaimanapun Malayan Union telah mendapat bantahan daripada penduduk Tanah Melayu memandangkan perlembagaan yang dibentuk gagal memenuhi tuntutan dan kehendak rakyatnya. Ini adalah kerana banyak perlembagaan tersebut lebih menguntungkan pihak British berbanding rakyat negara ini. Bahkan perlembagaan tersebut juga dikatakan telah mengetepikan nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu yang telahpun diwarisi sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.

Bagi memenuhi tuntukan rakyat pada masa itu, pihak British telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan seterusnya menggubal satu perlembagaan yang dapat memenuhi tuntutan rakyat di negara ini, khususnya berkenaan dengan nilai-nilai tradisi masyarakat pribuminya. Nilai-nilai tradisi yang dimaksudkan adalah: Kedudukan istimewa Raja-raja Melayu; Hak keistimewaan orang Melayu; Agama; dan Bahasa.

Rajah 1 menunjukkan unsur-unsur tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.

Rajah 1: Unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia


Berikut adalah penjelasan bagi keempat-empat nilai tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

1. Kedudukan Istimewa Raja-raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong
Beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai kaitan dengan kedudukan istemewa Raja-raja Melayu ini termasuklah Perkara 32, perkara 41, perkara 42, Perkara 44, Perkara153, dan Perkara 122B, perkara 41.

Tradisi pemerintahan beraja di Tanah Melayu pada masa itu sudahpun menjadi amlan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Ianya mengekalkan simbol penting bagi survival orang-orang Melayu. Oleh sebab itulah unsur tradisi ini dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana sudah sekian lama orang Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Tambahan pula, sistem pemerintahan beraja akan dapat meningkatkan taat setia rakyat raja dan negara ini. Ketaatan kepada raja dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke arah perpaduan.

2. Agama Islam
Perkara 3 Perlembagaan menjelaskan bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas (Perkara 11). Namun begitu hak-hak seseorang untuk mengembangkan agama boleh dikawal atau disekat oleh undang-undang negeri, atau undang-undang Persekutuan bagi kes Wilayah Persekutuan, jika pengembangan itu dibuat di kalangan mereka yang telah menganut agama Islam – Perkara 11 (4).

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang bersatu padu. Berdasarkan falsafah Islam “membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia”, maka perlembagaan yang baik pasti akan menghormati hak-hak rakyat dalam negara tersebut, dan tidak cuba memaksa rakyat memperhambakan diri mereka kepada ideologi pemerintah. Peruntukan undang-undang seperti ini menunjukkan bahawa pemerintah amat bertoleransi dengan kaum-kaum lain yang mengamalkan agama yang berbeza. Perkara ini diberikan perhatian supaya masyarakat lain tidak berasa diketepikan atau ditindas dalam soal agama. Ini seterusnya akan dapat mewujudkan persefahaman dan permuafakan ke arah perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan agama.


3. Hak keistimewaan Orang-Orang Melayu
Dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak ada dinyatakan dalam Perkara 153. Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera meliputi: Bidang Perkhidmatan Awam – Perkara 153 (2, 3 dan 4); Bidang Ekonomi – Perkara 153 (6) dan Bidang Pelajaran – Perkara 153 (2, 3 dan 4). Selain itu, kedudukan istemewa orang Melayu dan bumiputera yang lain juga terdapat dalam peruntukan Perkara 89 dan 90, iaitu berhubung dengan tanah rizab Melayu; dan Perkara 8(5)(f) berkenaan kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan. Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Melihat dari sudut kepentingannya, kita sedar bahawa orang Melayu merupakan penduduk asli atau pribumi negara ini. Justeru adalah wajar orang-orang Melayu diberikan hak keistemewaan tersebut. Ini kerana sebelum ini orang Melayu lebih banyak terlibat dalam bidang perikanan atau pertanian. Justeru adalah wajar orang-orang Melayu diberi keutamaan dalam kesemua aspek yang dinyatakan di atas bagi membolehkan mereka memperbaiki taraf hidup yang sebelum ini agak jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

4. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
Perkara 152 (1) menguatkuasakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan. Bahasa ini secara automatiknya menjadi bahasa perantaraan untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Maksud “rasmi” ditakrifkan oleh Perkara 152 (6) dengan makna “apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.

Jika melihat dari aspek rasional kenapa bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa rasmi negara, aspek sejarah perlu dipertimbangkan. Berdasarkan sejarah, bahasa Melayu telahpun menjadi lingua franca sekian lamanya (Salleh Abbas, 1986). Jadi tujuan di sebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama.


5.0       SEBAB-SEBAB BERLAKU PERDEBATAN TERHADAP UNSUR-UNSUR TRADISI YANG TERKANDUNG DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Tentangan dan perdebatan terhadap unsur-unsur tradisi yang terkandung dalam perlembagaan bukanlah satu isu yang baru. Perkara ini telah lama dikesan awal tahun 1950-an. Pada ketika itu, isu kewarganegaraan dan kontrak sosial mendominasi hubungan kaum, diikuti dengan isu bahasa pada tahun 1960-an sebelum pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), manakala isu kuota dan urbanisasi mencorakkan hubungan etnik sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Dalam tahun 1990-an dan milenium pula, isu-isu agama mempunyai pengaruh besar dalam hubungan etnik di negara ini. Isu-isu berkenaan agama yang muncul sejak akhir-akhir ini, berbanding isu-isu lain dalam hubungan kaum di Malaysia, menurut Chandra Muzaffar begitu kritikal impaknya (Baharum Mahusin 2006).

Pandangan ini disokong oleh Syed Husin Ali (2008) yang menyifatkan sentimen hubungan etnik pada masa kini berada pada tahap tinggi yang boleh menyebabkan konflik dan pertumpahan darah.

Antara sebab-sebab mengapa berlaku perdebatan terhadap unsur-unsur tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia adalah;

  1. Kurang pemahaman tentang kontrak sosial
Dalam persoalan kontrak sosial, persetujuan yang tidak direkodkan itu diterima oleh golongan bumiputera dan pendatang dengan syarat, mereka sanggup menerima kedudukan istimewa orang Melayu dan elemen lain sebagai balasan atas kesanggupan peribumi menerima mereka sebagai warganegara yang mempunyai hak asasi seperti hak mengundi dan seumpamanya. Namun begitu, timbul persoalan tentang sejauhmana persetujuan ini boleh diterima oleh generasi muda hari ini (Awang Sariyan 2008). Hal ini kerana pada peringkat awal, tradisi dan karisma pemimpin dianggap sebagai asas yang kuat untuk membina keabsahan sesuatu undang-undang tetapi masyarakat moden hari ini memerlukan undang-undang yang berdasarkan rasional selaras dengan perubahan yang telah berlaku dalam negara (Faridah Jalil 2007).

Begitu juga dengan persepsi sebahagian masyarakat bukan Melayu yang menganggap kontrak sosial ini sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu terdiri daripada imigran. Lantaran itulah generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai suatu perkara yang sudah pun berlalu. Golongan ini tidak peduli akan perlunya untuk membangkitkan lagi perkara ini kerana bagi mereka kewarganegaraan adalah sesuatu yang diberikan secara automatik. Mereka berpendapat bahawa kompromi ini hanya untuk jangka masa tertentu dan tidak lagi relevan pada masa kini (Zainal Kling 2008). Orang Melayu menganggap peruntukan sedemikian sebagai sesuatu yang suci, manakala sesetengah orang bukan Melayu mempersoalkan sama ada peruntukan tersebut adalah berkaitan dan masih mengikat sehingga ke hari ini (Faaland, Parkinson dan Rais Saniman 2002).

  1. Peranan Mahasiswa sebagai pemikir
Hal ini ditambah lagi dengan sikap mahasiswa yang tidak memahami unsur-unsur tradisi yang menjadi teras perpaduan di Malaysia. Dewasa ini sudah jelas kelihatan akan wujudnya kecenderungan dalam kalangan generasi muda untuk mula mempertikaikan kontrak sosial yang selama ini menjadi teras perpaduan dan persefahaman antara etnik. Golongan ini telah mula mempersoalkan semula kedudukan istimewa orang Melayu, peranan bahasa Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara (Hasnah Hussin 2007). Penjelasan ini menunjukkan timbulnya persepsi bahawa generasi muda bukan Melayu tidak bersetuju dengan kontrak sosial manakala generasi muda Melayu pula tetap bersetuju dengan kontrak sosial, namun wujud kemusykilan sama ada persepsi ini terbukti benar atau tidak.

  1. Buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan
Perkara yang sering diperdebatkan bila melibatkan perlembagaan adalah Perkara 153 iaitu pengiktirafan kedudukan dan hak istimewa orang melayu. Perkara ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan rakyat tentang sejarah Malaysia dan tidak memahami Perlembagaan Malaysia.

  1. Kurangnya sensitiviti agama dan kaum
Kurang kefahaman agama di kalangan masyarakat menjadi punca berlakunya perdebatan terhadap unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan. Perlembagaan Malaysia telah menetapkan Agama Islam sebagai agama persekutuan dan ianya dijamin dalam Perkara 3 dalam Perlembagaan Malaysia.

Kaum melayu sebahagian besarnya beragama islam manakal kaum cina pula beragama Buddha,  Lao-Tza,  Taoisme,  Conficius  manakala  kaum  india  beragama hindu. Di samping itu terdapat juga yang beragama kristian. Setiap kaum juga  mempunyai  kebudayaan  yang  tersendiri.  Masalah  perpaduan  ini bukannya  bermula  disebabkan  agama  lain  tetapi  akibat  dari  sikap  jahil terhadap  agama-agama  lain  hingga  banyak  perkara  yang  dilakukan secara  tidak  sengaja  telah  menyinggung  emosi  penganut  agama  lain. Inilah punca yang telah mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.

  1. Isu yang dipolitikkan
Antara sebab lain mengapa unsur-unsur tradisi ini sering diperdebatkan adalah kerana sesetengah parti politik yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu-isu perlembagaan atas kepentingan parti atau peribadi. Tindakan ini seolah-olah mencurah minyak ke atas api yang marak.



6.0       KESIMPULAN

Perlembagaan adalah undang-undang yang mengandungi peraturan yang boleh dikuatkuasakan atau prinsip asas yang mengasaskan sistem pemerintahan seperti yang termaktub dalam undang-undang atau adat perundangan. Perlaksanaan Perlembagaan telah banyak membawa kebaikan kepada negara secara amnya dan kepada rakyat secara khususnya.

Perlembagaan merupakan penentu kepada rangka dan bentuk pemerintahan serta kuasa yang diamanahkan kepada mereka yang menerajui tampuk pemerintahan dan terbukti Pelembagaann mampu menjamin satu pentadbiran yang cekap, jujur dan adil. Oleh itu Perlembagaan adalah penting bagi sesebuah negara untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik seterusnya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Perlembagaan juga menggariskan kebebasan dan hak asasi warganegara seperti kebebasan diri, kebebasan bercakap, kebebasan memiliki harta dan kebebasan beragama. Dengan peruntukan tersebut, Perlembagaan menjamin keselamatan dan keamanan melalui undang-undang yang digariskan sejara jelas. Selain itu, Perlembagaan menentukan batasan bagi menjaga keselamatan dan memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar bagi kemakmuran rakyat.

Perlembagaan Malaysia juga memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum. Bagi menjamin keadilan antara kaum, kebebasan sosial dihadkan. Ini bermakna seseorang itu diberi kebebasan bercakap tetapi kebebasan ini dihadkan kerana seseorang itu tidak dibenarkan bercakap mengenai isu sensitif seperti keistimewaan hak orang Melayu dan bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum lain serta akan mengakibatkan berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum yang bakal mengancam keselamatan negara.
Sesungguhnya, apabila wujudnya perpaduan nasional, maka barulah terjamin kesejahteraan masyarakat majmuk, dan seterusnya akan melahirkan pula sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal, dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Pendeknya, jelas sekali sistem Perlembagaan merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini, demi untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara Malaysia itu sendiri.




















APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI

Abdul Aziz Bari.(2002). Majlis Raja-raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Abdul Aziz Bari & Farid Suffian Shuaib. 2006. Constitution of Malaysia: Text and
Commentary. Petaling Jaya: Prentice Hall.

Abdul Aziz Bari. 2001. Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jim Soh, Jega dan Chorwin.(2004). Kepentingan dan Ancaman Terhadap Kontrak Sosial Di Negara Malaysia yang Bersifat Majmuk. KUiTTHO. http://www.geocities.com/mt961013/unitem/perlembagaanmalaysia.htm

Hashim Yeop A. Sani. 1973. Perlembagaan kita. Kuala Lumpur: Malaysian Law Publishers Sdn. Bhd.

Mohd Salleh Abas. 1985. Unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamed Suffian Hashim. 1987. Mengenal perlembagaan Malaysia. Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kuala Lumpur.

Muhammad Kamil Awang.(2001).Sultan Dan Perlembagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Mohamad Salleh Abas (1987). Sejarah Perlembagaan Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim dan Ahilemah Joned (1987). Sistem Undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ranjit Singh Malhi.(1992).Pengajian am STPM: Kenegaraan Malaysia. Kuala Lumpur:Federal Publications

Shamsul Amri Baharuddin (Peny.). 2007. Modul hubungan etnik. Shah Alam: UPENA

Tun Mohamed Suffian (1990). Pengenalan Sistem Undang-undang Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wong Khek Seng, Rahimah Hj.Sabran dan Kok Meng Kee.(2004). Pengajian Am Kertas 1 & 2, STPM. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd





Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR