14 Nov 2015

POLITIK TRADISIONAL


 Flat UI Design Resources

  

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA PERLUASAN KUASA BRITISH DI TANAH MELAYU



Pengenalan
Penguasaan British ke atas Tanah Melayu pada abad ke-20 menandakan bermulanya kolonialisasi Inggeris ke atas di Tanah Melayu. Jika ditelusuri bukti-bukti sejarah, penguasaan British ke atas Tanah Melayu pada dasarnya adalah disebabkan oleh kepentingan perdagangan pada waktu itu[1]. Ianya juga disebabkan oleh rasa bimbang British ke atas kemaraan kuasa-kuasa besar asing yang lain seperti Jerman, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat yang mula membina kepentingan mereka di negara-negara lain di Asia Tenggara. Rentetan perkara itu, British mula memperluaskan kuasanya ke atas Tanah Melayu dengan menguasai negeri-negeri Melayu yang terdiri daripada Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang pada mulanya berada di bawah kerajaan Siam. Perluasan kuasa British ini dapat dilihat melalui beberapa perjanjian termasuklah Perjanjian Burney (1826), Perisytiharan Inggeris-Siam (1902), dan juga Perjanjian Bangkok (1909).

Oleh yang demikian, makalah ini ditulis bagi membincangkan tentang faktor-faktor yang membawa kepada perluasan kuasa British di Tanah Melayu.

Faktor-faktor Perluasan Kuasa British di Tanah Melayu
Selain British, Belanda juga menjadi salah satu kuasa Barat yang berpengaruh di kawasan kepulauan Melayu. Kedua-dua kuasa besar ini sentiasa berusaha untuk mengukuhkan kekuasaan dan juga pengaruh mereka. Situasi ini telah menyebabkan wujudnya persaingan antara keduanya untuk mendapatkan wilayah kekuasaan. Termetrainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 menjadi titik awal pembentukan kerjasama antara British dengan Belanda di rantau Asia Tènggara. Perjanjian tersebut telah menamatkan segala persaingan dan permusuhan antara dua kuasa Barat tersebut. Malahan perjanjian tersebut telah mendorong kedua-dua kuasa untuk mengukuhkan kekuasaan di Asia Tenggara[2].

Perjanjian Inggeris-Belanda dilihat sebagai satu usaha yang dibuat oleh kedua-dua buah kuasa besar tersebut bagi menamatkan persaingan mereka di Asia Tenggara. Ini ada kerana, sebelum ini kedua-dua kuasa ini seringkali bertelingkah dan bermusuhan terutamanya dari segi monopoli perdagangan dan perluasan kuasa di Hindi Timur. Pertelingkahan sedemikian amat merugikan kerana tumpuan perdagangan kedua-dua buah negara ini menjadi terjejas. Bagi mengatasi masalah ini berlarutan maka kedua-dua belah pihak berusaha membuat perjanjian persahabatan dan dalam masa yang sama dapat mengelakkan peperangan antara British dengan Belanda.

Selain itu, oleh kerana hubungan Britain dengan negara-negara Eropah yang lain semakin merosot, British berharap Belanda akan menjadi negara penampan terhadap musuh-musuh yang ingin menyerang Britain melalui perjanjian tersebut. Dengan termeterainya perjanjian ini juga dapat mewujudkan hubungan baik antara kedua-dua belah pihak bukan sahaja di Eropah, malahan di Asia Tenggara.

Bagi pihak Belanda pula, perjanjian ini menjadi perlu kerana negara tersebut telah menerima bantuan kewangan daripada Britain. Bantuan kewangan ini diterima ketika Syarikat Hindia Belanda mengalami masalah kewangan yang teruk dan hampir mengalami kemuflisan. Melihat ianya sebagai sebuah peluang untuk berbaik-baik dengan Belanda, Britain tampil memberi bantuan pinjaman. Masalah kewangan ini timbul kerana kemerosotan perdagangan dan ketidakcekapan pentadbiran syarikat tersebut. Amalan rasuah dikalangan para pegawai Belanda membuktikan ketidakcekapan pentadbiran. Selaian itu bantuan kewangan juga diberikan oleh Britain untuk membiayai peperangan antara Belanda dengan Perancis.

Perjanjian Inggeris-Belanda juga turut dapat menyelesaikan masalah yang melibatkan Sumatera dan Singapura. Pembukaan Singapura oleh Raffles pada tahun 1819 mendapat bantahan daripada Belanda. Inggeris juga telah membuka pertempatan di Sumatera. Pembukaan kedua-dua kawasan tersebut telah menimbulkan ketegangan kedua-dua belah pihak. Kesan daripada pembukaan Singapura oleh Inggeris menyebabkan perdagangan Belanda mengalami kemerosotan yang mendadak. Malahan Belanda mendakwa Singapura dibawah kuasanya memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan Kepulauan Riau yang dikuasai oleh Belanda. Pihak Inggeris telah mengaut keuntungan sebanyak 4 juta pound hasil perdagangan di Singapura pada tahun 1820. Kedudukanya yang strategik menyebabkan Belanda turut berminat untuk menduduki pulau tersebut. Sebagai jalan penyelesaian perjanjian Inggeris Belanda ditandatangani yang mana memihak kepada Inggeris.

Perjanjian ini telah memberi kesan yang besar dari pelbagai sudut. Sebagai contoh, dari segi politik Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua berdasarkan kekuasaan Inggeris dan Belanda[3]. Dan berdasarkan perjanjian tersebut, kawasan Selatan Singapura berada di bawah kekuasaan Belanda manakala di bahagian utara Singapura menjadi milik Inggeris. Oleh yang demikian, kedua-dua belah pihak tidak boleh membuat perjanjian dengan mana-mana negeri yang berada di luar wilayah masing-masing. Ini menyebabkan Belanda melepaskan Tanah Melayu kepada Inggeris manakala Inggeris melepaskan Sumatera kepada Belanda.

Selain itu, perjanjian ini juga menyebabkan perpecahan empayar Johor-Riau. Ini disebabkan selepas termeterainya perjanjian tersebut, Kepulauan Riau dikuasai oleh Belanda manakala Johor menjadi wilayah Inggeris. Dalam perjanjian ini juga dinayatakan bahawa kedua-dua wilayah tersebut tidak lagi mempunyai hubungan politik dan ekonomi. Keadaan ini telah membawa kepada kemerosotan Kerajaan Riau akibat daripada tekanan daripada pihak Belanda di Indonesia.

Disebabkan oleh perpecahan ini, Tanah Melayu dikuasai sepenuhnya oleh British. Keadaan ini memberikan British status quo di mana kuasa Barat yang lain tidak akan mencabar dan mengugat kekuasaan Inggeris di Tanah Melayu. British adalah bebas membuat sebarang hubungan politik dengan negeri-negeri Melayu. Ini terbukti dengan campur tangan British di Tanah Melayu untuk menguasai ekonomi terutamanya bijih timah. Penguasaan Inggeris bukan sahaja dari segi ekonomi malahan juga politik. Ini terbukti apabila Inggeris campur tangan dalam hal ehwal politik tempatan dengan memperkenalkan sistem residen[4]. Tujuannya adalah untuk menguasai system pentadbiran dan pemerintahan negeri-negeri Melayu agar kestabilan dapat dicapai dan pada akhirnya kegiatan ekonomi mereka akan berjalan lancar tanpa ada gangguan.

Perkembangan ini sangat bertentangan dengan sikap dan dasar British pada waktu mula-mula mereka sampai di Tanah Melayu. Sebelum tahun 1870, British telah menjalankan dasar tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Hubungan British dengan negeri-negeri Melayu hanya tertumpu kepada aktiviti perdagangan sahaja. Pada ketika itu, British tidak mahu terlibat dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu kerana ingin menjaga hubungan dengan Siam dan menjaga kepentingan perdagangan British. Pada peringkat awal, British amat mematuhi dasar tidak campur tangan namun begitu secara realitinya, British telah melanggar dasar ini apabila kepentingan ekonomi mereka terancam.

Secara dasarnya, British mencampuri hal ehwal negeri-negeri Melayu di atas dorongan ekonomi. Pihak British perlukan keamanan dan kemakmuran di Tanah Melayu khususnya dan di Selat Melaka amnya, untuk mempastikan perdagangan mereka berkembang dengan pantas. Selat Melaka mula menjadi laluan penting dengan peningkatan jumlah dagangan antara negeri China dengan Eropah dan negeri China dengan India.

Selain itu, campur tangan dan seterusnya penjajahan British ke atas Tanah Melayu akan membuka pasaran baru kepada barangan keluaran British yang akan membawa kepada kemewahan lebih untuk pengeluar-pengeluar British.

Kesimpulan
Pada peringkat awalnya sememangnya British mempertahankan dasarnya untuk tidak campur tangan di negeri-negeri Melayu. Terdapat beberapa kes membuktikan keadaan ini. Kes Siam ke atas Kedah pada tahun 1821 merupakan salah satu contoh yang membuktikan keadaan ini[5]. Siam menuduh Kedah berkomplot dengan Burma. Sultan Ahmad Tajuddin iaitu sultan Kedah meminta bantuan Inggeris di Pulau Pinang tetapi ditolak oleh Inggeris kerana ingin menjaga hubungan baik dengan Siam.

Namun begitu selepas berasa terancam dengan kehadiran Belanda di kepulauan Melayu dan pengaruh mereka yang semakin berkembang dalam perdagangan di kepualauan tersebut, British mula mengambil pendekatan lain dengan meluaskan kuasa mereka di Tanah Melayu. Perjanjian Inggeris-Siam (1902) merupakan satu contoh terbaik bagi melihat bermulanya perluasan kuasa British di Tanah Melayu. Secara keseluruhannya, selain untuk memenuhi keperluan ekonomi di Eropah, British meluaskan kuasanya di Tanah Melayu atas sebab perdagangan dan juga persaingan dengan Belanda. Hal ini menyebabkan British campur tangan di negeri-negeri Melayu agar kepentingan mereka terus terjamin.
(1137 PATAH PERKATAAN)

RUJUKAN
Andaya, Barbara Watson, and Leonard Yuzon Andaya. Sejarah Malaysia. Macmillan, 1983.

Awang, Surya. "Dasar-Dasar Ekonomi British Di Tanah Melayu Sejak 1819-1957." Disertasi PhD., Tesis Sejarah, Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002.

Chandran, J. "Perjanjian 1909 antara Inggeris dengan Siam serta latar belakangnya." (1971). Dissertasi tidak diterbitkan. Universiti Malaya.

Cowan, Charles Donald. Tanah Melayu kurun kesembilan-belas: asal-usul penguasaan politik British. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970.

Iskandar, Y., Kaeh, A. R., & Shellabear, W. G. (1978). Sejarah Melayu (Edisi Shellabear): satu pembicaraan kritis dari pelbagai bidang. Heinemann Educational Books (Asia).
Jessy, Joginder Singh. Tawarikh Tanah Melayu, 1400-1959. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran, 1969.

Said, Kamaruddin M. 500 tahun Melayu menghadapi cabaran. Cerdik Publications Sdn Bhd, 2004.


[1] Awang Surya. “Dasar-Dasar Ekonomi British Di Tanah Melayu Sejak 1819-1957” (Disertasi PhD. Universiti Kebangsaan Malaysia, 2002)
[2] Cowan, Charles Donald. Tanah Melayu kurun kesembilan-belas: asal-usul penguasaan politik British. (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1970).
[3] Jessy, Joginder Singh, Tawarikh Tanah Melayu, 1400-1959 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1969).
[4] Iskandar, Y., Kaeh, A. R., & Shellabear, W. G., Sejarah Melayu (Edisi Shellabear): satu pembicaraan kritis dari pelbagai bidang, (Heinemann Educational Books (Asia)).
[5] Chandran, J., "Perjanjian 1909 antara Inggeris dengan Siam serta latar belakangnya." (Dissertasi Sarjana. Universiti Malaya, 1971).

Kami menyediakan perkhidmatan penulisan esei, artikel, terjemahan dan juga kertas penyelidikan pada harga yang sangat kompetitif. Setiap kerja yang dihasilkan akan melalui semakan Turnitin secara percuma! Ini untuk memastikan setiap hasil kerja kami bebas plagiarisme

Biar Kami Bantu Anda

Hubungi Kami
MS SARAH
+60182765083
KUALA LUMPUR